My Add

Monday 5 August 2013

Terbakar kerana letupan kereta Bentley?

 * KERETA mewah jenama Bently yang hangus dalam kebakaran rumah milik pengusaha produk kecantikan di Taman Meru, Ipoh, kelmarin. - utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin
IPOH, AHAD, 04 Ogos, 2013: Seorang pekerja syarikat produk kecantikan Vida Beauty yang terselamat dengan nekad terjun dari balkoni mendakwa melihat api marak di pekarangan luar sebelum rumah itu terbakar sehingga meragut tiga nyawa di Meru Hill, Bandar Meru Raya di sini malam tadi.

Khairul Anuar Abu Bakar, 32, pereka dan jurugambar syarikat tersebut turut mendakwa, ada mendengar bunyi satu letupan yang dipercayai dari sebuah kereta mewah jenis Bentley yang diletakkan di pekarangan rumah ketika turun untuk memeriksa.

Beliau bagaimanapun naik semula ke tingkat atas untuk memaklumkan kepada seorang lagi pekerja syarikat itu, Mohd. Nor Syamil Zaidi dan dua anak Datuk Dr. Hasmiza Othman (atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida) iaitu Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11, dan adiknya, Edrie Zikri, 10.

"Namun, apabila saya naik, tiba-tiba sahaja suis utama meletup dan 'black out' manakala api marak. Dalam keadaan gelap, saya memimpin tangan mereka (Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri) diikuti Mohd. Nor Syamil turun, namun asap terlalu tebal, maka kami terpaksa naik semula," katanya di sini hari ini.

Khairul Anuar memberitahu, dalam keadaan panik, beliau mengambil keputusan untuk terjun melalui balkoni di belakang rumah, namun, Mohd. Nor Syamil yang berada di belakangnya, tiba-tiba berundur ke belakang lalu berlari masuk ke dalam tandas diikuti Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri.

"Mereka (anak-anak Dr. Vida) meronta-ronta untuk dilepaskan daripada pegangan tangan saya. Saya tiada pilihan lain selain melompat daripada balkoni, namun begitu, saya bernasib baik kerana terjatuh di atas sebuah kanopi di belakang rumah.

"Seorang lagi pekerja iaitu Ropie Ismail, 31, juga berjaya menyelamatkan diri dengan terjun di belakang rumah, namun, dia patah kaki akibat terjatuh di atas tanah," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi, tiga termasuk dua anak kepada pengasas produk kecantikan Vida Beauty meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat berkenaan di sini yang turut memusnahkan sebuah kereta mewah jenis Bentley, sebuah Perodua Kancil dan beberapa buah motosikal.

Dr. Vida yang sudah berpisah dengan suaminya mempunyai empat orang anak iaitu Eddie Zuhdi, Edrie Zikri, Edlin Zamilin, 8, dan Eric Zaquan, 6. Ketika kejadian beliau berada di Pulau Pinang dan bergegas ke Ipoh sebaik sahaja mendapat tahu berita itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran kemungkinan disebabkan oleh berlakunya litar pintas.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut dan polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment