My Add

Thursday 22 August 2013

TPPA: Jangan tuduh melulu

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta semua pihak tidak membuat tuduhan melulu terhadap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, adalah tidak adil serta tidak profesional pegawai-pegawai kementerian yang sentiasa berusaha keras memastikan kepentingan negara terpelihara di dalam rundingan TPPA dilabel sebagai pengkhianat.

Merujuk kepada ruangan Cuit, beliau berkata, JMM tidak bersifat berat sebelah dalam isu tersebut dan sebagai pertubuhan Melayu berpaksikan perjuangan mempertahankan kepentingan Melayu dan bumiputera, tidak akan sesekali menyokong sebarang tindakan yang mempunyai agenda menggadai negara.

"JMM tidak mengambil pendirian konfrantasi dalam isu TPPA. Pendirian JMM dalam isu TPPA adalah jelas iaitu segala aspek berkaitannya perlu dibincangkan secara rasional dengan mengambil kira kepentingan bumiputera dan negara.

"Namun, JMM terkilan dengan mesej diketengahkan penulis yang mana tuduhan berat telah dilakukan kepada pegawai-pegawai dalam agensi kerajaan, khususnya MITI dengan melabelkan mereka sebagai Si Kitol yang cuba menggadai kepentingan negara kepada kuasa asing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas ruangan Cuit tulisan Datuk Zaini Hassan yang disiarkan hari ini bertajuk TPPA: Benarkah ada Si-Si Kitol dalam MITI?

Ujar Azwanddin, ketika Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan para pegawai kementerian berusaha keras memastikan kepentingan negara terjamin di dalam rundingan TPPA tuduhan serta label Si Kitol yang disebarkan melalui rencana itu tidak sepatutnya berlaku.

"JMM sebenarnya mengalu-alukan komitmen jemaah Menteri seperti yang disiarkan di Utusan Malaysia minggu lalu iaitu kerajaan sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan kepentingan negara berhubung syarat-syarat yang diletakkan dalam TPPA.

"TPPA hanya akan dipersetujui jika syarat yang diletakkan benar-benar memihak kepada Malaysia," ujarnya.

JMM juga katanya, menyambut baik inisiatif tambahan kerajaan melakukan dua analisis kos-faedah (CBA) yang memberi fokus kepada kepentingan perusahaan kecil dan sederhana serta perniagaan milik bumiputera di dalam TPPA.

Beliau berkata, inisiatif tambahan tersebut akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap tahap daya saing kaum Melayu dan bumiputera dalam konteks TPPA dan JMM berharap inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempelawa mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama memberi input kepada pihak MITI untuk tujuan penambahbaikan dalam segala perkara berkaitan TPPA. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment