My Add

Tuesday 13 August 2013

UniMAP berazam jadi penganjur terbaik ASP 2014

KANGAR, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bakal menjadi tuan rumah Asia Summer Program 2014 (ASP) pertengahan tahun depan berazam menjadi penganjur terbaik dengan penyertaan lebih besar.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin menyifatkan pemilihan UniMAP sebagai tuan rumah ASP 2014 adalah cabaran besar apatah lagi penganjur-penganjur sebelum ini telah meletak tanda aras yang tinggi.

Pada majlis penutup ASP2013 di Dongseo University (DSU), Busan, Korea Selatan Julai lalu, beliau menerima bendera ASP yang disampaikan oleh Presiden DSU, Prof. Dr. Jekuk Chang sebagai pengiktirafan kepada UniMAP selaku penganjur ASP 2014.

Menurutnya, DSU telah meletakkan tanda aras yang tinggi bagi kualiti penganjurannya begitu juga dengan Universitas Petra Kristen (PCU), Indonesia yang menjadi tuan rumah pertama program itu pada 2012.

Kamarudin berharap kerjasama melalui ASP akan diperluas dengan mewujudkan rangkaian kerjasama dan kolaborasi dalam pelbagai bidang lain seperti akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan staf.

Sementara itu, Pengarah Program ASP UniMAP, Shafiq Hizwari Md. Hashim berkata, program berkenaan sangat bermanfaat dan memberi impak yang besar kepada pelajar kerana ASP mempunyai keunikan tersendiri berbanding program musim panas lain.

"ASP adalah sebuah program yang memberi pendedahan iaitu pelajar perlu melaksanakan pelbagai tugasan yang mencabar mental dan fizikal mereka, malah penyertaan mereka telah melayakkan pemindahan kredit bagi subjek komunikasi teknikal," katanya.

Peserta terpilih juga terpaksa melalui beberapa tapisan yang ketat sebelum melayakkan mereka untuk menyertainya agar ASP terus kekal sebagai program berprestij.

Menurut Shafiq Hizwari, UniMAP juga menyasarkan penyertaan yang lebih besar pada ASP 2014 untuk memecahkan rekod penyertaan 340 peserta daripada 27 universiti yang menyertai ASP 2013.

ASP pertama kali dianjurkan pada 2012 di PCU dengan penyertaan lima universiti dan angka itu meningkat kepada 27 universiti pada tahun ini dan dijangka terus bertambah tahun depan melalui komitmen UniMAP selaku tuan rumah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment