My Add

Tuesday 13 August 2013

Utamakan rakyat tempatan dalam ambil pemandu bas - FOMCA

KUALA LUMPUR, ISNI, 12 Ogos, 2013: Pengusaha-pengusaha bas perlu memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dalam pengambilan pemandu bas syarikat mereka sebelum membuat keputusan mengambil rakyat asing.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N.Marimuthu berkata, apa yang penting ialah pengusaha bas perlu memastikan gaji yang ditawar mengikut gaji minimum seperti yang diputuskan kerajaan baru-baru ini.

''Isu mengambil rakyat asing sebagai pemandu bas tidak timbul jika gaji dan imbuhan yang ditawarkan setimpal dengan beban kerja ditanggung mereka,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan bahawa Rapid Bus Sdn. Bhd., berhasrat mengambil rakyat asing untuk mengatasi masalah kekurangan hampir 500 pemandu bas dihadapi syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Zohari Sulaiman dipetik sebagai berkata, negara jiran seperti Singapura telah melaksanakan pengambilan pemandu bas rakyat asing berikutan rakyat tempatan tidak berminat bekerja sebagai pemandu bas kerana gaji yang rendah.

Marimuthu berkata, imbuhan yang diterima sebagai pemandu bas perlu setimpal dengan beban kerja yang ditanggung mereka dan pengusaha bas perlu memastikan pemandu yang akan diambil mengikuti kursus serta menjalani saringan kesihatan sebelum dibenar bekerja untuk mencegah kejadian tidak diingini sewaktu bertugas.

Presiden Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia, Sa'adan Man berkata, pihaknya mengesyorkan kerajaan mewujudkan program melatih pemandu bas untuk remaja lepasan sekolah bagi mengatasi masalah itu.

"Kerajaan boleh membantu industri ini dengan mewujudkan program melatih pemandu bas supaya warga tempatan dapat memenuhi permintaan industri ini yang semakin meningkat," katanya.

Sa'adan yang juga pemandu bas bersama Konsortium Transnasional Berhad berkata, pengusaha bas diingatkan supaya tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata dengan menggaji rakyat asing yang sanggup menerima upah murah.

"Pengusaha syarikat bas perlu mengambil berat soal kebajikan pekerja mereka di samping kerajaan juga boleh membantu dengan mewujudkan pelbagai insentif seperti yang dilakukan terhadap pemandu teksi dan nelayan di negara ini," katanya.

Sementara itu, pengguna bas di ibu kota Siti Nor Hazirah Goriman Khan, 21, berkata, beliau merasakan tidak wajar rakyat asing menjadi pemandu bas RapidKL kerana masih ramai rakyat tempatan di negara ini.

"Kenapa kita nak ambil warga asing lagi? Sekarang pun sudah banyak warga asing di negara kita ini, cukup-cukup lah," katanya.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Khairun Nizam Hosen pula berkata, mengambil rakyat asing sebagai pemandu bas boleh mengecilkan peluang pekerjaan bagi sektor separa mahir untuk penduduk tempatan.

"Masyarakat perlu bersikap lebih positif kerana peluang pekerjaan semakin terhad, jadi penganggur perlu melihat ini (jawatan pemandu bas) sebagai peluang yang boleh membantu mereka," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment