My Add

Thursday 22 August 2013

Tubuh jawatankuasa siasat punca nahas - TPM

BANGKOK, RABU, 21 Ogos, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat punca kemalangan yang membabitkan sebuah bas sehingga mengorbankan 37 penumpangnya di Genting Highlands hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi memastikan langkah-langkah sepatutnya dapat diambil bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

Menurutnya, pihak berkenaan terutamanya Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengenal pasti punca kemalangan itu.

"Ini sesuatu yang amat menyedihkan, sebelum ini pernah berlaku kemalangan di Genting Highlands tetapi jumlah kematian tidak sebesar hari ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja tiba di sini hari ini bagi melakukan lawatan kerja dua hari ke negara ini bermula esok.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu menunjukkan ketegasan ekoran kemalangan tersebut bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan lebih penting kemalangan seumpama itu tidak berulang.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu perlu menyiasat kemungkinan kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu, keadaan bas yang kurang baik, bas dipandu laju atau brek bas gagal berfungsi.

"Apa pun kita harap tindakan segera dapat diambil kerana laluan itu digunakan selalu oleh pelancong untuk turun naik ke Genting Highlands," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga berasa sedih dengan kejadian tersebut yang melibatkan terlalu banyak jumlah korban.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi kejadian itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment