Harap BN dapat pengajaran
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 November, 2013; Calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Suhaimi Lazim berharap pucuk kepemimpinan parti dapat mengambil pengajaran kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, khususnya perolehan majoriti 'luar biasa' calon Pas di peti undi Bukit Besar.
Menurutnya, majoriti 1,113 undi yang diperolehi Mohd. Azam Abd. Samat di Bukit Besar, iaitu kawasan terdapat banyak pondok agama telah menenggelamkan kesemua kemenangan BN di 10 daripada 19 peti undi sehingga menimbulkan persoalan apakah benar penduduk di kawasan peti undi tersebut seramai itu.
Selain itu, beliau juga mengingatkan pucuk pimpinan BN agar mengambil pengajaran daripada sikap pengundi Cina yang walaupun memperlihatkan peningkatan dari segi peratusan sokongan berbanding pilihan raya umum lalu tetapi hakikatnya ramai antara mereka yang tidak keluar mengundi.
"Dari segi matematik mudah, saya hanya perlukan sekitar 600 undi lagi bagi mencapai kemenangan dengan majoriti mudah atau sekitar 200 hingga 300 undi masyarakat Cina dan 300 hingga 400 pengundi lain. Sokongan masyarakat Cina tidak seperti dijanjikan, hanya 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan 1,836 pengundi.
"Perkara ini wajar menjadi pengajaran kepada BN kerana soal kesetiaan dan permuafakatan politik bukan perkara yang boleh diambil mudah. Pengundi Cina di Sungai Limau Luar, Sungai Limau Dalam, Sungai Daun dan Batu 17, pelaksanaan janji mereka masih boleh dipersoal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada pilihan raya kecil tersebut, BN yang dipimpin Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berjaya mengurangkan 1,690 undi majoriti yang diperolehi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mei lalu apabila Ahmad Suhaimi mendapat 10,985 undi manakala lawannya, Mohd. Azam memperoleh 12,069 undi.
Dalam pada itu, Ahmad Suhaimi berkata, faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan beliau ialah disebabkan tidak ramai pengundi luar (penyokong BN) pulang mengundi selain keadaan kesesakan luar biasa di Sungai Limau pada hari pengundian yang menyebabkan orang ramai menjadi kurang selesa. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment