My Add

Tuesday 13 August 2013

Wartakan fatwa anti-Syiah

Oleh NOREHAN SALEH
 
 Abdul Rahman
KUANTAN, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Mewartakan fatwa anti-Syiah di setiap negeri dilihat dapat mengelak perbalahan melanda masyarakat Islam berikutan fahaman terbabit bagaikan duri dalam daging yang boleh memecah-belah sekali gus menimbulkan persengketaan sesama umat Islam.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, masyarakat Islam di negara ini perlu mengambil contoh dan iktibar daripada kejadian di Iran dan Syria yang mengamalkan dua fahaman iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah namun sering berlaku perbalahan sehingga mengorbankan banyak nyawa.

Menurutnya, fahaman itu perlu dibendung segera kerana bimbang akan meracuni pemikiran belia seterusnya membentuk fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita memegang al-Quran, sunnah dan hadis Rasulullah sebagai pegangan hidup namun mereka berbeza apabila hanya berpandu al-Quran tetapi menolak yang lain.

"Jika kita tidak mengekangnya boleh menimbulkan kekeliruan, seterusnya akan memecah-belah umat Islam kepada dua fahaman iaitu Sunni dan Syiah," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sehubungan itu Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengambil tindakan awal bagi mengekang penyebaran fahaman terbabit apabila Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak negeri mengeluarkan arahan mengharamkan segala bentuk penyebaran fahaman Syiah dalam kalangan masyarakat Islam negeri ini.

"Kita sudah memutuskan bahawa haram untuk mana-mana individu atau kumpulan di negeri ini mengamal atau menyebar fahaman Syiah kerana akan menyesatkan akidah umat Islam dan paling penting adalah bertentangan dengan ajaran yang dibawa Ahli Sunnah Wal Jamaah," ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengambil beberapa langkah proaktif menyekat fahaman berkenaan seterusnya mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang cuba menyebar fahaman terbabit kepada masyarakat Islam di negara ini.

"Program pemantapan akidah dan penyebaran maklumat berkaitan fahaman ini perlu dilakukan dengan lebih meluas supaya setiap lapisan masyarakat mengetahui bahaya Syiah yang boleh membawa kepada perpecahan dan kemusnahan kepada Islam," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment