* PENGARAH Institut Radiasi Fizik, Francois Bochud (kiri) dan Pengarah Hospital Universiti Lausanne, Patrice Mangin mengadakan sidang akhbar berhubung punca kematian Yasser Arafat di Lausanne, Switzerland, kelmarin. - AFP |
Dua pakar forensik itu merupakan sebahagian daripada pasukan saintis antarabangsa yang bertanggungjawab menggali kubur Arafat di Ramallah di Tebing Barat pada November lalu untuk menyiasat punca kematiannya.
Laporan setebal 180 muka surat kumpulan itu yang disiarkan semalam menunjukkan Arafat dipercayai mati dibunuh apabila ujian mendapati mangsa memiliki tahap radioaktif polonium 18 kali lebih tinggi berbanding biasa.
Namun seorang daripada saintis Switzerland, Patrice Mangin yang merupakan Pengarah Hospital Universiti Lausanne berkata, keputusan kajian mereka itu merupakan penjelasan yang diperolehi berdasarkan bukti terhad.
"Kajian kami merupakan teori yang disimpulkan daripada hipotesis kewujudan racun itu yang lebih konsisten berbanding laporan yang menunjukkan mayat Arafat tidak mengandungi racun," jelasnya.
Seorang lagi saintis, Francois Bochud yang merupakan Pengarah Institut Radiasi Fizik berkata, teori tentang Arafat mati diracun tidak dapat disahkan semata-mata bergantung kepada laporan itu.
"Siasatan kami tidak boleh membuat kesimpulan bahawa Arafat mati akibat racun itu kerana kajian yang dijalankan tidak membenarkan kami membuat kesimpulan racun polonium sebagai punca kematian Arafat," katanya.
Bagaimanapun menurut Bochud, beberapa mikrogram polonium sudah cukup untuk membunuh seseorang.
"Sebagai contoh, jika diletakkan di dalam minuman atau makanan, lima mikrogram racun itu sudah boleh menyebabkan kematian.
"Kesan polonium akan mengambil masa kira-kira sebulan sebelum mangsa mati dan ia biasa berlaku dalam kes keracunan bahan radioaktif, sama seperti yang berlaku pada Arafat," katanya. - AFP/UTUSAN
No comments:
Post a Comment