My Add

Tuesday 13 August 2013

Tindakan drastik kekang penyebaran fahaman

KUALA LUMPUR ISNIN, 12 Ogos, 2013: Tindakan lebih drastik perlu dilakukan termasuk mewartakan fatwa anti-Syiah di seluruh negeri dalam usaha menyekat penularan fahaman itu dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee berkata, langkah itu penting memandangkan usaha menyebarkan fahaman tersebut ketika ini semakin membimbangkan.

Dalam masa sama, tegas beliau, usaha penguatkuasaan juga perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan penyebaran fahaman itu dibanteras secara menyeluruh.

"Tindakan segera dan lebih agresif itu perlu kerana kesan daripada ajaran tersebut boleh membawa kepada perpecahan, persengketaan dan paling bahaya fahaman itu menghalalkan darah sesama umat Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman supaya fatwa anti-Syiah diwartakan di setiap negeri bagi mengelak perbalahan dalam masyarakat Islam berikutan fahaman terbabit bagaikan duri dalam daging yang boleh memecah-belahkan sekali gus menimbulkan persengketaan sesama umat Islam.

Dalam masa sama, Zulfakar mencadangkan Kementerian Pendidikan memasukkan mata pelajaran berkaitan ajaran sesat, ancaman dan bahaya fahaman Syiah dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

"Masih ramai umat Islam yang tidak tahu tentang ajaran lain selain yang diamalkan di negara ini. Sebab itu apabila didedahkan dengan ajaran baharu yang memaklumkan jalan mudah ke syurga, mereka sering terpedaya hanya kerana menggunakan nama Islam itu sendiri," katanya.

Sementara itu, pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, pewartaan fatwa anti-Syiah itu wajar memandangkan penyebaran fahaman tersebut boleh melemahkan perpaduan umat Islam.

Selain itu, tambah beliau, usaha memperkukuh akidah dan pegangan agama dalam kalangan umat Islam juga perlu dipertingkat supaya tiada ruang untuk pihak tertentu membawa fahaman baharu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Umat Islam juga diseru membuat rujukan kepada pihak berwibawa dalam soal agama Islam seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekiranya mendapati terdapat keraguan dalam usaha dakwah oleh pihak tertentu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment