Siapa Khairul saran saya berundur?
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 November, 2013: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan kenyataan bahawa beliau kecewa kerana tidak terpilih sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam Pemilihan UMNO lalu sebagai tidak berasas sama sekali.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut mempersoalkan status serta kelayakan Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Kedah, Khairul Anuar Ramli untuk membuat kenyataan seperti itu.
"Tiada sebab untuk saya melatah dengan saranan oleh orang yang tidak mengenali siapa saya sebenar agar berundur daripada arena politik.
"Siapa Khairul Anuar ni? Saya tidak kenal dia. Apa latar belakang dia untuk beri komen macam itu," katanya sinis kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khairul Anuar mendakwa tulisan Ahli Parlimen Pulai bertajuk Masih adakah kesetiaan pada UMNO jika tidak berkuasa melalui ruangan Pendapat dalam portal berita Malaysian Insider pada 30 Oktober lalu dibuat kerana gagal mengawal perasaan kecewa setelah tidak terpilih sebagai ahli MT dalam Pemilihan UMNO 2013 lepas.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan memberitahu, tulisan tersebut merupakan analisis keadaan sebenar yang perlu difahami serta dibaca dengan hati terbuka.
"Lihat bagaimana nasib Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas berundur sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri turut gagal untuk menjadi perwakilan tujuh (G7) apabila ditolak perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu dan terbaharu, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang tewas kerana tidak mempunyai jawatan.
"Saya tidak ada niat untuk melukakan hati sesiapa, namun itu adalah satu realiti yang berlaku," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment