My Add

Tuesday 6 August 2013

Tolak petisyen bukti tiada penyelewengan PRU-13

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Penolakan mahkamah terhadap satu persatu petisyen pilihan raya oleh pihak pembangkang membuktikan dakwaan berlakunya penyelewengan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah tidak benar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun membuat pelbagai dakwaan, pihak pembangkang dalam permohonannya gagal mengemukakan sebarang bukti hingga membuatkan permohonan mereka tidak diterima oleh mahkamah.

"Apabila disuruh membawa bukti, tiada bukti dikemukakan hingga setiap satu kes yang dibawa telah ditolak oleh mahkamah.

"Ini menunjukkan dakwaan mereka itu tidak benar,'' katanya ketika berucap melancarkan penubuhan Pusat Percetakan al-Quran Mushaf Malaysia di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua kakitangan PNMB.

"Saya telah dimaklumkan pihak pengurusan PNMB ada memohon kelulusan khas Kementerian Kewangan selepas kakitangan syarikat ini telah bekerja secara luar biasa mencetak kertas-kertas undi pilihan raya sehingga pihak pembangkang tidak dapat membawa sebarang bukti pun berlakunya penyelewengan pada PRU-13.

"Di sini saya ingin menghargai sumbangan para pekerja PNMB. Oleh itu, saya dengan ini meluluskan permohonan pihak pengurusan untuk membayar pemberian khas sebanyak RM1,000 kepada setiap pekerja sempena hari raya kali ini,'' ujarnya.

Beliau berkata, adalah diharap pemberian khas itu boleh memberi semangat kepada para kakitangan untuk bekerja dengan lebih gigih lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Urusan PNMB, Izham Yusoff berkata, pemberian khas itu melibatkan 1,100 kakitangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment