My Add

Sunday 11 August 2013

Waspada niat jahat terancang - Sapawi

SIPITANG, SABTU, 10 Ogos, 2013: Umat Islam diminta berwaspada dengan niat jahat 'terancang' pihak tertentu yang cuba menjadikan Islam sebagai alat menggapai impian dengan mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam negara.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berkata, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut harus ditangani secara bersama oleh seluruh umat Islam di negara ini.

"Kita berhadapan dengan pelbagai provokasi yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang membangkitkan kemarahan umat Islam seperti isu Alvin Tan dan Vivian Lee serta video sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anjing.

"Kedua-duanya disiarkan di alam maya dan kita perlu ingat lebih separuh generasi muda Islam melayari internet seperti Facebook, YouTube dan sebagainya yang amat jelas mereka sebenarnya berusaha mempengaruhi generasi muda untuk mengambil tindakan terburu-buru," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Sapawi, sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) tidak akan berdiam diri dan akan memastikan perkara seperti itu diatasi segera serta pihak berkenaan diambil tindakan sewajarnya.

Walau bagaimanapun, katanya, tindakan yang dilakukan perlulah bijak dan tidak terburu-buru supaya dapat diatasi sepenuhnya.

Tambahnya, rakyat perlu yakin dengan kerajaan BN yang tidak akan membenarkan mana-mana pihak mencetuskan perbalahan dan pertelagahan antara kaum atau antara agama. UTUSAN

No comments:

Post a Comment