My Add

Tuesday 13 August 2013

Tangani segera penghinaan terhadap Islam - NGO

 *AMIR Amsa Alla Pitchay (tiga dari kiri) dan Abdul Aziz Ismail (dua dari kiri) bersama ahli IRIMM dan ahli LPPM menunjukkan laporan polis mengenai upacara sembahyang oleh penganut agama lain di sebuah surau di kawasan resort Kota Tinggi, Johor, di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Pihak berkuasa digesa bertindak lebih tegas dalam menangani perbuatan menghina agama Islam termasuk dalam kejadian sebuah surau di kawasan resort Kota Tinggi di Johor yang dijadikan tempat upacara sembahyang oleh penganut agama lain kelmarin.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsa Alla Pitchay berkata, tindakan tegas itu bagi memastikan perbuatan serupa tidak terus berulang selain mengelak sebarang kejadian buruk ekoran kemarahan umat Islam.

Merujuk kepada kejadian itu, menurut beliau, alasan yang diberikan pengurus resort berkenaan kononnya pelancong tersebut hanya mahu bermeditasi tidak boleh diterima kerana terdapat elemen pemujaan agama lain dilakukan di surau berkenaan.

"Sudah semestinya, perbuatan itu tidak menghormati agama Islam dan berlaku selepas beberapa kejadian serupa sejak kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Presiden Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Kelmarin penduduk sekitar perkampungan nelayan di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor gempar selepas bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari dengan upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang yang dijalankan dipercayai oleh penganut agama Buddha itu disedari seorang pengunjung resort tersebut yang ingin menunaikan solat asar.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya kesal kerana perbuatan menghina agama Islam terus berlaku meskipun pelbagai laporan polis dibuat berhubung insiden serupa sebelum ini.

Menurutnya, beliau bimbang perbuatan itu jika tidak dibendung boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat ekoran rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkaitan mengeluarkan garis panduan berkenaan hak-hak yang perlu dipatuhi penganut agama lain berhubung kesucian agama Islam supaya penghinaan terhadap agama tersebut tidak terus berlaku. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment