Haji Ekspres: 2 kakitangan TH diperintah bela diri
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 Oktober, 2013: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan dua kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) membela diri atas pertuduhan mengubah suai kandungan pangkalan data sistem haji dan menerima rasuah untuk melangkau giliran mengerjakan ibadah haji atau 'Haji Ekspres', tiga tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan demikian terhadap juruanalisis kanan, Afizul Md. Yasin, 34, dan kerani, Roslan Mohamed Som, 47, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Mahkamah menetapkan 29 November ini untuk kedua-dua tertuduh mula memberi keterangan membela diri. Pihak pembelaan dijangka mengemukakan enam saksi.
Afizul yang bekerja di Jabatan Teknologi Maklumat TH itu didakwa atas tiga tuduhan menggunakan komputer yang didaftarkan dengan model Elite Book 6930p membuat capaian ke pangkalan data TH dan memasukkan rekod jemaah haji dengan menggunakan program khas Win SQL tanpa kuasa.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya sedangkan dia mengetahui akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data sistem haji untuk syarikat itu.
Roslan yang bertugas di bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Tabung Haji pula didakwa menerima suapan RM6,750 daripada Samsudin Ibrahim sebagai upah menolong melayakkan jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada 2010 supaya dapat menunaikan ibadat itu pada tahun tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 3.30 petang dan 4 petang, 15 Julai 2010 di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment