My Add

Sunday 11 August 2013

Terap pemikiran matang dan rasional

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Ogos, 2013: Golongan muda perlu menerapkan cara pemikiran yang matang dan rasional dalam sebarang tindakan membabitkan isu sensitif demi kesejahteraan di negara ini.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, ini merupakan asas utama dalam melahirkan generasi yang berfikiran positif serta bijak menilai situasi bagi mengelakkan penyalahgunaan sebarang sumber maklumat sebagai medium bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka.

''Pendidikan di peringkat awal dalam menerapkan cara pemikiran yang berdasarkan fakta adalah amat penting bagi memastikan golongan ini tidak hanya bergantung kepada emosi semata-mata.

''Hal ini yang harus dijadikan panduan kepada masyarakat, khususnya golongan muda bagi mengelakkan mereka daripada menyebarkan pengaruh negatif dalam negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang kemunculan isu kontroversi yang dicetuskan melalui laman sosial seperti YouTube dan Facebook yang menghina agama Islam serta menggugat keharmonian negara baru-baru ini.

Antaranya isu Wee Meng Chee atau Namewee yang memaki-hamun pelbagai pihak berhubung penangguhan filem The New Village dalam video dimuat naik ke laman YouTube pada 1 Ogos lalu.

Sebelum itu, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, mengeluarkan penerbitan menghasut dengan kandungan gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan bak kut teh..wangi, enak, menyelerakan)!!! berserta logo halal.

Sementara itu, Pensyarah Psikologi Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Intan Hashimah Mohd. Hashim berkata, hak kebebasan bersuara seharusnya tidak melangkaui batas agama dan perkauman yang mampu memudaratkan keadaan dalam negara ini.

Jelasnya, hal ini bagi memastikan keseimbangan dalam menyatakan pendirian supaya tidak mengguris atau menghina mana-mana pihak.

''Generasi muda kini kurang menyedari kepentingan penggunaan bahasa yang sesuai serta fakta yang diuar-uarkan dalam laman sosial yang mampu menjadikan keadaan lebih teruk.

''Jika mereka berhasrat untuk menyatakan sebarang pendirian, gunakan cara dan medium yang betul dan berhemah dalam sebarang tindakan mereka,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment