My Add

Thursday 8 August 2013

Sukar ubah sikap manusia

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

 * NAJIB sewaktu temu ramah khas di pejabatnya di Putrajaya, semalam. - utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH
PUTRAJAYA, RABU, 07 Ogos, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewa apabila Op Selamat yang dilancarkan empat hari lalu nampak kurang berkesan apabila sudah lebih 50 nyawa terkorban di jalan raya akibat sikap manusia sendiri yang mengabaikan etika pemanduan.

Katanya, tanpa adanya sistem kawalan penguatkuasaan yang efektif dan tegas, para pemandu tidak akan mengubah perangai daripada memandu laju sekali gus enggan mematuhi had laju ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, untuk mengubah perangai manusia adalah satu perkara yang amat sukar melainkan manusia itu boleh berubah kerana takut atau mungkin kerana satu ganjaran yang besar.

‘‘Untuk menyasarkan kepada kesedaran para pemandu, perkara ini amat tipis jika peluang untuk mengubah diri tidak melalui satu proses penguatkuasaan yang ketat.

‘‘Saya amat berharap agar para pemandu menjaga keselamatan masing-masing terutama semasa musim perayaan bagi mengelak kehilangan nyawa,’’katanya kepada Utusan Malaysia dalam temuramah eksklusif di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, jumlah kematian yang amat tinggi adalah satu kerugian besar kepada negara kerana dalam tempoh lima tahun, kadar kematian boleh mencecah 30,000 orang dan jumlah itu boleh memenuhi sebuah stadium besar.

‘‘Kadar kematian di Malaysia antara tertinggi di dunia dengan hampir 6,500 kematian setahun, yang jika dalam tempoh lima tahun jumlah itu boleh memenuhi sebuah stadium yang besar kerana boleh cecah 30,000 kematian," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Tam Weng Wah memberitahu, 80 peratus daripada 6,381 kemalangan maut yang dilaporkan tahun lepas berlaku kerana sikap manusia.

Menurut Weng Wah, jumlah itu meningkat daripada tahun sebelumnya iaitu 6,349 manakala jumlah kemalangan pada tahun lepas ialah 20,473, menurun berbanding 2011 iaitu 20,662. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment