My Add

Saturday, 23 November 2013

Kehadiran tokoh politik luar bakal warnai Perhimpunan Agung UMNO 2013

 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 November, 2013: Perhimpunan Agung UMNO tahun ini lebih bermakna apabila beberapa tokoh politik luar negara termasuk Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Meshaal mengesahkan akan hadir dalam Forum Antarabangsa UMNO 2013 yang diadakan selama dua hari bermula 2 Disember depan.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, kehadiran wakil Hamas itu dilihat sebagai satu pengiktirafan besar terhadap negara, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membantu Palestin.

Jelasnya, turut mengesahkan kehadiran ke forum itu ialah bekas Naib Presiden Kenya yang juga pemimpin Wiper Party Kenya, Stephen Kalanzo Musyoka dan calon Presiden Indonesia daripada parti Golkar, Aburizal Bakri

"Tokoh-tokoh politik terkemuka tersebut akan berkongsi pandangan dan bertukar-tukar fikiran dalam forum yang akan berlangsung selama dua hari itu.

"Kehadiran wakil Hamas itu juga menunjukkan beliau menghargai jasa Perdana Menteri melawat Palestin sebelum ini dan juga pengiktirafan kepada kepimpinan Najib selaku Presiden UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO akan bermula selepas Forum Antarabangsa, pada 3 Disember dengan taklimat Presiden dan diteruskan pada sebelah malamnya di mana Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap parti.

Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan bermula pada 4 Disember manakala Perhimpunan Agung pula berlangsung dari 5 Disember sehingga 7 Disember.

Mengulas lanjut, Rauf memberitahu, selain tokoh-tokoh tersebut, Singapura dan Amerika Syarikat juga buat pertama kalinya akan menghantar wakil masing-masing daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia yang baharu, Joseph Y. Yun untuk menyertai forum itu.

"Para peserta akan bertukar-tukar fikiran dalam forum yang bertemakan The Politics of Moderation Accomodates and Balances Competing Principles That Leads to Peace and Stability.

"Tokoh-tokoh itu juga akan menjadi pemerhati luar negara sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2013 nanti," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment