My Add

Saturday, 9 November 2013

1 lawan 1 rebut Ketua Pemuda, Wanita MIC

* CALON Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh (kiri) dan V. Mugilan bersama M. Vickneswari (dua dari kiri) dan M. Mohana (dua dari kanan) mengangkat tangan menunjukkan tanda semangat sewaktu Hari Penamaan bagi Wanita dan Pemuda MIC di Wisma Menickavasagam di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 November, 2013: Pemilihan MIC pada 16 November ini akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu membabitkan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita parti itu.

Calon Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan ketika ditemui pemberita berkata, beliau yakin mampu memenangi jawatan tersebut berdasarkan pengalamannya bersama parti selama ini.

Beliau yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda MIC berkata, pengalamannya berkhidmat selama lebih kurang 13 tahun memberi kelebihan untuknya mencatat kemenangan mudah dalam persaingan merebut jawatan tertinggi pergerakan tersebut.

''Berdasarkan kempen yang telah pun dimulakan sejak lima bulan lalu, saya lihat sokongan yang diberikan sangat baik, malah saya sendiri begitu rapat dengan peringkat akar umbi," katanya selepas menghantar borang penamaan calon di Menara Manickavasagam di sini hari ini.

Jawatan Ketua Pemuda MIC akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Mugilan dan seorang lagi calon iaitu Setiausaha Pemuda MIC, C. Sivarraajh.

Dalam pada itu, Sivarraajh turut melahirkan keyakinan untuk memenangi jawatan berkenaan berdasarkan kerja keras yang dilakukannya sejak lima tahun kebelakangan ini.

''Kehadiran saya di dalam Pemuda sama ada di peringkat Pusat mahupun akar umbi memang tidak asing lagi. Harapan untuk menang memang ada tetapi saya tidak mahu terlalu yakin," ujarnya.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda MIC pula akan menyaksikan pertarungan tiga penjuru.

Mereka yang terbabit ialah Exco Pemuda MIC, R. Thinalan; Exco Pemuda MIC Kedah, K. Somasundram dan Ketua Pemuda MIC Bahagian Tangga Batu, K. Sasi Kumar.

Sementara itu, pertandingan satu lawan satu juga mewarnai pemilihan Ketua Wanita MIC iaitu antara Ketua Biro Kebajikan dan Sosial MIC, M. Mohana dan Setiausaha Wanita MIC, M. Vickneswari.

Situasi sama turut membabitkan perebutan jawatan nombor dua sayap tersebut apabila dua calon mengesahkan pertandingan mereka iaitu Timbalan Ketua Wanita MIC Perak, P. Premah dan Ketua Wanita MIC Pagoh, K. Nirmala. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment