My Add

Wednesday 21 August 2013

Tidak setuju guna sistem rujukan maklumat kredit berpusat

KUANTAN, SELASA, 20 Ogos, 2013: Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) tidak bersetuju dengan pendekatan kerajaan untuk menggunakan sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka.

Ketua Penerangan SAM1M, Muhammad Faiz Hashim berkata, jika tindakan itu dilakukan, anak muda akan menerima kesan dan tekanan yang lebih teruk selain sedang bergelut di dalam survival kehidupan serta kos sara hidup di bandar yang kini semakin tinggi.

"Sudahlah anak muda tidak mampu memiliki rumah kerana kos rumah yang terlalu tinggi, sekarang mahu menyenaraihitamkan pula mereka. Tindakan ini seolah-olah menindas anak muda dan kesan di sebaliknya mereka akan terus menjauhi kerajaan.

"Banyak kaedah lain yang boleh digunapakai dalam menyelesaikan permasalahan ini umpamanya pihak kerajaan berbincang dengan majikan tempat peminjam bekerja dan membuat potongan yang paling minimum dan tidak membebankan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bermula Ogos ini, lebih 400,000 peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman mereka akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman daripada institusi kewangan di negara ini.

Idris berkata, bagi melaksanakan tindakan itu, PTPTN akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyenaraikan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman melalui CCRIS.

Muhammad Faiz berkata, kerajaan perlu bijak menyelesaikan sesuatu masalah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Beliau berkata, pemerintah yang bijak bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah malah berkemampuan menarik sokongan orang muda agar lebih meyakini mereka.

"Kerajaan seharusnya menarik lebih ramai sokongan anak muda, bukannya menjauhkan lagi dan isu PTPTN adalah isu yang dekat dalam diri anak muda," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment