My Add

Tuesday 13 August 2013

UiTM jelaskan kelonggaran khas

Oleh HELMI MOHD. FOAD

SHAH ALAM, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan kelonggaran khas yang diberikan kepada lepasan matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) untuk memasuki universiti tersebut adalah untuk program diploma dan bukannya ijazah.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, terdapat segelintir pihak salah faham dengan pengumumannya mengenai perkara itu sebelum ini sehingga timbul tanggapan bahawa UiTM menjatuhkan tarafnya dengan memberikan tempat kepada pelajar yang gagal ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Sebenarnya tawaran bukan untuk program ijazah kerana pilihan untuk ijazah sudah selesai dan mereka yang tidak dapat memasuki program itu boleh mengemukakan rayuan kemasukan ke peringkat diploma.

"Para pelajar tersebut mempunyai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik dan pengecualian akan diberikan supaya pengajian diploma dapat dipendekkan dan selepas itu dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang tinggi mengikut merit, mereka boleh memohon ijazah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan akhbar hari ini memetik Sahol Hamid sebagai berkata, lepasan program matrikulasi, asasi dan SPTM yang gagal memasuki mana-mana IPTA masih berpeluang mengikuti program diploma di UiTM.

Beliau berkata, golongan terbabit boleh menghantar surat rayuan secara terus kepadanya di Pejabat Naib Canselor UiTM Shah Alam dengan menyertakan keputusan peperiksaan yang diperoleh.

Sahol Hamid menjelaskan, para pelajar yang gagal diterima masuk ke IPTA boleh diterima masuk untuk program diploma di kampus-kampus UiTM dengan pengecualian dan langkah itu adalah tawaran khas dengan setiap permohonan bertulis akan diberikan pertimbangan.

Tambahnya, permohonan rayuan itu perlu dikepilkan salinan PNGK dan keputusan SPM dan STPM selain syarat kepada lepasan STPM, mereka perlu ada lima kredit dalam SPM.

"Cuba fikirkan, jangan jadi kurang pintar dan pentingkan diri dalam perhitungan ini. Kita hanya ingin memberikan peluang kepada anak bangsa kita. Sebenarnya hanya pelajar terbaik sahaja yang dipilih untuk matrikulasi dan asasi dan ada pelajar daripada golongan ini yang kurang bernasib baik.

"Dengan memberikan peluang kepada mereka, UiTM akan mengambil yang terbaik untuk program diploma di universiti ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment