My Add

Friday 2 August 2013

Tujuh sekawan aktif menyamun dicekup

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Polis negeri ini berjaya menyelesaikan 16 kes samun di sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Nusajaya dengan tertangkapnya tujuh lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an yang antara lain menggunakan pedang samurai untuk menyamun baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, susulan daripada maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee pada pukul 2 petang, 24 Julai lalu.

"Pihak polis kemudian berjaya menangkap dua lelaki dan merampas sebuah peti besi yang telah dipecahkan di garaj rumah tersebut dan hasil siasatan mendapati, ia sama dengan peti besi yang telah disamun daripada sebuah hotel di Setia Indah pada 18 Julai lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Susulan daripada soal-siasat yang dijalankan, ujar Mohd. Mokhtar, pihaknya berjaya mengesan dan menangkap lima lelaki lagi yang sedang menginap di sebuah hotel di sekitar Stulang Laut di sini.

"Kita telah merampas hasil samun seperti 16 telefon bimbit, set walkie talkie, sebuah kereta curi, satu Ipad Acer, satu set Sony Playstation 2, satu set Sony PS Litar, satu alat timbang elektronik, dua lampu suluh hitam yang berfungsi sebagai alat genjatan elektrik.\"Selain itu, kita juga menjumpai kad pengenalan milik mangsa samun, tiga kunci kereta (dua kereta jenis Proton dan sebuah jenis Perodua), sekeping plat pendaftaran kereta WFV 6253, alat pertukangan, tukul, pemutar skru termasuk sebilah pedang samurai," katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah kesalahan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan ujian awal urin yang dijalankan, mereka positif dadah.

Mohd. Mokhtar berkata, kesemua tujuh suspek direman hingga 5 Ogos ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. - KOSMO! 

No comments:

Post a Comment