My Add

Tuesday 13 August 2013

Terserah kepada ahli Pas tentukan isu Syiah - Harun

HARUN TAIB 
KUALA TERENGGANU, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan Pas tidak perlu tunduk kepada kemahuan sesetengah pihak yang mencabar parti itu supaya mengemukakan usul untuk 'membersihkan' fahaman Syiah dalam muktamar parti tahun ini.

Namun katanya, terserah kepada ahli-ahli parti untuk menentukan sendiri perkara tersebut jika mereka merasakan perlu tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Sebab apa nak cabar pula? Nak desak kita buat (kemuka usul basmi Syiah dalam Pas). Setahu saya, mereka ini (yang mencabar perwakilan Pas supaya kemukakan usul) adalah mereka yang tidak berkenaan.

"Jadi, dalam hal ni, saya rasa terpulang kepada ahli. Biar mereka yang buat keputusan. Lagipun, rumah tangga Pas, biarlah ahli Pas sendiri yang tentukan. Orang luar jangan masuk campur," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harun mengulas cabaran yang dilontarkan oleh dua aktivis Pas iaitu Mohd. Riza Kamaruddin dan Norman Toha yang mahu usul pembersihan Syiah dikemukakan dalam muktamar parti tahun ini bagi membendung perkara itu secara lebih serius.

Menurut Mohd. Riza, pemimpin Pas tidak boleh melihat Syiah mengikut kepentingan politik sebaliknya berpendapat fahaman itu perlu diperangi kerana melibatkan akidah umat Islam.

Norman yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor pula berharap agar ketetapan mengenai perkara itu dibincangkan dalam muktamar memandangkan isu Syiah belum pernah dibangkitkan sepanjang penglibatan beliau dalam parti itu sejak tahun 1993.

Dalam pada itu, Harun sekali lagi menegaskan pada pengamatannya bahawa tidak ada ahli atau pemimpin yang berfahaman Syiah dalam Pas.

"Saya yakin tidak ada ahli Pas yang terlibat dengan Syiah. Jadi, mengapa perkara ini perlu terus dibangkitkan?" soal beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment