My Add

Monday 5 August 2013

YES sumbang baju raya rai anak yatim

KUALA LUMPUR, AHAD, 04 Ogos, 2013: Sebanyak 20 anak yatim, ibu tunggal serta orang kurang upaya di sekitar kawasan Parlimen Seputeh diraikan oleh Yayasan Ehsan Seputeh (YES) apabila dibawa membeli pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Kesemua mereka diberi peluang memilih sendiri baju Melayu, baju kurung moden dan sepasang kasut di Pusat Pakaian Hari-Hari, Sungai Besi dekat sini hari ini.

Pengerusi YES, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff berkata, program sumbangan pakaian itu merupakan sebahagian daripada pelbagai program anjuran YES bagi membantu golongan kurang berkemampuan khususnya masyarakat setempat dari Parlimen Seputeh.

"Sebelum ini kami telah mengadakan program bersama golongan gelandangan dan hari ini kami meraikan pula anak-anak yatim dan ibu tunggal.

"Selain pakaian dan kasut, mereka turut menerima duit raya agar dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan meriah seperti masyarakat lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu jelas Mustapa Kamal, YES akan terus mengambil inisiatif menganjurkan program bantuan seperti itu selain objektif utamanya menubuhkan pusat dialisis di kawasan Parlimen Seputeh.

"Di Parlimen Seputeh sendiri ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan bantuan bagi menampung kos rawatan dialisis mereka, jadi hasrat penubuhan pusat dialisis tersebut diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

"YES telah memperoleh kerjasama daripada KPJ Healthcare Berhad (KPJ) dari aspek teknikal dan mesin bagi mencapai hasrat tersebut dan kini kami telah mengenalpasti lokasi sesuai di Seputeh untuk didirikan pusat dialisis berkenaan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya menyasarkan pusat dialisis berkenaan dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh setahun akan datang.

"Buat permulaan, pusat dialisis ini akan bermula di Seputeh sebelum diperluaskan ke kawasan lain agar lebih ramai pesakit dapat dibantu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment