My Add

Tuesday 6 August 2013

Tarikan rakyat Singapura

Oleh Fadzil ZAINOL

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Malaysia menjadi tumpuan pelabur hartanah dari Singapura apabila rakyat negara itu menguasai 90 peratus pembelian hartanah membabitkan transaksi sebanyak RM48.4 juta, daripada dua Pameran Hartanah Malaysia (MPS) yang diadakan bulan lalu.

Menurut PropertyGuru, harga hartanah yang agak mahal menyebabkan rakyat Singapura memilih membeli hartanah di Malaysia yang jauh lebih murah.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Gerard Kho berkata, selain faktor harga, undang-undang pembiayaan yang ketat menyebabkan mereka beralih pada hartanah di negara ini.

''Pelaksanaan Nisbah Khidmat Bayaran Hutang (TDSR) di Singapura yang mewajibkan syarikat penyedia pembiayaan mengambil kira status kewangan dan hutang sedia ada pemohon sebelum meluluskan sebarang pinjaman perumahan menyebabkan rakyat negara itu beralih ke pasaran hartanah Malaysia.

"Permintaan ke atas hartanah di Malaysia masih tinggi di kalangan rakyat Singapura. Kami yakin mereka menaruh minat pada projek hartanah di Iskandar Malaysia," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Selain itu, faktor ruang yang terhad di Singapura menyebabkan ramai rakyat negara itu beralih ke negara ini terutamanya di Iskandar Malaysia bagi memiliki hartanah dan kediaman mewah yang lebih luas.

Nilai pelaburan daripada rakyat Singapura itu dicatatkan pada dua MPS yang diadakan di negara jiran pada 13 dan 14 Julai dan di Johor pada 27 dan 28 Julai lalu.

Dua pameran yang berlangsung itu telah menjana jualan hartanah keseluruhan bernilai RM48.4 juta dengan 90 peratus daripadanya disumbangkan oleh pembeli rakyat Singapura.

Pameran yang diadakan di Singapura telah menarik 2,155 pengunjung tempatan dengan mencatatkan hasil jualan 30 unit hartanah yang bernilai RM30.1 juta.

Sementara pameran di Johor yang berjaya menarik 1,349 orang pengunjung termasuk rakyat Singapura. Sebanyak RM18.3 juta hasil jualan hartanah berjaya direkodkan.

Antara lokasi pilihan pembeli adalah di Iskandar, Johor dan Kuala Lumpur.

Pameran Hartanah Malaysia merupakan sebahagian aktiviti bulanan PropertyGuru bagi menyediakan platform antarabangsa untuk menampilkan sejumlah hartanah di rantau Asia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment