![]() |
* GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan sebahagian pencari suaka dari Sri Lanka yang menaiki bot, tiba di perairan Australia. - Agensi |
Ketibaan ribuan pencari suaka politik di negara ini sejak bertahun-tahun lalu menjadi satu masalah politik utama kepada Canberra.
Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Scott Morrison menganggarkan lebih separuh rakyat asing yang masuk secara haram ke Australia menggunakan Malaysia sebagai transit.
Morrison melawat Kuala Lumpur minggu ini untuk bertemu Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan berkata, beberapa siri perjanjian tentang kerjasama operasi telah dicapai.
Saya gembira untuk memperbaharui kerjasama kita dengan Malaysia.
Usaha pencegahan semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau menyeberangi sempadan Thailand- Malaysia serta menghalang laluan ke Sumatera melalui Selat Melaka adalah amat kritikal, dan saya mencadangkan bahawa keadaan adalah lebih kompleks apabila bot itu mula meninggalkan Indonesia, katanya pada satu taklimat tetap mingguan tentang operasi perlindungan sempadan.
Bagaimanapun, Morrison tidak mengulas lebih lanjut perjanjian itu, tetapi membayangkan perkongsian maklumat lebih baik, risikan dan operasi bersama dalam isu pemerdagangan manusia akan dijalankan serta merta.
Kuala Lumpur juga bersetuju memperluaskan urusan visa yang lebih ketat, bukan sahaja kepada rakyat Iran yang memasuki Malaysia malah kepada Iraq serta Syria, kerana penduduk dari ketiga-tiga negara itu merupakan pencari suaka terbesar yang datang ke Australia.
Kita akan meneruskan dialog tentang pembaharuan lanjut dan pengecualian visa bagi urusan ketibaan lain, katanya sambil mengakui hubungan dua hala antara Canberra dan Kuala Lumpur berada pada tahap terbaik. - AFP/UTUSAN

No comments:
Post a Comment