My Add

Tuesday 13 August 2013

Wujudkan kursus lanjutan bagi pasangan sudah lama berkahwin

 Nooh Gadot
KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) disaran mewujudkan kursus lanjutan kepada pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin sebagai langkah mengurangkan kes penceraian yang semakin meningkat.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, perkara itu perlu memandangkan golongan berkenaan turut dikenal pasti berdepan cabaran hebat dan terdedah kepada risiko keruntuhan rumah tangga.

"Saya yakin langkah itu dapat membantu mereka terus mendalami ilmu munakahat sekali gus memahami tanggungjawab suami dan isteri dalam mengharungi alam rumah tangga dengan lebih terperinci," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Perunding Syariah dan Undang-undang Keluarga Islam, Zainal Abidin Yahaya supaya pelaksanaan kursus perkahwinan dikaji semula bagi memastikan pasangan yang bakal berkahwin lebih bersedia dan tabah mengharungi konflik rumah tangga.

Gesaan itu berikutan statistik Jakim menunjukkan secara purata, terdapat 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya menggesa modul kursus praperkahwinan diselaras supaya dapat mencapai matlamat dan objektif sebenar yang disasar Jakim dan JAIN.

Menurut beliau, peningkatan kes penceraian jika tidak dibendung akan memberi kesan buruk kepada institusi rumah tangga selain meningkatkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

"Saya melihat perkara pertama yang perlu dikaji semula Jakim dan JAIN adalah dari segi kualiti penceramah kerana sebahagian mereka lebih cenderung membicarakan isu-isu berkaitan seks daripada keseluruhan modul kursus yang ditetapkan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment