My Add

Tuesday 6 August 2013

Waspada golongan bawa ajaran Islam salah - MB Pahang

BENTONG, SELASA, 06 Ogos, 2013: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya berwaspada terhadap golongan yang mengaku sebagai ulama tetapi sebenarnya cuba menyebarkan ajaran Islam yang salah.

Beliau berkata, ajaran yang bercanggah dengan hadis dan al-Quran boleh membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

"Saya harap umat Islam tidak akan terpengaruh atau terpedaya dengan mereka kerana ajaran yang disebarkan itu salah dan sekali gus boleh menjadikan negara dan umat Islam huru-hara," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada lebih 150 anak yatim di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat agar menghargai nikmat keamanan dan keselesaan yang dikecapi sekarang, berbanding rakyat negara lain yang terpaksa hidup dalam penderitaan akibat peperangan.

"Jika kita lihat di negara Mesir dan Syria, bilangan anak-anak kecil yang menjadi yatim piatu meningkat setiap hari akibat kehilangan ibu bapa kesan daripada peperangan.

"Berbanding di negara ini, anak-anak yatim diberi bantuan yang sewajarnya kesan negara yang aman dan makmur. Jika negara kita huru hara dan berlaku peperangan, sudah tentu anak-anak yatim akan menderita dan sukar untuk meneruskan hidup," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment