My Add

Thursday 22 August 2013

Sistem pendidikan acuan sendiri

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Pelaksanaan sistem pendidikan negara seharusnya mengikut acuan sendiri tanpa perlu terikut-ikut dengan 'rentak' acuan asing.

Perkara itu ditegaskan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah ketika membentangkan resolusi sidang pleno Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya sempena pra-Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan bertemakan Memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025.

Menurut beliau, berdasarkan acuan tempatan itu, kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan digesa 'mengharamkan' sebarang bentuk sistem pendidikan yang tidak berteraskan kebangsaan.

"Kita menggesa kerajaan memperkasa sekolah kebangsaan dan menjadikan sekolah berkenaan mampu menarik minat pelbagai kaum. Dalam pemerhatian saya, kaum India lebih banyak menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu berbanding masyarakat Cina.

"Perkara ini perlu dikaji dengan mendalam. Selain itu, peranan guru perlu ditingkatkan dengan membentuk mereka bukan hanya sebagai pendidik tetapi pemimpin dan pembimbing," katanya ketika pembentangan resolusi berkenaan dalam kongres yang diadakan di Ibu Pejabat Mara, di sini hari ini.

Pra-Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan yang berlangsung itu bertujuan membincangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mana segala resolusi akan dibentangkan dalam Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan, 27 Ogos ini.

Pra-kongres berkenaan terbahagi kepada lima sidang pleno iaitu Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya: Bahasa Kebangsaan Perkukuh Perpaduan dan Integrasi Masyarakat; Pendidikan Pembina Perwatakan Jati Diri dan Patriotisme; Pendidikan Pembina Sumber Insan Untuk Pembangunan dan Kemakmuran serta Perlembagaan Persekutuan Lindungi Hak Pendidikan Saksama.

Dalam pada itu, pihaknya menggesa kerajaan untuk menolak sebarang desakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar pendidikan berteraskan perpaduan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment