My Add

Friday 9 August 2013

Tanggapan shisha tidak berbahaya perlu diubah - Pakar

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Ogos, 2013: Tanggapan bahawa menghisap shisha tidak berbahaya perlu diubah kerana ia sememangnya ia boleh memudaratkan kesihatan, kata pakar respiratori.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, ramai beranggapan shisha bebas daripada pengaruh tembakau namun sebenarnya ia mengandungi campuran tembakau dan perisa buah-buahan.

"Kebanyakan penghisap shisha mengatakan mereka menyukai perisa buah-buahan ketika menghisapnya, mereka sebenarnya tidak sedar bahawa ia sudah dicampurkan dengan tembakau.

"Dan yang paling merisaukan jika ada individu yang mencampurkannya pula dengan marijuana, alkohol, atau bahan-bahan lain yang boleh membuatkan ketagihan," katanya kepada Bernama di sini.

Shisha dikatakan berasal dari India dan turut dikenali sebagai Hookah, Narghile, 'Waterpipe' dan Bong, dan amat popular di seluruh dunia terutama di negara-negara Asia Barat.

Shisha mempunyai dua jenis tembakau iaitu'mu'ssal (campuran tembakau, buah-buahan seperti epal, pisang dan ceri serta bahan manisan, selain ditambah glycerin, bahan perisa dan pewarna) dan 'ajami' (tidak berperisa, kering, asli dan harga lebih mahal).

Tembakau shisha akan dibakar menggunakan bahan pembakar seperti arang kerana tembakau shisha tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan.

Dr Abdul Razak berkata, rokok dan shisha boleh diibarat seperti 'devil' dan 'deep sea' kerana masing-masing boleh menyebabkan ketagihan dan sifatnya memudaratkan kesihatan sekiranya tidak dibendung lebih awal.

"Shisha dan rokok membawa bahaya yang sama kepada kesihatan badan, tetapi shisha lebih berbahaya berdasarkan jumlah hisapan, penghasilan asap dan durasi satu hisapan," katanya.

Berdasarkan kajian sebelum ini, satu sesi menghisap shisha yang mengambil masa kira-kira setengah jam hingga satu jam akan menghasilkan 101 kali hisapan berbanding satu sesi merokok yang hanya 11 kali hisapan (merokok mengambil masa lima hingga tujuh minit).

Dari segi penghasilan asap, shisha mengeluarkan lebih banyak asap iaitu 503ml bagi satu sesi berbanding rokok 50ml sementara durasi satu hisapan shisha ialah 2.7 saat manakala merokok hanya 1.5 saat.

Dr Abdul Razak berkata, banyak kajian di Turki, Arab Saudi, Amerika dan Eropah menunjukkan kesan shisha adalah sama seperti merokok iaitu boleh menyebabkan barah paru-paru dan penyakit kardiovaskular.

Cara penggunaan seperti berkongsi tiub juga boleh menyebabkan jangkitan seperti Tibi, Hepititis dan ulser mulut.

"Selain menghasilkan asap yang banyak seperti menghisap 200 batang rokok, shisha juga mengandungi nikotin 100 hingga 200 lebih tinggi daripada rokok," katanya.

Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi di negara ini menunjukkan menghisap shisha popular di kalangan golongan belia di bandar dan kelaziman paling tinggi ialah mereka yang berumur 15 hingga 19 tahun.

"Bagi dewasa (berumur 18 tahun dan ke atas), ialah hampir 20 peratus dan apa yang paling membimbangkang ialah 1.5 peratus wanita Malaysia menghisap shisha," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment