My Add

Sunday 4 August 2013

Syawal wira selamatkan adik dalam kebakaran

 * BIARPUN baru berusia lima tahun, Mohd. Syawal Mohd. Shukri (kanan) menjadi ‘hero’ apabila berjaya menyelamatkan dan membawa keluar adiknya, Mohd. Syakir, 4, dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Kubang Depu, Besut, Terengganu, semalam.
BESUT, SABTU, 03 Ogos, 2013: Biarpun baru berusia lima tahun, Mohd. Syawal Mohd. Shukri menjadi ‘hero’ apabila berjaya menyelamatkan dan membawa keluar adiknya dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Kubang Depu dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Mohd. Syawal sedang bermain dalam bilik tidur mereka bersama adiknya, Mohd. Syakir, 4, sebelum menyedari api sedang marak di bilik itu dan dapur rumah mereka.

Dalam keadaan cemas, Mohd. Syawal segera memaut adiknya lalu membawanya ke rumah nenek mereka, Fatmah Sulaiman, 55, yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka sambil memaklumkan neneknya mengenai kejadian itu.

Dia kemudian berlari ke luar sejauh kira-kira satu kilometer untuk mencari bapanya dan memberitahu kejadian itu sambil menjerit meminta pertolongan sebelum disedari jiran dan penduduk kampung,

Ketika kejadian, bapa dan ibu mereka, Mohd. Shukri Mohd. Nor, 36, dan Huslina Abd. Rahman, 26, berada di tempat kerja dengan membawa bersama adik bongsu mereka, Mohd. Syaril, 3.

“Sepatutnya hari ini saya mula bekerja sebagai buruh binaan tetapi kerana tidak tahu tempatnya, saya ajak isteri dan anak bongsu sebagai teman untuk mencari tempat kerja saya itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun jelasnya, ketika dalam perjalanan pulang dengan motosikal, dia nampak kepulan asap hitam akibat kebakaran dari arah kampungnya lalu mula rasa tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.

Sangkaannya tepat apabila mendapati rumahnya sendiri terbakar dan dia kemudian bergegas memasuki rumah itu setelah menyangka dua anaknya itu masih berada di dalam rumah.

Namun perasaan Mohd. Shukri lega sebaik sahaja diberitahu jirannya bahawa kedua-dua anaknya itu selamat walaupun mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kerugian kira-kira RM28,000.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh, Ridzuan Mamat berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dua jentera bomba termasuk sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bersama 10 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, hampir 90 peratus rumah kayu lama itu musnah terbakar dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad meluangkan masa menziarah mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Mohd. Shukri.

Katanya, mangsa kebakaran akan diberi perhatian segera bagi memastikan lima beranak itu tidak menghadapi masalah tempat tinggal apatah lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment