My Add

Tuesday 6 August 2013

Syarat DAP buat pemilihan semula hanya taktik alih tumpuan rakyat

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu lebih berani tampil untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP bagi menafikan 'kesilapan besar' dilakukan semasa pemilihan pada Disember, tahun lalu.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, Guan Eng perlu yakin dan tidak perlu takut kepada diri sendiri jika benar tiada berlaku penyelewengan seperti yang didakwa ketika pemilihan tersebut.

Jelasnya, keengganan Guan Eng serta sikapnya yang sentiasa berdolak-dalik melalui pelbagai cara bukan sahaja mencetuskan keraguan dalam kalangan rakyat malah kredibilitinya sebagai pemimpin juga dipersoalkan oleh ahli akar umbi DAP.

"Guan Eng dilihat sengaja melambat-lambatkan proses pemilihan semula. Kali ini, DAP pula minta Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengemukakan alasan munasabah kenapa tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberinya.

"Ini taktik sahaja. Rakyat sudah boleh baca cara permainan Guan Eng untuk mengalihkan perhatian orang ramai berhubung isu CEC," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw yang menuntut ROS untuk memperincikan dahulu masalah yang dihadapi DAP sebelum mengambil sebarang tindakan serta menegaskan bahawa DAP tetap tidak akan mengadakan pemilihan semula selagi ROS tidak memberi penjelasan mengenai sebab arahan itu dikeluarkan.

Menurut Abdul Rani, pemilihan semula tersebut adalah satu-satunya cara untuk membuktikan parti tersebut bersih sekali gus membuang persepsi buruk masyarakat terhadap ketokohannya sebagai pemimpin yang tercela ekoran didakwa mengendalikan pemilihan CEC secara tidak adil.

"Selagi pemilihan tidak dilakukan, selagi itulah banyak kata-kata belakang yang buruk tentang dirinya. Guan Eng sepatutnya mengambil pendekatan ini untuk membersihkan namanya yang tercela.

"Tidak salah jika saya katakan Guan Eng seorang yang penakut kerana takut tembelangnya pecah kerana itu dia terus-terusan mencari pelbagai kaedah untuk melambatkan proses pemilihan," katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida WP ) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman, berdolak-dalik hanya akan memburukkan keadaan kerana dilihat tidak mampu membersihkan nama dan maruahnya sebagai pemimpin.

"Jika benar pemilihan sebelum ini dijalankan dengan adil, mengapa tidak berani dilakukan semula. Jika benar adil, pastilah keputusan pemilihan baru ini tetap sama seperti yang lalu. Mengapa perlu buang masa dengan menyalahkan pihak lain sedang kelemahan wujud dari pihaknya sendiri.

"Jika dilihat secara halus, kita boleh nampak Guan Eng sedang ketakutan rahsianya diketahui umum kerana itu mereka manipulasi situasi seolah-olah ROS tidak menjalankan kerja dengan baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment