My Add

Wednesday 7 August 2013

Taiwan mahu menjadi pusat pelancongan Islamik

 * PENGARAH Urusan Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, David Tsao bersama dengan anak yatim Rumah Jalinan Kasih sambil diperhatikan Azila Aziz (tiga dari kiri) dalam majlis berbuka puasa dan perkongsian pengalaman anak-anak yatim melawat ke Taiwan baru-baru ini di Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Taiwan berhasrat untuk menjadikan pusat pelancongan Islamik yang istimewa serta ideal kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.

Pengarah Biro Pelancongannya, Tony Wu berkata, ini berikutan sektor pelancongan Islam merupakan sumber penjanaan pendapatan yang lumayan untuk pembangunan ekonomi negara tersebut.

''Kini merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan Taiwan mempelbagaikan sektor pelancongan negara tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung.

"Taiwan mampu menawarkan tempat-tempat yang menarik untuk dilawati, oleh sebab itu, kami mahu menarik lebih ramai orang Muslim berkunjung ke negara kami," katanya ketika berucap dalam Majlis Kasih Tanpa Batasan di sini semalam.

Yang hadir sama 20 anak yatim Rumah Jalinan Kasih, Cheras yang telah dibawa melawat Taiwan pada 2 Jun lalu oleh Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia.

Lawatan selama enam hari itu telah membawa mereka ke beberapa tempat menarik termasuklah masjid-masjid di Taoyuan dan Kaohsiung, Leofoo Village Theme Park dan Zoo Taipei.

Sementara itu, wakil Rumah Jalinan Kasih, Azila Aziz berkata, ini merupakan kali pertama anak-anak yatim terbabit dibawa melancong ke luar negara.

"Ini merupakan satu langkah yang baik dalam usaha memperkenalkan Taiwan sebagai pusat pelancongan Islamik yang unik serta menarik kepada rakyat Malaysia.

"Malah, usaha ini juga memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim ini serta mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Taiwan menerusi program kebajikan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment