BN kekal lima prinsip, pastikan parti kekal relevan - Najib
KUALA LUMPUR, SABTU, 26 Oktober, 2013: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan kekal dengan lima prinsip perjuangan iaitu kesederhanaan, progresif, seimbang, inklusif dan adil bagi memastikan parti kekal relevan serta terus mendapat sokongan rakyat.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penegasan menolak politik perkauman, ekstremisme, 'permainan' sentimen keagamaan serta anasir-anasir negatif lain yang mampu merosakkan apa yang telah dibina oleh pengasas-pengasas negara dan parti selama ini.
Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi BN berkata, dalam mentadbir negara berbilang kaum ini, masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki oleh kerajaan BN khususnya parti supaya mampu mengadaptasi dengan landskap politik semasa.
"Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, kita akan kekalkan prinsip-prinsip itu. Ya, kita boleh perbaiki lagi, saya adalah seorang yang sentiasa terbuka dan menyedari bahawa masih ada ruang untuk kita memperbaikinya.
"Masih ada ruang untuk dilakukan penambahbaikan. Oleh itu, sebagai sebuah parti, kita mesti sentiasa melakukan muhasabah," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, di sini hari ini.
Najib berkata, selain bermuhasabah, BN juga perlu mencari dan membina kembali kekuatan dalam 'menewaskan' kelemahan.
"Selepas itu, barulah kita menjadi parti yang berani berubah dan mengadaptasi kepada landskap politik yang berubah serta melakukan pembaharuan-pembaharuan yang perlu dilakukan.
"Ini supaya BN dan parti komponen dilihat parti yang dinamik, segar serta sentiasa relevan dan boleh mencerminkan suara hati generasi baharu," tegasnya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment