My Add

Monday 12 August 2013

UMNO Tanah Merah tunai janji

 *MUSTAPA Mohamed (kanan) diiringi oleh Ikmal Hisham Abdul Aziz (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima sumbangan bulanan berupa barangan dapur dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan, semalam.
TANAH MERAH, AHAD, 11 Ogos, 2013: Seramai 1,100 ibu tunggal dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah ini menerima sumbangan bulanan barangan dapur daripada UMNO Bahagian Tanah Merah.

Sumbangan itu akan diberikan selama tempoh 60 bulan atau lima tahun sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pemberian sumbangan itu bagi memenuhi janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

"Ia juga sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih UMNO bahagian kepada warga Tanah Merah yang telah memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Tanah Merah di sini, hari ini.

Lebih 10,000 warga Tanah Merah terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis tersebut.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan isteri, Datin Seri Kamarzan Ahmad Meah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha dan kepimpinan UMNO bahagian.

Mengulas lanjut mengenai pemberian sumbangan itu, Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, penerima mestilah berdaftar dengan Persatuan Ibu Tunggal Tanah Merah (Ummul Habibah) selain telah berdaftar sebagai pemilih pada pilihan raya umum lalu.

Beliau turut menjelaskan bahawa bantuan itu khusus untuk ibu tunggal dan penerima bantuan JKM dalam DUN Gual Ipoh yang dimenangi oleh BN.

"Setiap bulan mereka akan diberikan kupon barangan dapur yang boleh dituntut di kedai-kedai terpilih. Bagi ibu tunggal di DUN yang tidak dimenangi BN, mereka tetap diberikan bantuan, mungkin setahun dua kali," jelasnya.

Ditanya kos bagi membiayai sumbangan itu yang disifatkan sebagai satu-satunya dalam negara, Ikmal Hisham berkata, ia hasil peruntukan UMNO bahagian sendiri.

Dalam pada itu, beliau memberitahu tidak menawarkan diri untuk bertanding merebut tempat dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Oktober ini kerana mahu memberi tumpuan membangunkan Tanah Merah untuk memastikan kawasan itu kekal menjadi milik BN pada pilihan raya akan datang.

"Saya tidak tawarkan diri bertanding MT kerana nak fokus kepada Tanah Merah kerana misi nak menang kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum tercapai. Kita akan kaji kelemahan seterusnya menyakinkan rakyat agar memilih BN pada pilihan raya akan datang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment