My Add

Tuesday 6 August 2013

Undang-undang lebih tegas ganti Ordinan Darurat


 Nancy Shukri
KUCHING, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Kerajaan akan menggubal undang-undang baharu yang lebih tegas menggantikan Ordinan Darurat bagi mengatasi kadar jenayah di negara ini terutama yang dilakukan oleh bekas penjenayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa undang-undang baharu tersebut akan bertindak menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala yang akan mengkaji dan menyelaras undang-undang baharu itu selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

"Jawatankuasa khas itu turut dianggotai oleh saya sendiri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Senator Datuk Paul Low Seng Kuan.

"Selain mengkaji perkara yang perlu dimasukkan ke dalam undang-undang baharu itu, kami juga akan membuat perbandingan dengan undang-undang yang dilaksanakan di Amerika Syarikat dan Singapura seterusnya meneliti yang mana satu sesuai untuk diamalkan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 28 kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, Ordinan Darurat harus digantikan dengan undang-undang baharu berikutan banyak kes jenayah berbahaya dilakukan secara berulang kali oleh bekas banduan.

Katanya, kerajaan perlu bertindak tegas dalam mengatasi perkara itu agar kegiatan jenayah di negara ini dapat dibendung sekali gus tidak memberi peluang kepada bekas banduan untuk menimbulkan masalah lagi.

"Sementara itu, pihak polis akan menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah.

"Sehubungan itu, orang ramai harus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung kegiatan jenayah daripada terus berleluasa di negara ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment