My Add

Sunday 4 August 2013

Umno Pulau Pinang tubuh jawatankuasa sokongan masyarakat bandar

GEORGE TOWN, AHAD, 04 Ogos, 2013: Umno Pulau Pinang akan menubuhkan jawatankuasa khas yang bertugas sepenuh masa bagi menggerakkan usaha meraih sokongan masyarakat bandar, terutama golongan muda, terhadap Umno.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata jawatankuasa dengan urusetia bergaji sepenuh masa itu antara lain akan mendekati golongan belia seawal lepasan sekolah dan memperbanyakkan program untuk mereka.

"Kita mahu kembalikan kegemilangan Umno yang suatu ketika dahulu menjadi medium kepada golongan belia untuk bergiat aktif dalam masyarakat dan langkah ini diharap dapat melahirkan pelapis pemimpin masa hadapan.


"Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga akan dijadikan platform dalam usaha mendekati golongan belia ini sekali gus mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam al-Quran Peringkat Pulau Pinang anjuran Jabatan Belia dan Sukan negeri di Masjid Ridwaniah, Teluk Kumbar, di sini malam tadi.

Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno mahu pemimpin parti mengkaji kaedah berkesan bagi membolehkan Umno dan BN kembali diyakini dan menjadi pilihan masyarakat bandar.

Najib ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Umno dan BN di Kuala Lumpur, turut menggesa pemimpin dan anggota parti itu berkerja keras bagi menterjemahkan hanya BN satu-satunya parti yang mampu membangunkan ekonomi negara dan juga parti yang suatu ketika dahulu pernah berjuang memerdekakan negara. 

Terdahulu, 1,000 peserta pelbagai peringkat usia dari 50 masjid serta surau di negeri ini menyertai program tadarus al-Quran yang bermula sejak 25 Julai lepas.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Zakaria Kasa, Pegawai Kemajuan negeri, Syed Shaari Syed Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Nordin Ahmad. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment