My Add

Wednesday 7 August 2013

UMNO Bahagian Masjid Tanah restu Mas Ermiyati bertanding

 Mas Ermiyati
ALOR GAJAH, SELASA, 06 Ogos, 2013: Kepemimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah merestui dan menyokong penuh keputusan Ahli Parlimen kawasan tersebut, Mas Ermiyati Samsudin yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan September ini.

Mereka menyifatkan ketokohan Ketua Puteri Melaka itu yang mempunyai pengalaman dan kewibawaan memimpin sayap UMNO negeri sejak tiga penggal lalu memberi kelebihan kepadanya jika diberi peluang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Kapten (B) Ab. Karim Sulaiman berkata, Mas Ermiyati memiliki pengalaman, kebolehan dan kewibawaan untuk dipilih sebagai ketua pergerakan sayap itu yang baharu.

Menurutnya, pengalamannya di bawah tiga Ketua Puteri seperti Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin adalah bukti kebolehan yang ada pada dirinya.

''Saya lihat beliau (Mas Ermiyati) mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin yang dikehendaki parti untuk menerajui sayap UMNO ini.

"Berlatarkan pendidikan tinggi hingga dilantik sebagai peguam, peramah, mesra, mudah tersenyum adalah antara kriteria ada padanya dan sesuai dipilih sebagai pemimpin sayap yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Berbuka Puasa di A'Famosa Resort, dekat sini semalam.

Bagi Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Talib Bachek berkata, Mas Ermiyati adalah calon paling layak untuk dilantik sebagai ketua pergerakan yang baharu.

Beliau berkata, ini kerana, pengalaman luas menjadi Ketua Puteri negeri di bawah tiga ketua pergerakan terdahulu banyak mendedahkannya kepada suasana politik sebenarnya.

''Kemenangannya di kerusi Parlimen Masjid Tanah menunjukkan kewibawaan sebenarnya selaku wakil rakyat serta seorang pemimpin muda yang berketerampilan," katanya.

Selain itu, katanya, pengalamannya bertugas sebagai setiausaha khas sewaktu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menjadi Ketua Menteri melengkapkannya untuk bertanding pada pemilihan September ini.

Naib Ketua Pemuda Bahagian, Abd. Kadir Md. Idris turut menyatakan sokongan padu kepada Mas Ermiyati yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri pada pemilihan tahun ini.

''Kejayaannya memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum yang lalu membuktikan keupayaan serta kemampuannya untuk membimbing generasi muda dalam Puteri," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment