My Add

Saturday 10 August 2013

UMNO sudah terima mesej

Oleh THOMAS CHONG
 
PUTRAJAYA, JUMAAT, 09 Ogos, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO menerima mesej mengenai kepentingan untuk parti itu berubah tetapi seperti parti politik lain, parti terbesar Malaysia tersebut memerlukan masa untuk melaksanakan perubahan.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Presiden UMNO menambah, parti itu di bawah kepimpinannya telah mengorak langkah untuk memulakan proses perubahan dengan meminda Perlembagaan parti.

"Untuk memastikan UMNO relevan, parti ini mesti bergerak selari dengan masa supaya kita boleh melambangkan perubahan pada sikap, nilai dan jangkaan masyarakat.

"UMNO adalah parti pemerintah dan adalah mudah untuk pihak lain mengkritik parti kita. Pembangkang senang berjanji dan banyak parti di dunia juga menjanjikan harapan, tetapi mereka gagal menunaikan," katanya dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran beliau bersama anggota Kabinet, di sini semalam.

Najib mengulas kandungan buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia yang memetik komen bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah dipetik berkata, cabaran paling besar yang dihadapi Najib ketika melakukan transformasi adalah bantahan daripada ahli UMNO sendiri.

Najib berkata, ada pihak yang mahukan perubahan kerana melihat akan membawa manfaat namun terdapat juga yang bimbang mereka gagal memanfaatkan perubahan yang berlaku.

"Jika tidak berubah, maka anda akan ketinggalan dan Malaysia akan dipintas negara lain. Kita mesti ada semangat bahawa kita boleh mendahului," katanya.

Beliau berkata, transformasi yang dijalankan ketika ini sebenarnya merupakan kesinambungan daripada usaha yang dilakukan dua bekas Perdana Menteri iaitu Abdullah sendiri dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Apabila kita mahu lakukan transformasi, kita mahu bawa negara berubah kepada sebuah negara maju. Ini komitmen Dr. Mahathir dan disokong Pak Lah (Abdullah), sekarang ia dilaksanakan oleh saya," katanya.

Sementara itu, Najib turut meminta semua rakyat saling menghormati dengan mengelak perbuatan yang mampu menyakitkan hati penganut agama lain.

"Prinsip asas adalah kita mahu hidup harmoni, umat Islam tidak harus menyinggung perasaan orang bukan Islam dan bukan Islam tidak boleh menyinggung perasaan umat Islam.

"Adalah lebih baik tidak menyakiti perasaan orang berbanding (berbincang) berdasarkan siapa yang betul atau salah, kita tidak akan dapat mencapai kata persetujuan kerana setiap orang mempunyai nilai sendiri," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment