My Add

Monday 12 August 2013

Yang di-Pertuan Agong rasmi Pusat Penyelidikan Langkawi

LANGKAWI, AHAD, 11 Ogos , 2013:Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan merasmikan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Pantai Kok di sini.

Berangkat sama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Canselor UKM dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, pemimpin masyarakat setempat dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Kompleks PPL mula dibina pada 2009 dan siap sepenuhnya pada penghujung 2011 dengan kos RM11 juta, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya kepada pembangunan pulau ini.

PPL berperanan dalam membangunkan geopark pertama di negara ini dan Asia Tenggara serta menjalankan penyelidikan sumber asli Langkawi untuk tujuan pelancongan.

Kerjasama penyelidikan yang dijalankan adalah untuk membangunkan sumber geologi dan landskap, biologi dan marin, kesihatan persekitaran dan budaya tradisi setempat bagi tujuan ekopelancongan serta pembangunan lestari sumber asli dalam geopark.

Sementara itu, Sharifah Hapsah dalam ucapannya berkata, tujuan utama penubuhan PPL adalah untuk meneroka pendekatan pembangunan atau mengeksploitasi sumber tanpa dimusnahkan.

"Menerusi pendekatan ini, sumber semulajadi boleh diwarisi dalam keadaan asal. Pada masa sama ia dapat dimanfaatkan untuk memperkasakan sumber ekonomi melalui pembangunan keupayaan berterusan dan promosi produk baharu ekopelancongan'' ujar beliau.

Sharifah Hapsah berkata, dengan penubuhan PPL, UKM dapat melaksanakan rancangannya dengan lebih berkesan antaranya untuk memperluaskan jalinan kerjasama secara formal dalam usaha menyemarakkan pembangunan lestari.

Kata beliau, UKM menyasar mewujudkan lebih banyak kerjasama terutama dalam pembangunan industri kecil dan sederhana berkaitan ekopelancongan di samping merancang untuk memasyarakatkan ilmu tentang pulau legenda ini.

"Selain menjadi tumpuan penyelidik, PPL mengalukan semua lapisan masyarakat khususnya pelajar merapati dan mendapatkan maklumat serta bahan berkaitan khazanah alam tabii Langkawi," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment