My Add

Wednesday 7 August 2013

Warga Iran dalang sindiket pasport palsu

 * SEORANG anggota polis membawa Seyed Ramin Miraziz Paknejad (kiri) ketua sindiket penyeludupan warga Iran yang ditangkap di hadapan bangunan Pekeso di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Polis berjaya memberkas seorang lelaki warga Iran yang menjadi ketua kepada sindiket penyeludupan manusia terbesar di Asia Tenggara di hadapan bangunan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Pekeso), Jalan Ampang di sini Sabtu lalu.

Penjenayah berkenaan iaitu Seyed Ramin Miraziz Paknejad, 45, amat dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan membuat dan mengedar pasport antarabangsa palsu pelbagai negara kepada sindiket penyeludupan manusia, pengedar dadah serta anggota kumpulan militan termasuk suspek pengeboman di Thailand pada Februari 2012.

Polis turut menahan isteri kepada Seyed Ramin untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Pasukan Khas (Operasi dan Anti Pengganas) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, Seyed Ramin pernah ditangkap pada Jun tahun lalu di Pattaya, Thailand kerana didakwa terlibat dalam kegiatan pengeluaran pasport antarabangsa palsu untuk kegunaan sindiket penyeludupan manusia, kumpulan pengganas dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Beliau berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan di kediaman lelaki itu telah menjumpai sejumlah wang tunai pelbagai negara dan dua pasport asing disyaki palsu.

"Seyed Ramin adalah ketua sindiket penyeludupan rakyat Iran yang terbesar di rantau Asia Tenggara.

"Sindiket ini disyaki terlibat dalam penyeludupan ribuan rakyat asing melalui Asia Barat, Asia Tenggara, Eropah, Australia dan Kanada," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, sebelum Jun 2012, sindiket diketuai oleh Seyed Ramin telah beroperasi selama lima tahun di Thailand dan menyediakan lebih 3,000 dokumen perjalanan serta dokumen pengenalan palsu pelbagai negara dengan mengaut keuntungan lebih RM9 juta.

Beliau berkata, semasa ditangkap di Pattaya, pihak berkuasa Thailand turut menjumpai sejumlah pasport palsu asing dan peralatan membuat dokumen tersebut di kediamannya.

Katanya, berita penangkapan Seyed Ramin telah disiarkan dalam akhbar-akhbar di negara itu dan mengikut laporan, lelaki terbabit turut dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen perjalanan palsu untuk suspek-suspek dalam insiden pengeboman di Thailand pada Februari 2012.

"Pasukan Petugas Khas (Operasi dan Anti Pengganas) kini sedang meneruskan pemantauan dan siasatan ke atas saki baki pengikut Sayed Ramin yang terlibat dalam jaringan aktiviti sindiket pemalsuan dokumen perjalanan di Malaysia yang dipercayai mungkin digunakan oleh kumpulan pengganas antarabangsa," katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu, Seyed Ramin telah menyusup masuk ke Malaysia pada Jun 2012 menggunakan pasport palsu Turki dan meneruskan kegiatannya di ibu negara.

Beliau berkata, semasa di Malaysia, Seyed Ramin dipercayai meneruskan aktiviti pengeluaran dokumen perjalanan palsu dengan bantuan jaringan kerjanya di negara ini dan negara-negara lain dalam lingkungan jaringan operasinya.

Menurut sumber lagi, Seyed Ramin amat licik menjalankan aktiviti haram itu dengan mengeksploitasi kelemahan pihak berkuasa dalam mendapatkan bukti bagi menangkap dan mendakwanya khususnya dalam penyaluran wang, penghantaran dokumen palsu yang telah disiapkan dan penyeludupan keluar masuk rakyat asing yang terlibat.

"Seorang lagi anggota sindiket Syed Ramin dikenali sebagai Alex juga warga Iran yang beroperasi di Thailand dan dikaitkan dengan Muhamad Butt iaitu seorang ketua sindiket pemalsuan dokumen yang ditangkap di negara jiran itu pada 2009 kerana menyalurkan dokumen palsu untuk kegunaan anggota militan dari kumpulan Barisan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Lashkar-e-Toiba dan Al-Qaeda," ujarnya.

Difahamkan, Mahkamah Tinggi di Thailand telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Seyed Ramin kerana melarikan diri dari tahanan pihak berkuasa negara tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment