My Add

Sunday 4 August 2013

Tingkat kecekapan pasukan keselamatan berbanding perkenal undang-undang baru

SEREMBAN, SABTU, 03 Ogos, 2013: Kerajaan seharusnya menumpukan usaha untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan anggota keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah berbanding cuba memperkenalkan undang- undang baharu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif berkenaan mampu direalisasikan dengan memperkasakan kemahiran anggota PDRM dalam siasatan jenayah serta meningkatkan kemudahan pasukan itu.

"Secara peribadi saya tidak setuju dengan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan kerana melanggar hak asasi manusia dan perkara yang tidak boleh kita terima.

"Maka kita tidak perlu memperkenalkan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sebaliknya kita perlu meningkatkan lagi keupayaan pasukan keselamatan kita," katanya dalam sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa bersama Pemuda UMNO negeri dan Kelab Wartawan Negeri Sembilan (Ikwan) di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden Ikwan, Mohd. Rais Yeop Johari, pengamal media serta Ketua-Ketua Biro akhbar tempatan.

Mengulas lanjut mengenai polemik rang undang- undang baharu yang dikatakan mempunyai elemen penahanan tanpa bicara bagi menangani jenayah berat untuk dibentangkan di Parlimen, September ini, Khairy menjelaskan, polis sebenarnya memiliki kuasa besar dalam membanteras jenayah.

"Ini kerana pasukan keselamatan kita mempunyai kuasa yang agak besar di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang membenarkan mereka menahan reman terhadap mana-mana suspek jenayah," ujarnya.

Menurut Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, sekiranya satu undang-undang baharu perlu diperkenalkan, tidak boleh mengandungi elemen penahanan tanpa perbicaraan kerana melanggar prinsip dalam Perlembagaan.

"Apa yang perlu diutamakan adalah aspek perlindungan kepentingan dan keselamatan saksi jenayah.

"Walaupun saksi dilindungi oleh Akta Perlindungan Saksi 2009, mereka masih perlu tampil ke hadapan untuk memberi keterangan sekali gus mengancam keselamatan mereka," jelas beliau lagi.

Katanya, beberapa undang-undang perlu dipinda untuk memastikan keselamatan saksi terjamin dan itu mungkin boleh diterima untuk diaplikasikan pada undang-undang baharu.

Rang undang-undang baharu itu bertujuan membanteras jenayah selepas kerajaan memansuhkan Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad pada 2011. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment