My Add

Monday 12 August 2013

Tengku Zaihan tidak tanding pemilihan UMNO

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

BESUT, AHAD, 11 Ogos, 2013: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman tidak berhasrat merebut sebarang jawatan dalam parti UMNO namun mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam tugas sebagai wakil rakyat.

Beliua yang kini merupakan ahli jawatankuasa UMNO Cawangan Kampung Nail berkata, ketika ini beliau lebih berminat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat agar segala perancangan pembangunan yang dijanjikan dapat ditunaikan.

Katanya, pun begitu, beliau menyerahkan statusnya kepada Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menentukan kedudukannya dalam barisan kepimpinan parti bahagian itu.

"Buat masa ini saya tidak berminat dengan mana-mana jawatan dalam parti sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada rakyat di sini terlebih dahulu dan selepas itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukan saya.

"Saya masih baru dan perlu belajar selok-belok dalam parti dan saya rasa buat masa ini biarlah saya bersama rakyat dahulu tambahan pula saya baru sahaja dipilih rakyat bulan lalu," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Alur Pisang, dekat sini semalam.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mahu Tengku Zaihan, 37, bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut berikutan kekosongan jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh ADUN Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa yang melepaskan jawatan itu kerana faktor usia. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment