My Add

Sunday 11 August 2013

Wanita UMNO kehilangan pemimpin muda berpotensi - Shahriza

KLANG, SABTU, 10 Ogos, 2013: Kematian Exco Pergerakan Wanita UMNO, Allahyarham Norliza Ahmad Khamis lalu disifatkan sebagai kehilangan besar kepada sayap parti tersebut.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Allahyarham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kapar dianggap pemimpin pelapis berpotensi kerana mempunyai komitmen yang tinggi terhadap perjuangan parti.

"Allahyarham menjadi sumber kekuatan kepada Wanita UMNO Selangor dan saya amat bangga dengan kepimpinannya kerana beliau mempunyai kekuatan dalaman, komitmen dan kesetiaan kepada parti.

"Dengan kehilangan Norliza, jawatan beliau dipangku Naib Ketua Wanita UMNO Kapar, Basiah Masjudi yang diharap dapat meneruskan tugas yang ditinggalkan Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bacaan tahlil di rumah Allahyarham di Meru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Norliza, 46, yang menderita penyakit barah hati sejak 2008 kembali ke rahmatullah malam Khamis lalu dan meninggalkan suami, Mohd. Ayub Shamzada, 48, serta lapan anak berusia antara 11 tahun dan 24 tahun.

Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang setelah berjaya menewaskan Dr. Halimah Ali daripada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 dengan majoriti sebanyak 6,085 undi.

Walau bagaimanapun, beliau gagal mempertahan kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 setelah tewas kepada Halimah yang kini merupakan Exco kerajaan negeri dengan majoriti sebanyak 1,459 undi.

Sementara itu, Noh berkata, Allahyarham merupakan tokoh wanita muda yang patut dicontohi kerana keikhlasan dan kecekalannya sepanjang tempoh berkhidmat dengan parti.

Beliau berkata, UMNO Selangor kehilangan seorang pemimpin yang berdedikasi dan sentiasa mahu meneruskan perjuangan parti walaupun dalam keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Saya kagum semasa menziarahi beliau sewaktu sakit sebelum ini, Allahyarham memberitahu sanggup berkerusi roda untuk hadir memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Saya terharu kerana sikap itu menunjukkan arwah pemimpin yang ikhlas dan beliau juga meminta saya fikirkan bagaimana cara merampas semula Selangor. Dalam keadaan sakit, beliau masih ingatkan perjuangan parti," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ayub berkata, mereka sekeluarga menerima dengan reda kehilangan Allahyarham dan akan meneruskan tanggungjawab memelihara lapan orang anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya itu.

Katanya, Allahyarham tidak pernah berputus asa dan mencuba pelbagai rawatan alternatif untuk merawat penyakitnya itu.

"Arwah isteri saya begitu menyayangi UMNO dan sempat meninggalkan pesan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya untuk mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Wanita UMNO yang banyak membantunya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment