My Add

Tuesday 6 August 2013

Tiada kompromi jika Op Selamat gagal - PDRM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Polis tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh tanpa kompromi dalam kempen keselamatan jalan raya akan datang, sekiranya Op Selamat yang dilancarkan sempena perayaan Aidilfitri, lima hari lalu mencatat kegagalan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perkara itu harus difikirkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa depan memandangkan setiap kali kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan, tiada perubahan ketara dari segi kemalangan maut direkod.

Beliau berkata, pendekatan total enforcement akan dilaksana memandangkan sikap pengguna jalan raya ketika ini masih di takuk lama dan tidak berubah hingga menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya tidak dapat dielakkan.

"Sebenarnya setiap tahun kita sentiasa mengkaji Op Selamat dan tidak pernah jemu untuk membuat sesuatu bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

"Tetapi, sebaik mana pun kempen dilakukan, kemalangan dan kematian masih lagi berlaku. Lihat sahaja semalam apabila 10 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan dan walau melibatkan satu kes pun, perkara itu masih mendatangkan kebimbangan buat kami.

"Oleh itu, jika perlu pendekatan total enforcement kita akan lakukan selepas ini. Buat masa ini, Op Selamat masih menggunakan pendekatan advokasi dan penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang jumlah korban nahas yang meningkat pada kempen Op Selamat kali ini biarpun baru lima hari dilancarkan.

Setakat kelmarin, sebanyak 53 kemalangan maut dicatatkan di seluruh negara dengan tujuh kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 nyawa pada minggu ini sahaja.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, jika pendekatan sebegitu dilaksanakan, beliau mengharapkan masyarakat di negara ini akan menerima dan tidak merungut.

"Kita mengharapkan jika polis melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya, tiada lagi rungutan sama ada dari masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak tertentu yang tidak berpuas hati.

"Apa yang kita lakukan nanti adalah untuk kebaikan semua kerana jumlah kematian setiap kali kempen tidak mencatat penurunan drastik sebaliknya perbezaan kemalangan hanya kurang daripada 200 kes sahaja berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Bercakap tentang punca kemalangan maut yang masih tidak berkurangan sepanjang musim perayaan ini, Khalid berkata, sikap pengguna jalan raya sendiri menjadi penyebab utama.

"Sikap pemandu sendiri yang tidak mematuhi peraturan jalan raya, memandu laju dan tidak sabar ketika berada di atas jalan menjadi punya kematian direkodkan.

"Saya ingin ingatkan kepada penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati di atas jalan raya kerana statistik menunjukkan merekalah yang banyak menyumbang kepada kematian di jalan raya," katanya.

Terdahulu, Khalid bersama pegawai kanan PDRM hadir dalam majlis pemakaian pangkat 18 ketua polis negeri dan timbalannya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment