My Add

Tuesday 6 August 2013

Tiga ditahan bantu siasatan kes tembak pengasas Ambank

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Polis menahan seorang lelaki dan dua wanita semalam berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi, 75, pada 27 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berumur 42 tahun yang dipercayai berada bersama suspek utama kes itu ketika kejadian, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada jam 10 malam tadi.

"Sebelum itu, polis membuat serbuan di rumahnya di Selangor. Bagaimanapun, lelaki itu tiada di rumah. Namun, pada kira-kira 10 malam, dia menyerah diri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dua wanita berumur 47 dan 61 tahun, yang merupakan pemegang amanah tokong Cina berhampiran lokasi pembunuhan, ditahan pada 1.30 tengah hari semalam di sekitar kawasan itu bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya, penahanan dua wanita itu dijangka dapat memberi maklumat penting berhubung motif pembunuhan.

"Kami difahamkan, Hussain terlibat dalam rundingan supaya tanah tokong itu tidak diusik, dijual atau dirobohkan. Maknanya mangsa cuba menyelamat atau melindungi tokong itu.

"Namun, ini hanyalah maklumat awal. Siasatan lanjut akan kita jalankan bagi mencari motif sebenar kes pembunuhan ini," katanya sambil menambah isteri Hussain belum dapat memberi keterangan berikutan kecederaan yang dialami dalam kejadian tembakan itu.

Sementara itu, Ku berkata pemandu teksi yang ditahan Selasa lepas di Sri Petaling menunjukkan polis sebuah rumah di Brickfields sebelum polis menemui pistol jenis Walther 9mm di dalam peti surat rumah itu.

"Bagaimanapun, pistol itu tidak digunakan dalam kes pembunuhan Hussain," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai membantu menjejaki suspek utama kes itu, Kong Swee Kuan, 44, yang sebelum ini dikenali sebagai Sei Ngan Chai atau Ah Chian (nama samaran).

Dalam kejadian itu, Hussain, 75, mati manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari tokong Cina di Lorong Ceylon di sini.

Hussain terkena dua das tembakan di dada dan mati di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment