My Add

Wednesday 21 August 2013

Siti Nurhaliza, Faizal, Melly tenaga pengajar AF 2013

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Penyanyi popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza akan bergandingan dengan Faizal Tahir dan Melly Goeslaw sebagai tenaga pengajar program Akademi Fantasia (AF) 2013.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kehadiran tiga bintang ternama itu sebagai pencetus inspirasi kepada para peserta kelak.

"Program kali ini berbeza kerana tidak ada seorang pengetua yang akan membantu dan membimbing para pelajar.

"Sebaliknya kali ini kami menggunakan istilah pengilham yang mana tiga bintang utama itu akan membimbing yang dimulai oleh Faizal untuk konsert tiga minggu pertama, seterusnya Melly dan akhir sekali Siti Nurhaliza," katanya ketika sidang akhbar AF 2013 di sini, hari ini.

Lain-lain tenaga pengajar yang akan memberi khidmat kepada para peserta adalah Shafizawati Sharif sebagai guru vokal, Alam Wakaka dan Suhaili sebagai koreografer serta Fizz Fairuz sebagai guru seni persembahan.

Sementara itu, seramai 24 orang peserta bakal diperkenalkan dalam tayangan Konsert Prelude Top 24 pada 6 September ini sebelum Konsert Prelude Top 12 pada 7 September yang bersiaran secara langsung pada pukul 9 malam di Astro Ria. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment