My Add

Tuesday 13 August 2013

TPPA buka pasaran pemerolehan kerajaan

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka membuka peluang perniagaan dalam pasaran pemerolehan kerajaan bagi syarikat Malaysia dalam semua 11 negara rakan yang lain.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, ia akan memastikan tahap pembukaan pasaran dalam pemerolehan kerajaan berpandukan kepada kepentingan dan kebimbangan pemegang kepentingan tempatan.

"Had yang diputuskan dalam tawaran kami, iaitu, nilai tawaran yang akan dibuka bagi pembidaan oleh syarikat-syarikat daripada anggota TPP, akan diputuskan menerusi perundingan dengan pemegang kepentingan kami.

"Bahagian kepentingan kepada komuniti perniagaan Bumiputera dan PKS tidak termasuk dalam tawaran Malaysia," kata MITI.

Dari segi Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) MITI berkata, perunding Malaysia menyedari kebimbangan berhubung perkara itu, yang merangkumi bahagian yang besar dalam TPPA.

Ia berkata, kebimbangan itu akan diketengahkan dalam rundingan.

ISDS adalah satu bentuk bantuan yang dibenarkan kepada pelabur bagi timbang tara antarabangsa selain mahkamah domestik.

Mengenai status terkini rundingan TPPA, MITI berkata, masih ada banyak isu sensitif dan rumit, yang perlu dibawa ke tahap politik yang lebih tinggi untuk penyelesaian.

"Kerajaan akan terus berbincang dengan semua pemegang kepentingan," kata kementerian itu.

MITI mengadakan Hari Terbuka pada 1 Ogos untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dan media mengenai isu-isu yang menyelubungi TPPA dan mendengar kebimbangan mereka.

Pada 6 Ogos, MITI juga bertemu dengan Coalition to Act Against the TPPA Malaysia, dan membincangkan cara-cara untuk meningkatkan interaksi dengan pemegang kepentingan.

MITI berkata, ia mengalu-alukan maklum balas dan pandangan daripada semua pihak berkaitan TPPA.

Ia juga berkata, melindungi kepentingan dan kedaulatan negara akan kekal menjadi keutamaan paling utama dalam membimbing pasukan rundingan Malaysia.

"Dalam hal ini, pendirian Malaysia akan mengambil kira peruntukan dalam Perlembagaan, hak-hak negara dan dasar teras kerajaan," kata kementerian itu.

Mengenai akses kepada perubatan dan penjagaan kesihatan mampu milik, MITI berkata, perunding Malaysia akan terus merundingkan keputusan yang akan membolehkan rakyat Malaysia memperoleh akses kepada kedua-dua sektor itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment