My Add

Tuesday 30 April 2013

PRU-13: 80.5% anggota polis Kelantan, pasangan keluar mengundi

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU, SELASA, 30 April, 2013: Sebanyak 80.5 peratus atau 3,730 daripada 4,633 anggota polis Kelantan dan pasangan masing-masing yang berdaftar sebagai pengundi awal keluar mengundi sehingga pukul 2 petang hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, proses pengundian berjalan amat baik di semua 56 saluran mengundi yang melibatkan ibu pejabat dan balai polis seluruh negeri ini.

Beliau berkata, proses pengundian bermula dari pukul 8 pagi itu dengan beberapa saluran ditutup awal kerana mempunyai bilangan pengundi kurang daripada 50 orang.

"Sebanyak 27 saluran mengundi dibuka dari pukul 8 pagi hingga 2 petang, manakala 29 saluran lagi dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.

"Tempoh itu kerana ada tempat seperti di saluran Balai Polis Binjai yang hanya mempunyai seorang pengundi awal.

"Keseluruhan perjalanan pengundian berjalan dengan sangat baik, malah tidak ada sebarang masalah timbul dengan keperluan mencalit jari dengan dakwat kekal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, selain pasukan polis, lebih 64 peratus atau 4,843 daripada 7,467 anggota tentera dan pasangan mereka turut menunaikan tanggungjawab mereka di kem tentera hingga pukul 2 petang setakat ini. - UTUSAN ONLINE 
PRU-13: UMNO akan lapor SPR tentang poster palsu

Oleh AZMAN IBRAHIM

 *KAIN rentang 'Bantuan Bujang 1Malaysia' yang dipercayai palsu (gambar kanan) yang diletakkan di bawah poster kempen calon BN Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor di satu lokasi tidak diketahui, seperti dilaporkan oleh Harakah Daily baru-baru ini. Gambar kiri, pengantin lelaki dalam poster tersebut, Nasrul Effendy bersama isterinya sebenar.
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013; UMNO akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap kewujudan poster palsu Barisan Nasional (BN) yang boleh menjatuhkan imej parti.

Poster yang memaparkan wajah seorang lelaki didakwa warganegara asing yang kemudian bertukar menjadi lelaki Melayu dan berkahwin dengan pasangannya konon untuk mempromosikan program "Bantuan Bujang 1Malaysia" BN.

Untuk memburukkan BN, poster terbabit digantung di bawah papan poster kempen calon BN bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, poster tersebut sudah ternyata palsu kerana UMNO atau BN tidak akan membuat poster seperti itu yang hanya menjatuhkan imej parti.

Katanya, pihaknya akan membuat laporan secepat mungkin mengenai perkara itu kerana hal itu hanya menjatuhkan imej dan nama baik UMNO dan BN.

"SPR perlu ambil tindakan mengenai perkara ini kerana poster tersebut sudah terang-terangan merupakan poster palsu memburukkan UMNO dan BN.

"Ini baru pertama kali saya mendengar mengenai poster palsu membabitkan imej dan maruah BN,’’ katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memberitahu demikian ketika diminta mengulas mengenai poster palsu tersebut yang disiarkan oleh Harakah Daily dan blog-blog propembangkang hari ini.

Pengantin lelaki itu yang dikenali sebagai Nasrul Effendy dalam laman media Facebook turut mengutuk pihak yang memalsukan poster tersebut kerana menggunakan wajahnya tanpa pengetahuan beliau.

Nasrul Effendy berkata, lebih mendukacitakan pengantin perempuan itu bukanlah isterinya yang sebenar tetapi telah ditukar dengan wajah wanita lain.

Katanya, gambar perkahwinannya itu telah dirakam pada 15 Mei 2007. - UTUSAN ONLINE
PRU13: Undi dua kali bakal berdepan hukuman penjara dan denda - SPR

KUALA TERENGGANU, SELASA, 30 April, 2013: Individu yang didapati mengundi dua kali bakal berdepan hukuman penjara melebihi 12 bulan dan denda sehingga RM5,000.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata perbuatan itu adalah salah di bawah perbuatan penyamaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, individu terbabit tidak dibenarkan mengundi dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini dan menambah SPR akan memastikan tidak berlaku pengundian dua kali.

Beliau ditanya mengenai laporan di media sosial kononnya pengundi yang mengundi awal hari ini mungkin mengundi semula Ahad ini.

Wan Ahmad berkata, nama pengundi yang sudah mengundi akan dipotong dari senarai dan menjalani saringan khas bagi mengelak mereka mengundi buat kali kedua.

“Jadi kalau dia nak menipu, nama dia sudah tiada. Nama mereka di senarai ejen pilihan raya akan dipangkah, begitu juga senarai di pihak SPR.

"Macam mana dia hendak mengundi. Kalau dia datang, nak kena tangkap," jelasnya.
Beliau memberi jaminan penggunaan dakwat kekal yang dicalit di jari pengundi yang mengundi awal tidak akan hilang 100 peratus walaupun dicuci.

Seramai 272,387 anggota tentera dan polis serta pasangan mereka mengundi awal hari ini. - BERNAMA
PRU13: Kerajaan setuju beri taraf Kolej Universiti kepada Kolej Han Chiang

GEORGETOWN, SELASA, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi taraf Kolej Universiti kepada Kolej Han Chiang dengan kadar segera selepas kolej berkenaan memenuhi semua kriteria.

Perdana Menteri berkata, kenaikan taraf berkenaan sebagai pengiktirafan kerajaan atas sumbangan kolej berkenaan, terutama jurusan komunikasi massa kepada negara.

Selain itu, Najib turut menyerahkan surat kelulusan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Heng Ee untuk membuka cawangan baru di Bayan baru.

Beliau turut mengumumkan kerajaan menerusi Yayasan Rakyat 1Malaysia memperuntukkan masing-masing RM1 juta untuk Kolej Han Chiang dan SMJK Heng Ee. - BH
SPNB berjaya siapkan 16,002 rumah mampu milik

ROMPIN, SELASA, 30 April, 2013: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya menyiapkan sejumlah 16,002 unit kediaman menerusi Program Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh, berkata SPNB bertanggungjawab melaksanakan Program RMM bagi memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman mampu milik, sejak lima tahun lalu.

“SPNB adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan juga sebagai peneraju projek program RMM, program rumah mesra rakyat 1Malaysia, dan program perumahan terbengkalai," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci projek perumahan RMM Taman Nusa Puteri, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Projek RMM Taman Nusa Puteri yang mempunyai 279 rumah, adalah projek pembangunan rumah teres kos rendah yang dibangunkan di kawasan seluas 18 hektar.

Beliau berkata, impian pemilik rumah untuk memiliki kediaman sendiri, akhirnya tercapai setelah Sijil Layak Menduduki (SLM) untuk fasa 1 diperoleh 8 Mac lalu.

“Masalah 279 unit RMM Taman Nusa Puteri di sini yang terbengkalai sejak lima tahun lepas, akhirnya dapat diselesaikan menerusi peruntukan tambahan sebanyak RM6 juta daripada kerajaan," katanya.
Sementara itu, Jamaludin berkata projek berkenaan antara usaha kerajaan bagi menyediakan rumah untuk golongan berpendapatan rendah.

"Ini adalah program janji ditepati, dan kerajaan Barisan Nasional merancang lebih banyak lagi projek perumahan untuk generasi kedua di Rompin," katanya. - BERNAMA
PRU13: ATM nafi bawa pengundi hantu ke Semenanjung

LAHAD DATU, SELASA, 30 April, 2013: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya ia membawa pengundi hantu, termasuk anggota tentera dan polis, dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan dakwaan itu sengaja diada-adakan oleh pihak tertentu bagi mencemar imej pasukan keselamatan.

Beliau meminta pihak berkenaan supaya menghentikan perbuatan fitnah mereka yang tidak berasas itu yang dipercayai dibuat semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya umum ini.

"Tuduhan melulu sesetengah pihak termasuk dakwaan kononnya ATM dipengaruhi parti politik dalam pilihan raya, menyebabkan imej ATM tercemar. Hentikan serangan politik yang tidak sihat dan jangan sekali-kali membabitkan ATM kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap negara dan rakyat," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Tan Sri Khalid Ibrahim kononnya ATM cuba membawa masuk pengundi hantu, termasuk anggota tentera dan polis dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Khalid pada sidang media baru-baru ini dilaporkan sebagai mendakwa terdapat penerbangan khas dari Sabah Sarawak yang mendarat di lokasi tertentu, bukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Tambang Rendah (LCCT) yang dikatakan membawa pengundi hantu berdasarkan kononnya risikan pakatan pembangkang.

Zulkifeli yang kesal dengan perbuatan itu berkata ATM merupakan institusi berkecuali yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik di negara ini. 

"Sebagai badan profesional, kami menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir yang mengganggu ketenteraman awam. Atas tugas dan tanggungjawab itu juga ada antara anggota kita terkorban," katanya. - BERNAMA
Ketepikan perbezaan politik untuk tangani jenayah - Lam Thye

KUCHING, SELASA, 30 April, 2013: Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye menggesa semua parti politik supaya mengetepikan perbezaan politik dan bekerja sama dengan polis bagi menangani jenayah dalam negara.

Walaupun banyak yang sudah dilakukan oleh polis dalam mengurangkan kejadian jenayah, beliau berkata polis perlu meningkatkan keberkesanannya, mengguna pakai teknik dan kaedah lebih baik bagi menangani perubahan landskap serta meningkatkan peranan dalam penyampaian dan pemantauan perkhidmatan kepolisian untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata, penyertaan semua pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan warga yang prihatin, sangat penting.

"Walaupun agak mustahil untuk menjadikan Malaysia bebas jenayah, lebih banyak usaha boleh dan wajar dilakukan bagi mengurangkan jenayah dalam negara menerusi pembabitan masyarakat serta meningkatkan penyampaian dan aspek kepolisian untuk manfaat penduduk, dan diperkukuh penyertaan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lam Thye berkata, kehadiran polis yang meronda bersama agensi penguat kuasa yang lain di kawasan kerap berlaku jenayah, ternyata berjaya mengurangkan jenayah jalanan dan jenayah lain walaupun kejadian jenayah seperti itu masih terus berlaku.

Katanya, cabaran terbesar yang dihadapi polis termasuk menangani tanggapan negatif orang ramai.

Beliau juga berkata program kesedaran berterusan supaya sampai kepada setiap lapisan masyarakat, wajar diteruskan bagi mendidik golongan remaja dan belia supaya menjauhi penyakit sosial. - BERNAMA
PRU13: Najib beri jaminan UMNO tidak tuntut jawatan KM Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan UMNO tidak akan menuntut jawatan Ketua Menteri jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN itu berkata, jaminan itu adalan tanda kesepakatan antara parti komponen, sekali gus mengukuhkan hubungan yang dibina sejak sekian lama.

"Saya merayu pada rakyat Pulau Pinang supaya hangpa (kamu) sokong BN kerana kita ada Pengerusi BN (negeri) Teng Chang Yeow.

" Saya suka dia (Chang Yeow) sebab beliau seorang yang berani lawan. Jadi jangan fikir UMNO boleh kontrol (kawal) dia.

"Kita tidak boleh kawal dia, tapi kita sokong dia. Inilah BN sebuah parti yang mempunyai hubungan utuh dan kesefahaman di antara parti komponen," katanya ketika berucap sempena Majlis Bersama Rakyat di Tapak Pasar Malam Perkampungan Juru di sini, hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan bersetuju memindahkan Depoh Tahanan Warga Asing Juru ke tempat lain yang akan diumumkan kemudian bagi mewujudkan suasana selesa kepada penduduk di kawasan itu.

"Kita berharap pengumuman ini akan melegakan penduduk di kawasan ini," katanya.
Kedudukan depoh tahanan itu yang berdekatan kawasan perumahan, mewujudkan suasana tidak selesa di kalangan penduduk. - BH
PRU13: Najib janji akan lipat ganda usaha tingkatkan taraf hidup, kemahiran pekerja

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak hari ini berjanji akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan peningkatan taraf hidup setiap pekerja di Malaysia, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) diberi mandat kukuh pada pilihan raya umum Ahad ini untuk memerintah negara.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN akan turut memastikan pekerjaan bagi setiap warga Malaysia yang berkehendakkan kerja, serta akses kepada pekerja Malaysia untuk meningkatkan kemahiran yang akan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

"Saya dan rakan akan memastikan bahawa bakti setiap pekerja Malaysia akan dihargai dengan menyediakan persekitaran terbaik untuk mereka dan keluarga mereka untuk membina kehidupan yang bahagia di bumi tercinta ini," katanya dalam amanatnya bertemakan "Pekerja Pemangkin Transformasi Negara" sempena sambutan Hari Pekerja esok yang disiarkan TV3, malam ini.

Beliau berkata, pekerja Malaysia yang seramai 13 juta orang juga mempunyai banyak sebab untuk bersyukur, antaranya kadar pengangguran negara yang rendah iaitu hanya 3.3 peratus pada Januari lalu berbanding negara maju seperti Sepanyol mencatatkan 26.2 peratus pengangguran, kawasan Euro (12 peratus), Perancis (10.7 peratus), Amerika Syarikat (7.9 peratus), dan Australia (5.4 peratus).

Perdana Menteri juga berkata, kos kehidupan di negara ini juga terkawal dengan angka tunjuk inflasi untuk Januari tahun ini sebanyak 1.3 peratus, sementara kadar kemiskinan relatif menurun kepada 1.7 peratus dan pendapatan perkapita yang meningkat kepada AS$9,700 pada tahun lalu.

“Semua ini ialah hasil sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan serta kesejahteraan rakyat di atas segala dukungan serta sokongan lebih 13 juta tenaga pekerja Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN juga sedang dalam usaha ke arah memodenkan perundangan berkaitan perburuhan negara ke arah menjamin dan memantapkan jaringan keselamatan sosial warga pekerja.

Bagi membantu pekerja Malaysia mendapat manfaat daripada penciptaan peluang pekerjaan baru, iaitu sebanyak 3.3 juta pekerjaan yang diunjurkan di bawah pelaksanaan program transformasi ekonomi negara menjelang 2020 yang majoritinya memerlukan pekerja berkemahiran tinggi, kerajaan memperuntukkan RM3.7 bilion di bawah Belanjawan 2013 bagi melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional, katanya.

Perdana Menteri berkata hak dan kebajikan warga pekerja akan terus menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan.

Najib berkata, dalam memodenkan perundangan berkaitan perburuhan negara, kerajaan telah menambah baik Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi menaikkan syarat kelayakan umur Skim Pencen Ilat dari belum mencapai umur 55 tahun kepada belum mencapai umur 60 tahun supaya selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Sementara penguatkuasaan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 bagi swasta yang akan dikuat kuasa pada 1 Julai ini akan memberi faedah segera kepada kira-kira 300,000 pekerja swasta yang mencapai umur 55 tahun mulai tarikh berkenaan, katanya.

Mengenai penetapan kadar gaji minimum sektor swasta yang berkuat kuasa bagi majikan menggaji enam orang pekerja dan ke atas pada 1 Januari lalu, dan pada 1 Julai ini bagi majikan lima orang pekerja, Najib berkata ia akan memanfaat seramai 3.2 juta pekerja di seluruh negara.

"Dalam tempoh jangka panjang, penetapan kadar gaji minimum ini akan memberi impak positif kepada transformasi ekonomi negara daripada berorientasikan buruh kepada berorientasikan modal serta menyumbang ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi di negara ini," katanya.

Najib berkata, lanjutan umur persaraan ini serta pelaksanaan kadar gaji minimum negara dapat membantu meningkatkan jumlah tabungan pekerja di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup mereka selepas persaraan terperlihara. - BERNAMA
PRU13: Perubahan dicanangkan pembangkang dilihat bawa kemunduran - Muhyiddin

ULU TIRAM, SELASA, 30 April, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal perubahan yang dicanangkan pembangkang, yang dilihat hanya akan membawa negara kepada kemunduran daripada kedudukan Malaysia yang kini sudah maju dan berada pada landasan betul.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mengambil kira ilmu mantik, perubahan bermakna daripada sesuatu yang tidak elok kepada yang lebih baik, sedangkan Malaysia yang ditadbir Barisan Nasional (BN) selama ini sudah dikenali sebagai negara membangun dengan kestabilan dan keamanan.

"Saya risau ubah yang dilaungkan pembangkang bukan membawa manfaat, sebaliknya ia lebih menjurus kepada ketidaktentuan ekonomi dengan pelbagai janji pembangkang yang tidak rasional.

"Pembangkang yang menyokong liberalisme, pluralisme dan LGBT dikhuatiri memesongkan akidah serta tidak selari dengan pegangan Sunnah Waljamaah," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram,di sini, petang ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, calon BN Parlimen Tebrau, Koo Soo Siang; calon DUN Puteri Wangsa, M Soorianarayan dan penyandang DUN Tiram, Datuk Maulizan Bujang. - BH
PRU13: Kerajaan BN perlu mandat besar untuk martabatkan negara - PM

KEPALA BATAS, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) memerlukan mandat besar daripada rakyat untuk meneruskan perjuangan memartabatkan negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, hanya kerajaan yang ada visi dan wibawa sahaja boleh membawa negara mencapai matlamat berkenaan.

Justeru, katanya, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bukan soal parti dan individu, tetapi memilih sebuah kerajaan yang ada visi dan kewibawaan untuk negara.

"BN bukan sahaja ada visi yang wibawa untuk negara, tetapi mampu melaksanakannya sebab kita ada kemampuan, rekod prestasi dan persefahaman dalam BN, ada iltizam untuk perjuangkan nasib rakyat.

"Oleh itu, kita perlu mandat kuat dan kukuh untuk tubuh sebuah kerajaan yang kuat. Mandat kuat (besar) dan kerajaan yang kuat akan dapat memartabatkan negara dan maju," katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata demikian dalam ucapan di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Labu, Penaga di sini, petang tadi.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman. 

Pada majlis itu, Najib turut memperkenalkan calon Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta tiga calon DUN iaitu, Mohd Zain Ahmad (Penaga), Shariful Azhar Othman (Bertam) dan Datuk Roslan Saidin (Pinang Tunggal). - BH
15 anggota polis terbabit Ops Daulat terima pingat

SANDAKAN, SELASA, 30 April, 2013: Sebanyak 15 anggota polis di sini yang terbabit Ops Daulat menerima Pingat Kedaulatan Negara hari ini yang disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Pingat itu sebagai menghargai jasa mereka mempertahankan kedaulatan negara ketika pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Berucap pada majlis itu, Musa berkata, kerajaan negeri dan rakyat di Sabah amat berterima kasih serta menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Tanpa mereka, belum tentu kita sebagai rakyat negara ini menikmati keamanan dan kesejahteraan hidup pada masa sekarang," katanya.

Musa berkata, insiden pencerobohan itu meninggalkan mesej dan ingatan kepada rakyat untuk bersama-sama memelihara kesejahteraan negara yang berdaulat.

Katanya, apa yang penting kerajaan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat terus memperkuatkan barisan dan semangat perpaduan serta menyokong pasukan keselamatan dalam mempertahankan negara. 

Musa turut meminta rakyat di Sabah, terutama di kawasan yang terbabit dalam insiden pencerobohan supaya tidak risau untuk keluar mengundi Ahad ini kerana ada pasukan keselamatan yang melakukan kawalan ketat. - BERNAMA
Juruterbang muda Malaysia mendarat di 17 lokasi

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Seorang juruterbang muda Malaysia membuat pendaratan di 17 lokasi perhentian selepas melakukan penerbangan sejauh 25,109 kilometer.

Kapten James Anthony Tan, 21, dari Sungai Long, Kajang setakat ini terbang ke separuh dunia, meliputi antaranya Thailand, Vietnam, Jepun, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada, Denmark, Iceland dan United Kingdom.

Sekretariat 1Malaysia Around The World (1RTW) dalam kenyataan hari ini berkata, Tan dijangka kembali ke tanah air pada 12 Mei di Skypark, Subang.

Tan ialah ikon 1RTW dan adalah kapten untuk pesawat Cessna P210 Eagle yang melakukan penerbangan solo bersejarah pada 28 Mac lalu.

Beliau ingin memecah dua rekod dunia iaitu 'Guinness Book of World Records' dan 'World Aviation Academy' dengan mengelilingi dunia sejauh 41,000 kilometer selama 50 hari melewati 20 negara dengan 30 perhentian.

1RTW dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) 2013, di Langkawi 26 Mac lalu. - BERNAMA
PRU13: Musa nafi dakwaan menganggotai Majlis Keselamatan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan dakwaan pakatan rakyat beliau menyertai parti itu, dan menganggotai Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat (MPKPR).

Musa menegaskan beliau hanya memberi nasihat keselamatan dari semasa ke semasa apabila diminta oleh parti itu atas kapasitinya berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang keselamatan.

"Saya hanya diminta untuk beri nasihat keselamatan, jika diperlukan, dan bukan terlibat secara rasmi dalam majlis keselamatan mereka," katanya kepada BERNAMA.

Semalam media melaporkan Musa menyertai MPKPR sebagai penasihat berikutan beberapa insiden keganasan politik sejak kebelakangan ini.

Pakatan rakyat melancar MPKPR pada 31 Mac lalu. - BERNAMA
PRU13: 70 peratus pengundi pos luar negara keluar mengundi - SPR
 
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Kira-kira 70 peratus pengundi pos luar negara keluar mengundi di 100 pejabat perwakilan Malaysia, Ahad lalu, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, pengundi luar negara yang berdaftar berjumlah 8,756 orang, dan daripada jumlah itu, 6,092 hadir pada masa penyerahan dan penerimaan balik sampul undi pada hari berkenaan.

Abdul Aziz berkata, pengundi tidak hadir (PTH) ialah seramai 2,633 orang dan mereka bertanggungjawab menghantar sendiri kertas undi secara pos ke pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya masing-masing di Malaysia sebelum 5 petang, 5 Mei ini.

"Saya sangat gembira dengan respon dari rakyat Malaysia di luar negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, dengan lebih 2,000 pengundi, Australia mencatat jumlah pengundi Malaysia di luar negara paling ramai mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Beliau berkata, beg diplomatik yang mengandungi kertas undi pos yang diterima pihaknya itu akan dihantar terus ke pejabat SPR negeri sebelum disalurkan ke pejabat RO di seluruh negara.

"Sebanyak 100 pejabat perwakilan Malaysia telah menghantar laporan berhubung proses pilihan raya di sana manakala tiga pejabat perwakilan lagi dilaporkan tiada pengundi yang hadir," jelasnya.
Beliau berkata, kertas undi pos dan undi awal itu akan dibuka dan dikira pada hari yang sama dengan kertas undi biasa iaitu pada 5 Mei. - BERNAMA
PRU13: Tidak mustahil BN rampas kembali Pulau Pinang - Najib
 
KEPALA BATAS, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak berkata tidak mustahil Barisan Nasional (BN) akan merampas kembali Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, sudah ada semangat baru di kalangan rakyat dan angin perubahan di negeri ini berikutan kegagalan kerajaan DAP membela nasib penduduk Pulau Mutiara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Labu, Penaga di sini, sebentar tadi. - BH
PRU13: Kerajaan setuju bina SMJK (CINA) Keat Hwa 3 di Pokok Sena - Najib

ALOR SETAR, SElASA, 30 April, 2013: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk membina Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Keat Hwa 3 di kawasan Parlimen Pokok Sena, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, projek itu akan dilaksanakan berikutan permintaan masyarakat Cina di kawasan berkenaan.

"Kerajaan setuju untuk bina sekolah itu kerana permohonan yang banyak daripada masyarakat setempat dan Barisan Nasional sokong dengan apa yang kita kira terbaik untuk masyarakat Cina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Kebangsaan Taman Awana, Pokok Sena dekat sini, hari ini.

Tanpa menyebut kos dan bila pembinaan sekolah itu akan dimulakan, Najib berkata segala perancangan projek tersebut akan diteliti sepenuhnya calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga, Dr Cheah Soon Hai yang juga penyandang kerusi itu.

“Dr Cheah yang akan cari tanah untuk bina sekolah itu. Segala perancangan atas dia. Tetapi, apapun kita (rakyat) kena pastikan Barisan Nasional menang pada pilihan raya umum ke-13 kali ini," kata Najib yang juga Pengerusi BN.

Sementara itu, Cheah berterima kasih kepada perdana menteri kerana keperluan bagi sekolah itu sudah lama dibangkitkan masyarakat Cina di kawasan Parlimen Pokok Sena.

"Saya akan memastikan segala perancangan akan dibuat seperti urusan mencari tanah dan sebagainya. Kita nak buat (bina) sekolah ini sebab SMJK Keat Hwa 1 dan 2 hanya terdapat di Kuala Kedah dan ini menyukarkan sebahagian keluarga Cina di sini menghantar anak mereka ke sana," jelasnya. - BERNAMA
PRU13: Calon BN di Klang gabung tenaga menangi hati pengundi

KLANG, SELASA, 30 April, 2013: Menjelang hari pengundian 5 Mei ini, calon-calon Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Klang bergabung tenaga memenangi hati pengundi dalam usaha merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata pada hari-hari terakhir menjelang proses mengundi, calon-calon BN di kawasan Parlimen Klang telah mengatur strategi dengan kerap turun padang bertemu pengundi.

"Melalui strategi ini, kami menerima banyak aduan daripada masyarakat, terutama yang membabitkan masalah persekitaran seperti perparitan, jalan rosak dan pelbagai ancaman penyakit terutama daripada binatang perosak seperti tikus, lipas dan nyamuk aedes.

"Apabila ada aduan daripada penduduk, kita nampak sangat pakatan (kerajaan Selangor) tidak membuat kerja... membiarkan penduduk berhadapan masalah selama lima tahun di bawah pemerintahan mereka, yang merupakan perbuatan yang tidak wajar," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media Jabatan Penerangan Klang di bangunan Wisma Persekutuan Klang, di sini.

Turut hadir calon BN kerusi DUN Pelabuhan Klang Datuk Nasaruddin M Zin dan calon BN DUN Meru, Sukaiman Ahmad.

Maglin yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata, jika BN berjaya merampas kembali Selangor pada pilihan raya kali ini, BN Klang berjanji akan menyelesaikan semua masalah yang dihadapi penduduk sepanjang lima tahun lalu.

"Walaupun saya menjadi calon di Kota Alam Shah, saya tetap turun bertemu pengundi di DUN Meru, Sementa dan Kota Anggerik... saya mahu pengundi kembali mempercayai kita.

"Dan saya sangat berharap pengundi di Selangor memberi peluang kepada kami iaitu calon-calon Barisan Nasional mengotakan janji dan bersama-sama membangunkan semula negeri Selangor ini," katanya.

Beliau berkata, BN memberi jaminan bahawa Selangor akan mempunyai masa depan yang lebih baik di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. - BERNAMA
Kerajaan pertimbang kenaikan gred 'Time-Based’ di jabatan tertutup - KSN

PELABUHAN KLANG, SELASA, 30 April, 2013: Kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan kenaikan gred berdasarkan 'time-based' bagi penjawat awam di jabatan tertutup seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata pertimbangan itu selepas mengambil kira kenaikan gred dalam kalangan penjawat awam di sektor berkenaan agak perlahan berbanding jabatan lain.

"Kalau ikut skim kenaikan pangkat sedia ada, ramai (pegawai dari jabatan tertutup) akan pencen pada tahap gred 48. Saya telah nyatakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan ini akan dibawa untuk pertimbangan jawatankuasa Kabinet.

"Bagi pegawai berprestasi tinggi, kalau boleh sebelum pencen sekurang-kurangnya gred 54 untuk lepasan ijazah dan bagi kakitangan sokongan, kita juga akan perkenalkan kenaikan gred 'time-based’ mengikut kategori masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Wisma Kastam Selangor di Pulau Indah, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad dan Pengarah Kastam Selangor, Badaruddin Mohamed Rafik.

Ali berkata, konsep kenaikan gred berdasarkan tempoh perkhidmatan itu akan memberi motivasi yang lebih kepada anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas dengan cemerlang, selain menghargai sumbangan mereka kepada negara.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan skim insurans khusus bagi anggota penguat kuasa beruniform memandangkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman semasa bertugas. 

"Tugas penguatkuasaan selalu diancam pihak tidak bertanggungjawab dan saya ada menyatakan kepada semua ketua jabatan bahawa mereka perlu meningkatkan tahap keselamatan penjawat awam kita dan keluarga mereka," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung arahan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan yang kononnya meminta pegawai kerajaan tidak bekerja lebih masa, Ali berkata perkara itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berniat ingin memperlekehkan peranan penjawat awam di Malaysia.

Katanya, adalah perkara biasa bagi pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan mengeluarkan pekeliling pentadbiran keselamatan untuk mengingatkan penjawat awam betapa pentingnya mereka menjaga keselamatan, khususnya kerahsiaan dokumen.

“Tetapi saya nampak ada pihak tidak bertanggungjawab cuba 'spin' (arahan pekeliling ini) dengan mengedarkan SMS. Saya rasa itu tidak elok, jangan bawa penjawat awam dalam perkara yang mereka nak perlekehkan dalam negara," katanya.

Ali percaya penjawat awam bijak membuat keputusan sendiri dan tidak akan mudah terpedaya dengan perbuatan pihak-pihak yang cuba memutarbelitkan perkara itu.

Terdahulu, Khazali semasa berucap pada majlis berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan kejam Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, Jumaat lalu.

Beliau berharap kejadian itu tidak akan mematahkan semangat warga kastam untuk terus menjalankan tugas dengan penuh integriti.

"Kita sangat terasa kehilangan Allahyarham, yang sangat berkaliber dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Ketika ditanya pemberita adakah saya takut, saya jawab kalau pegawai penguat kuasa takut, maka siapa yang nak diharapkan untuk memikul tanggungjawab yang diberi oleh kerajaan.

"Justeru, sama-samalah kita pastikan pengorbanan Allahyarham tidak sia-sia dengan bekerja penuh tanggungjawab serta penuh keimanan," katanya. - BERNAMA
Twitter PLUSTrafik langkah mudah dapatkan maklumat trafik terkini pada musim pilihan raya

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: PLUS Malaysia Berhad menyediakan Perkhidmatan Twitter PLUSTrafik untuk memaklumkan pengguna lebuh raya tentang keadaan trafik terkini pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Komunikasi Korporat PLUS, Mohd Nizam Ismail, berkata perkhidmatan twitter di www.twitter.com/plustrafik itu memberi maklumat trafik di lebuh raya Utara-Selatan, ELITE, NKVE, lebuh raya Persekutuan Laluan 2, Linkedua, Seremban-Port Dickson, Jambatan Pulau Pinang dan Butterworth-Kulim.

Beliau berkata, selain Twitter PLUSTrafik, maklumat lalu lintas terkini turut dipaparkan di papan tanda elektronik di lokasi strategik sepanjang lebuh raya.

“Orang ramai boleh juga mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi di 1800880000 yang beroperasi 24 jam setiap hari,” katanya. - BERNAMA
PRU13: Muhyiddin mahu rakyat pertahan nilai kehidupan positif

KLUANG, SELASA, 30 April, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat mempertahankan nilai kehidupan positif yang selama ini diamalkan mereka dan menolak budaya negatif yang cuba diterapkan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pembangkang kini dilihat cuba membawa budaya negatif seperti samseng, fitnah, bidaah, perpecahan dan konfrontasi.

"Rakyat perlu bangkit di dalam mempertahankan nilai-nilai kehidupan (positif) yang selama ini kita junjung. Jangan kita membiarkan mereka (pembangkang) memusnahkan nilai-nilai itu, kita perlu pertahankannya daripada pengaruh (budaya negatif) pembangkang," katanya pada majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Dewan Che Luan Khor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat memikirkan kesan yang bakal terjadi terhadap masa depan negara jika mereka membuat keputusan yang salah dengan memilih pembangkang pada hari pengundian Ahad ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia berkemungkinan berhadapan dengan masa depan yang tidak terjamin sekiranya pembangkang dipilih, sekali gus memusnahkan apa yang telah dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk negara selama ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah calon BN bagi kawasan Parlimen Kluang, Dr Hou Kok Chung, calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Jais Sarday dan calon BN bagi kerusi DUN Mengkibol Chye Kwee Yeow.

Muhyiddin memberi contoh bagaimana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan undang-undang anti-liwat negara ini dihapuskan kerana mendakwanya sebagai undang-undang kolot dan ketinggalan zaman. 

Beliau percaya undang-undang anti-liwat itu adalah di antara undang-undang pertama yang akan dihapuskan oleh Anwar jika beliau menjadi perdana menteri.

"Saya pun tidak tahu mengapa Anwar beria-ia mahu menghapuskan undang-undang ini (anti-liwat)," katanya sambil menambah, perbuatan liwat adalah kesalahan di sisi agama dan perundangan negara ini, selain bertentangan dengan nilai kehidupan rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, penduduk Johor perlu memilih BN sekiranya mahu melihat pembangunan pesat di dalam bidang ekonomi yang sedang dialaminya berterusan.

Katanya, disebabkan kestabilan politik serta pelaksanaan dasar-dasar yang tepat oleh kerajaan BN di Johor telah berjaya menjadikan negeri ini destinasi tarikan utama pelabur.

Johor sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Muhyiddin, telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM200 bilion, dengan RM100 bilion dilabur di Iskandar Malaysia serta selebihnya di pusat pembangunan industri minyak dan gas di Pengerang.

“Kebanjiran pelabur daripada luar dan dalam negara telah mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan di Johor, selain kewujudan pelbagai peluang yang lain kepada masyarakat setempat.

"Saya ingin bertanya, adakah kita ingin menghancurkan semua yang telah kita capai selama ini. Kesilapan di dalam membuat keputusan pada 5 Mei akan memberi kesan yang mendalam terhadap kedudukan ekonomi Johor," katanya.

Muhyiddin berharap pengundi tidak memperjudikan masa depan Johor dan negara ini dengan memilih pembangkang pada pilihan raya umum ini. - BERNAMA
Berhenti sebar SMS palsu atau berdepan tindakan undang-undang - SKMM

CYBERJAYA, SELASA, 30 April, 2013: Pihak yang bertanggungjawab dan menaja penyebaran SMS palsu diminta menghentikan segera aktiviti berkenaan atau bersedia menghadapi tindakan undang-undang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa aduan yang diterima mengenai aktiviti berkenaan.

Katanya, hasil daripada pemantauan terhadap aduan diterima serta kes yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada SKMM sejak kebelakangan ini, SKMM mendapati jumlah kenyataan yang berniat jahat dan palsu yang tersebar melalui SMS serta media sosial menunjukkan peningkatan.

SKMM juga mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca dalam talian dan menyemak dulu kesahihan maklumat terbabit sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai isu berkenaan atau memanjangkan mesej berkenaan.

“SKMM juga memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan itu. - BH
PRU13: Jangan ulangi kesilapan pilih parti pembangkang pada pilihan raya lalu - Najib

 BALING, SELASA, 30 April, 2013: Rakyat di kawasan yang dikuasai pembangkang diminta tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) apabila memilih calon parti pembangkang sebagai wakil rakyat mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, selepas lima tahun, mereka dapat melihat sendiri kegagalan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan negeri pimpinan pembangkang termasuk di Kedah, tetapi mereka masih ada peluang untuk memperbetulkan keadaan pada PRU13, Ahad ini.

"Kalau dah silap boleh betulkan pada 5 Mei ini (PRU13). Dulu tersasar, terpesong tak pe, buat silap sekali tak pe, jangan dua kali buat silap," katanya pada majlis Perjumpaan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Padang Keda, Pekan Baru Keda, Kupang dekat sini hari ini.

Najib berkata, umat Islam di Malaysia juga tidak boleh melihat Islam daripada sudut yang sempit kerana Islam itu luas dan syumul.

"Islam itu akhlak...Islam itu kebajikan, Islam itu ilmu. Islam bukan terletak pada bulan (lambang PAS) yang besar tu. Itu senang sangat. Ada bangunan cat hijau, tak cukup bangunan pagar pun hijau. Itu hanya lambang.

"Kita mesti ada agenda untuk bangunkan Islam. Islam suruh buat baik. Kalau nak tegur dengan baik. Jangan nak maki hamun, aibkan orang dan pecah-belah masyarakat. Itu bukan Islam, itu jahat namanya," katanya.

Najib berkata, kerajaan yang bertanggungjawab akan membina sebuah peradaban dan kerana itu BN melaksanakan agenda transformasi nasional bagi mencapai hasrat itu. 

"Berbeza dengan Pakatan Rakyat, banyak tabur janji tapi janji kosong. Dia bohong. Ini tak boleh pakai. Kalau nak buat perubahan kena ada wawasan, dan kena ada kemampuan untuk menterjemahkan agenda menjadi realiti dan kenyataan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini harga getah di pasaran jatuh dan sebagai kerajaan yang mempunyai kemampuan kewangan telah meminta Risda memberi bantuan RM500 kepada semua pekebun kecil untuk meringankan beban mereka.

"Sebab itu hari ini rakyat lebih yakin kepada kita (BN)," katanya. - BERNAMA
ESSCOM kenal pasti individu terbabit dalam pencerobohan di Sabah

 KOTA KINABALU, SELASA, 30 April, 2013: Bahagian Risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) sudah mengenal pasti individu yang terbabit dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Februari lalu.

Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek, berkata mereka termasuk orang yang sudah lama berada di Sabah.

"Mereka ini akan dipantau," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan penjawat awam persekutuan yang turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.

Mohammad berkata, setakat ini ESSCOM yang bekerjasama dengan pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, tidak menerima laporan mengenai ancaman pencerobohan dan serangan pihak luar ke atas Sabah.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan kerjasama daripada agensi dan jabatan kerajaan bagi menyokong usaha ESSCOM dalam menjamin keselamatan di pesisir pantai timur Sabah sepanjang 1,400 kilometer itu.

Katanya, untuk peringkat permulaan, mereka melakukan program turun padang di semua 10 daerah di bawah Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi menjelaskan peranan badan itu.

Berkuat kuasa 4 April, Mohammad meneraju ESSCOM dengan dibantu empat pengarah yang masing-masing mengetuai Bahagian Pertahanan; Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDKA); Bahagian Awam; dan Bahagian Risikan Bersama. 

Pembentukan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Mac lalu ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Felda Sahabat 16, Lahad Datu.

ESSCOM meliputi lima daerah iaitu Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) pula merangkumi 10 daerah termasuk lima daerah ESSCOM serta Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan dan Semporna. - BERNAMA
PRU13: Sokongan penjawat awam penting dalam meneruskan dasar kerajaan - Ahmad Said

KUALA TERENGGANU, SELASA, 30 April, 2013: Sokongan penjawat awam terhadap Barisan Nasional (BN) penting dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lancar, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, kerajaan pusat sudah melaksanakan pelbagai transformasi terhadap perkhidmatan awam terutamanya berhubung dengan penyelarasan gaji dan kenaikan gred jawatan yang memberi impak positif terhadap taraf hidup penjawat awam.

"Sebagai penjawat awam kita perlu terus menyokong kerajaan serta bersyukur dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk kita. Penjawat awam perlu bersatu dalam mengerakkan dasar kerajaan. Sekiranya penilaian tidak bijak dibuat, kita akan rugi.

"Pembangkang mahu mengurangkan separuh kakitangan awam, tindakan itu akan menyebabkan masalah pengangguran akan bertambah, para graduan juga tidak dapat kerja," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Negeri Terengganu 2013 di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah menunjukkan keseriusan dalam meningkatkan prestasi negara dengan pelaksanaan berbagai-bagai perubahan dan penambahbaikan terhadap perkhidmatan awam baik di peringkat pusat dan negeri. - BERNAMA
PRU13: BN akan bawa perubahan besar jika tadbir Kedah - Najib

ALOR SETAR, SELASA, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan komitmen Barisan Nasional (BN) untuk membawa perubahan besar kepada Kedah jika ia diberi mandat memerintah kembali negeri ini.

Perdana Menteri berkata, Kedah sepatutnya menerima banyak pembangunan dan kemajuan dan bukan sekadar terkenal sebagai negeri 'Jelapang Padi'.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya bagi rakyat Kedah memilih BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ahad ini.

"Bagi Barisan Nasional, saya ingin melihat Kedah maju macam negeri-negeri lain. Kalau kata jelapang ,padi sahaja seolah-olah tiada perancangan.

"Kita mesti membawa transformasi dan pembaharuan kepada rakyat Kedah," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Taman Awana, Pokok Sena dekat sini hari ini.

Najib berkata, beliau mempunyai banyak idea dan perancangan bagi melakukan pembaharuan di Kedah dan perkara itu tidak menjadi masalah jika BN diberi kepercayaan mentadbir negeri ini.

Tanpa mahu mengulas panjang mengenai apa yang dilakukan kerajaan PAS Kedah dalam tempoh lima tahun lepas, Najib berkata apa yang hendak dilakukan BN ialah membawa perubahan di negeri ini termasuk di kawasan parlimen Pokok Sena. 

"Sebab itu kita berani buat kad laporan...pencapaian dan penilaian prestasi supaya rakyat tahu.

"Kad laporan itu makna pencapaian, penilaian dan prestasi kita (BN)...rakyat lihat dan nilai kita satu persatu dan pilihan yang terbaik ialah dengan memilih BN," tegasnya. - BERNAMA
Bersih 3.0: Juruteknik diperintah bela diri cederakan wartawan dan polis

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Seorang juruteknik hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan termasuk mencederakan seorang wartawan stesen TV AlHijrah ketika mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April tahun lalu.

Hakim Mahmud Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Safuan Mamat@Nordin, 26, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Jun untuk Mohd Safuan membela diri selepas peguam Mohd Fikah Sanusi memaklumkan anak guamnya itu memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Bagi pertuduhan pertama Mohd Safuan didakwa merosakkan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kon semasa mengambil bahagian dalam rusuhan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada 3.50 petang, 28 April 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan dengan mendatangkan kecederaan terhadap Konstabel Mohamad Kamil Paiman ketika perhimpunan itu pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa menyebabkan kecederaan terhadap wartawan stesen TV AlHijrah Mohd Azri Mohd Salleh, 29, pada masa dan di tempat yang sama, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haffiza Jemali sudah memanggil 11 saksi untuk memberi keterangan. - BERNAMA
PRU13: Negara berdepan ancaman besar jika diperintah pembangkang - Muhyiddin

BATU PAHAT, SELASA, 30 April, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata negara bakal berdepan dengan ancaman besar jika pembangkang memerintah negara ini kerana ada kuasa asing yang bersedia masuk campur jika ketua pembangkang dilantik menjadi Perdana Menteri.

"(Jadi) jangan masuk kepada kubu pembangkang kerana di sebalik pembangkang ini ada kuasa asing yang memang bersedia masuk ke Malaysia kalau (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) menjadi perdana menteri.

"Mereka akan mencampuri dasar mereka (pembangkang), program mereka dan ini bahaya sebab itu Allah nak tunjuk, dan parti pembangkang kini (pun) kian rapuh," kata Timbalan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan SJKC Yong Peng 2 di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong dan Pengerusi Barisan Nasional Air Hitam Datuk Shamsolbari Jamali.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta rakyat bangkit dan bangun memberi isyarat kepada pembangkang bahawa rakyat mahu pertahankan negara ini daripada jatuh kepada pembangkang.

Katanya, negara juga berdepan ancaman besar kerana pembangkang bercita-cita mengambil alih pemerintahan negara tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri tidak bersatu.

"Saya baca dalam surat khabar hari ini, macam-macam berita...dia mula bergaduh sesama sendiri. Mungkin setahun dua dulu dia simpan... nak keluar, tetapi mereka tahan, mereka tutup jangan cakap tetapi orang dia (DAP) kini sudah mula bercakap minta jangan sokong PAS," katanya.

Anwar sendiri, kata Muhyiddin, tidak pernah jujur dalam perjuangan politiknya menyebabkan ramai rakannya yang suatu ketika dulu bersama-sama dalam PKR sudah mula meninggalkannya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, PAS pula sibuk hendak mewujudkan negara Islam dengan melaksanakan hudud tetapi sekutunya DAP menentang keras pelaksanaan hukum itu.
PAS juga hanya mampu membina sebuah masjid sepanjang tempoh memerintah Kelantan, katanya.

Beliau turut meminta rakyat berfikir panjang kerana hanya tinggal beberapa hari saja lagi (Ahad ini) untuk mereka menentukan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan BN memerlukan undi rakyat untuk mempertahan negara daripada ideologi, fahaman, adat dan budaya yang bertentangan daripada yang berlaku selama ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata, pelabur asing turut menyuarakan kebimbangan jika sekiranya pembangkang menguasai negara termasuk Johor.

Mereka khuatir pelaburan mereka berbilion ringgit akan rugi jika sekiranya DAP menang di kawasan parlimen Gelang Patah, katanya.

Bagaimanapun sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, beliau yakin BN mampu kembali memegang tampuk pemerintahan negara dan negeri Johor hasil kerja kuat jentera pilihan raya dan dasar transformasi yang dilakukan kerajaan. - BERNAMA
PRU13: Sokongan rakyat terhadap BN pada kadar 59 peratus - Bancian Wanita UMNO

IPOH, SELASA, 30 April, 2013: Bancian dilakukan Wanita UMNO menunjukkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) setakat hari ini pada kadar 59 peratus.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman, berkata, bancian sikap itu dilakukan 250,000 ahli pergerakan itu di seluruh negara kecuali Sarawak, terhadap 7.5 juta pengundi.

"Peratusan itu bagaimanapun sangat konservatif dan yakin akan meningkat menjelang hari pengundian berdasarkan tinjauan mood baik rakyat terhadap BN sekarang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini. - BH
PRU13: Pakar saran calon jaga kesihatan semasa berkempen

KUALA LUMPUR, SEEASA, 30 April, 2013: Seorang pakar perunding kardiologi menyarankan calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya mengutamakan penjagaan kesihatan masing-masing dalam kesibukan mereka berkempen.

Datuk Dr Mohamed Rafiq Ibrahim Marican daripada Pusat Penjagaan Jantung Kuala Lumpur berkata, selain mengambil pemakanan seimbang, mereka juga harus meluangkan masa untuk mendapatkan rehat secukupnya.

"Ketika berkempen, biasanya masa seolah-olah tidak mencukupi disebabkan terpaksa mengikuti jadual padat untuk aktiviti berkempen. Ekoran itu, ramai yang mengabaikan faktor pemakanan seimbang seperti tidak mengambil sarapan.

"Kesihatan penting dan merupakan antara penyumbang utama dalam membina keyakinan semasa berkempen. Sudah tentu rakyat tidak mahu memilih calon yang sering sakit," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Dr Mohamed Rafiq, yang juga Pensyarah Kardiologi dan Perubatan di Universiti Antarabangsa Quest di Perak, turut menasihatkan calon-calon PRU13 supaya banyak minum air dan mengambil makanan berkhasiat termasuk pemakanan tambahan menambah tenaga dan mengelak kekurangan air dalam badan.

"Bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti lelah dan kencing manis, saya sarankan mereka supaya sentiasa membawa ubat-ubat berkaitan dan mengambilnya mengikut waktu yang ditetapkan," katanya.

Dr Mohamed Rafiq berkata, setiap orang berpotensi untuk menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan darah tinggi tanpa sebarang tanda awal.
Justeru, katanya pengurusan stres juga amat penting kerana tekanan perasaan boleh mempengaruhi kesihatan seseorang.

"Akibat daripada perasaan terlalu gembira dan terlalu sedih, ia juga boleh mencetuskan penyakit darah tinggi dan sakit jantung.

"Biasalah ketika berkempen pelbagai perasaan akan timbul, sama ada terlalu gembira setelah mengetahui keputusan pada hari pengundian kerana dipilih ataupun yang kalah akan berasa susah hati," katanya.

Sementara itu, calon BN bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan berkata, beliau mengambil pemakanan tambahan yang mencukupi bagi memastikan dirinya bertenaga sepanjang aktiviti berkempen.

Beliau mengakui jadual padat menantinya sepanjang tempoh berkempen selama 15 hari namun tidak mahu mengetepikan soal penjagaan kesihatan.

"Memang saya agak penat, tidur pun hanya dua atau tiga jam sehari. Untuk pastikan saya kekal bertenaga dan cergas, saya akan mengambil pemakanan tambahan setiap hari," katanya.

Beliau berkata, semangatnya untuk mempertahan kerusi parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya kecil 2010 turut didorong oleh isterinya, S. Shobana, yang membantunya berkempen.

Calon BN kerusi Parlimen Seputeh Nicole Wong Siaw Ting juga mengakui kepadatan jadual berkempen memang meletihkan tetapi beliau mengutamakan penjagaan kesihatannya berikutan baru tamat tempoh berpantang selepas melahirkan anak keduanya pada 18 Mac lepas.

"Saya pastikan minum banyak air masak untuk mengelakkan sakit tekak selain minuman teh ginseng bagi menambah tenaga," katanya.

Beliau bersyukur kerana suaminya Allan Kok sentiasa menemani beliau sepanjang tempoh berkempen dan memastikannya menjaga kesihatan.

Calon BN bagi keruis Parlimen Bandar Tun Razak Tan Kok Eng pula berkata sepanjang berkempen, beliau sukar mendapat rehat secukupnya.

"Sepanjang tempoh ini amat sukar bagi saya untuk mendapatkan rehat secukupnya dan isteri saya iaitu Chong Seat Fei sentiasa mengingatkan saya supaya bersarapan sebelum keluar rumah.

"Mujurlah hal makan minum saya diuruskan oleh ibu (Datin Seri Kok Mew Chan)," katanya.

Beliau mengakui sarapan amat penting bagi memastikan seseorang itu cergas dan bertenaga untuk melakukan aktiviti kempen. - BERNAMA
PRU13: Masyarakat Cina di Sabah tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan - Musa

SANDAKAN, SELASA, 30 April, 2013: Masyarakat Cina tidak pernah dipinggirkan dalam agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian kepada keperluan semua kaum termasuk masyarakat Cina dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keagamaan.

"Penyaluran peruntukan kepada sekolah aliran Cina contohnya tanda BN sentiasa sedar dan memberi perhatian kepada keperluan masyarakat Cina dalam bidang pendidikan," katanya pada perjumpaan bersama masyarakat Cina di Taman Khong Pak Tak dekat sini malam tadi.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, keprihatinan terbabit bagi memastikan tidak ada mana-mana kaum di negeri ini tercicir daripada menikmati arus pembangunan.

Sehubungan itu, beliau berkata sokongan daripada masyarakat Cina diperlukan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini dalam usaha meneruskan agenda pembangunan negara menuju ke arah negara maju.

"Sokongan berterusan daripada rakyat amat perlu bagi membolehkan BN dapat meneruskan usaha membangunkan negara dan membela nasib rakyat dengan sawajarnya," kata Musa. - BERNAMA
PRU13: Kit Siang akui sukar berdepan Abdul Ghani di Gelang Patah

GEORGETOWN, SELASA, 20 April, 2013: Penasihat DAP Lim Kit Siang mengakui menghadapi laluan sukar bertanding di Gelang Patah di Johor kerana kawasan Parlimen itu adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, faktor yang menyukarkan beliau untuk memenangi kerusi itu kerana BN menurunkan nama-nama besar untuk berkempen dan pengaruh kuat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lim terbabit dalam pertandingan satu lawan satu dengan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini.

"Pada tahun 2008, BN menang dengan majoriti lebih kurang 9,000 (undi). Pada tahun 2004, BN MCA menang dengan majoriti 31,666," kata Lim pada ceramah pakatan pembangkang di Kolej Han Chiang di sini malam tadi.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Parlimen Gelang Patah dimenangi calon BN Tan Ah Heng dengan majoriti 8,851 undi, mengalahkan calon PKR, Zaliha Mustafa.

"Ini kali pertama Johor menjadi tumpuan seluruh Malaysia. Apa yang berlaku di Johor boleh mempengaruhi apa yang terjadi di Malaysia," kata Lim. - BERNAMA
Anwar akui bukan mudah untuk turunkan harga barang

BUKIT MERTAJAM, SELASA, 30 April, 2013: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan suatu perkara yang mudah bagi kerajaan untuk menurunkan harga barang di negara ini.

Katanya, ini berdasarkan pengalamannya yang pernah menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun.

"Saya (pernah jadi) Menteri Kewangan (selama) lapan tahun, saya tahu bila nak turun harga barang , SELASApening kepala nak fikir..." katanya pada ceramah perdana pakatan pembangkang di tapak pasar malam di Ampang Jajar dekat sini malam tadi.

Dalam pada itu, Anwar menunjukkan yang beliau yakin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-13, Ahad ini dan pakatan pembangkang mengambil alih kepimpinan kerajaan pusat.

Beliau sekali lagi berkongsi angan-angan dengan hadirin yang hadir dengan berkata: "InsyaAllah, kita menang pilihan raya 5 hari bulan, malam (5 Mei), 6 hari bulan (6 Mei) pagi InsyaAllah kita tubuh kerajaan baharu pakatan rakyat. 7 hari bulan (7 Mei) InsyaAllah kita turunkan harga minyak seluruh negara. Minggu depan, dekat dah ni. Saya pun pening kepala bila nak umum ni...pening, bukan senang".

Kawasan Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, calon BN Datuk Dr Mazlan Ismail dan calon bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin. - BERNAMA
Kes bunuh TKP Kastam: Polis rakam keterangan 35 individu

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Polis sudah merakam keterangan 35 individu termasuk orang awam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, polis yakin akan mendapat petunjuk yang boleh membantu mengenal pasti motif pembunuhan serta suspek.

"Kita sedang jalankan siasatan dan kita sudah memanggil 35 individu ini untuk diambil keterangan...kita yakin daripada keterangan itu kita akan menjumpai petunjuk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup serta maklumat awam untuk menyelesaikan kes itu.

Mohd Bakri menegaskan pihaknya sedang mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan kes itu yang diharap dapat dilakukan dalam masa terdekat.

Dalam insiden kira-kira 8.15 pagi Jumaat lalu, Shaharuddin maut akibat ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya. - BERNAMA
PRU13: Najib umum bina hospital pakar, masjid daerah di Baling

BALING, SELASA, 30 April, 2013: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan akan membina hospital pakar untuk masyarakat Baling dan Sik di pekan ini, selain sebuah masjid daerah khusus untuk penduduk Baling.

Najib berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), di sini. - BH
PRU13: BN praktikkan Islam secara meluas dan pelihara kebajikan secara keseluruhan - Najib

BALING, SELASA, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) mempraktikkan Islam secara luas yang memberi tumpuan kepada Islam syumul dan memelihara kebajikan umat dan rakyat secara keseluruhan.

"Bukannya dengan Islam sempit dan memaki hamun orang lain yang diamalkan pembangkang," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Padang Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), sebentar tadi. - BH 

PRU13: Pembangkang tak layak diberi peluang kedua - Najib

ALOR SETAR, SELASA, 30 April, 2013: Pembangkang tidak boleh bermegah dan berbangga dengan usaha membela rakyat versi mereka kerana dalam tempoh lima tahun lepas, 'pakatan' itu hanya melaksanakan 15 peratus daripada janji mereka dalam manifesto pilihan raya umum 2008, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangkang yang merangkumi PAS, DAP dan PKR hanya pandai menabur janji tetapi gagal menunaikannya termasuk di negeri-negeri yang dikuasai mereka seperti Kedah.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya bagi rakyat di seluruh negara menolak pembangkang pada pilihan raya umum ke-13, Ahad ini.

"Pada 2008, kita (rakyat) termakan dengan janji (pembangkang), takkan kita nak termakan lagi dengan janji mereka (kali ini). Takkan kita nak bagi peluang serta ruang kedua kepada mereka," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Taman Awana di Pokok Sena dekat sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail. - BERNAMA
PRU13: Najib pilih calon terbaik di Tawau - Musa Aman

 TAWAU, SELASA, 30 April, 2013: Masyarakat di Tawau akan memperoleh wakil rakyat terbaik untuk mereka jika memilih Datuk Mary Yap Kain Ching dan Fung Len Fui yang masing-masing mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tawau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, ini kerana kedua-dua calon muka baharu itu diyakini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Tawau.

"Perdana Menteri sudah memilih calon terbaik untuk Tawau. Mary Yap ialah aset penting untuk kita. Saya tahu dia ada banyak idea untuk disumbangkan dalam pembangunan pendidikan di negara kita. Jadi saya minta anda berikan sokongan kepadanya.

"Fung pula seorang muda yang kuat bekerja. Berikan dia peluang untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat Sri Tanjong," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan masyarakat Tionghua di sini semalam.

Kata Musa, penduduk di kawasan Sri Tanjong khasnya, perlu melihat prestasi wakil rakyat daripada pembangkang sejak lima tahun lepas yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Anda sendiri tahu, sepanjang lima tahun lalu, wakil rakyat pembangkang tidak melakukan apa-apa. Jadi janganlah ulangi pengalaman lima tahun lalu (di bawah pembangkang)," katanya. - BERNAMA
PRU13: Rakyat Johor diingat supaya buat keputusan bijak

JOHOR BAHRU, SELASA, 30 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat Johor mengenai nikmat keharmonian yang dikecapi rakyat pebagai kaum di negeri ini selama ini di bawah kerajaan Barisan Nasional dan betapa ia perlu dihargai.

Keadaan sebaliknya mungkin berlaku jika Johor jatuh ke tangan pembangkang dan ia tidak akan menguntungkan sesiapa dan semasa itu rakyat sudah agak terlambat untuk memperbetul semula keadaan, kata perdana menteri.

Dalam temu bual eksklusif dengan Radio24 Bernama semalam, Najib berkata, dalam keadaan sekarang rakyat masih lagi boleh menghargai apa yang dikecapi selama ini dengan membuat keputusan yang bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.

Perdana menteri yang sebelum itu menghadiri sebuah 'Program Bersama Perdana Menteri' di Kompleks Sentosa di sini, mengulangi keyakinan bahawa Johor mampu terus kekal menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

"Saya sedar kita menghadapi saingan yang sangat hebat di (kawasan parlimen) Gelang Patah tetapi jentera kita sedang bekerja keras dan semangat kita cukup tinggi.

"Calon kita juga yang bertanding di Gelang Patah (Datuk) Abdul Ghani Othman akan berusaha mengekalkan negeri Johor sebagai kubu kuat BN," katanya. - BERNAMA
PRU13: 235,826 anggota ATM dan PDRM jadi kumpulan pertama guna dakwat kekal

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Pengundian awal membabitkan 235,826 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bermula jam 8 pagi tadi adalah kumpulan pengundi pertama yang menggunakan dakwat kekal dalam pembaharuan yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, untuk pengundian awal ini, pengundi akan dicalit dakwat kekal berwarna merah saga pada jari telunjuk sebelah tangan kiri.

"Secara keseluruhannya bagi pengundian awal membabitkan anggota keselamatan negara bersama pasangan masing-masing ia berjalan lancar dari segi persediaan dan hari membuang undi.

"Sekiranya semua berjalan lancar, saya menjangkakan pengundian awal berakhir pada jam 4 petang. Bagaimanapun, tempoh mengundi awal ditetapkan antara jam 8 pagi hingga 7 malam hari ini," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Sekolah Rendah Agama Khalid bin Al-Walid, Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang di sini, sebentar tadi.

Bagi pengundian awal, ia membabitkan 89, 148 anggota PDRM dan 146,678 anggota tentera, masing-masing termasuk pasangan.

Jumlah pengundi awal dan pos membabitkan anggota keselamatan dan pasangan adalah 272, 387; di mana 36,561 adalah pengundi pos.

Sementara itu, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak 2,036 pengundi awal di kalangan anggota PDRM bersama pasangan. 

Bagi anggota tentera dan pasangan di Kem Wadieburn Jalan Genting Kelang, 2,792 mengundi awal di Sekolah Rendah Agama Khalid bin Al-Walid seawal jam 8 pagi tadi. - BH
PRU13: 11,996 anggota pasukan keselamatan dan pasangan undi awal di Sarawak

 KUCHING, SELASA, 30 April, 2013: Seramai 11,996 anggota pasukan keselamatan dan pasangan di seluruh negeri ini mengundi di 12 pusat pengundian.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, hadir memantau proses pengundian awal di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan.

Proses pengundian di negeri ini bermula dari jam 8 pagi dan akan berlangsung sehingga jam 7 malam di pusat mengundi yang mempunyai lebih 1,000 pengundi. - BH
Ismail sifatkan tindakan Musa sebagai hak peribadi

 KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan tindakan bekas rakan sejawatnya, Tan Sri Musa Hassan yang bersetuju dilantik sebagai salah seorang penasihat kepada Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat (MPKPP) sebagai hak peribadi beliau.

Bagaimanapun, Ismail turut berharap Musa sudah berfikir sebaliknya sebelum membuat keputusan itu selain perlu melaksanakan `tugas' barunya itu dengan rasa hormat terhadap perlembagaan dan undang-undang serta mengamalkan prinsip moral yang tinggi. - BH
PRU13: 11,997 anggota pasukan keselamatan serta pasangan undi awal di Sabah

KOTA KINABALU, SELASA, 30 April, 2013: Seramai 11,997 anggota pasukan keselamatan serta pasangan yang bertugas di Sabah mengundi awal di pusat pengundian yang ditetapkan di seluruh negeri ini, hari ini.

Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Md Yusop Mansor, berkata seramai 6,522 pengundi awal adalah anggota tentera dan pasangan, polis (4,613) manakala Pasukan Gerakan Am (862 termasuk pasangan).

Katanya, turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal adalah anggota pasukan keselamatan di Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan 1,324 pengundi.

"Seramai 1,115 pengundi adalah anggota tentera manakala 209 anggota polis," katanya. - BH
PRU13: Najib minta rakyat beri mandat besar kepada BN

ALOR SETAR, SELASA, 20 April, 2013: Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta rakyat terus memberi mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak pembaharuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program transformasi, termasuk dalam bidang ekonomi, kerajaan dan politik demi faedah rakyat.

Katanya untuk meneruskan agenda itu rakyat perlu memilih kerajaan yang mempunyai wawasan memajukan negara.

"Kita perlu pilih bukan setakat kerajaan yang ada wawasan, tetapi kerajaan yang mempunyai perancangan teliti dan sistematik, yang mampu melaksanakan pembaharuan bukan yang berjanji kosong.

"Pembangkang hanya tunaikan 15 peratus saja janji yang mereka buat pada 2008," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Awana, di sini, hari ini yang dihadiri lebih 3,000 orang.

Beliau juga mahu rakyat Kedah memilih BN kali ini bagi meneruskan rancangan membangunkan negeri ini. - BH
PRU13: Pairin nasihat rakyat di Sabah tidak lepaskan Najib

PENAMPANG, SELASA, 30 April, 2013: Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengulangi nasihat kepada rakyat di Sabah supaya membuat keputusan bijak pada Ahad ini bagi memastikan pemimpin berkaliber dan prihatin seperti Datuk Seri Najib Razak dapat terus meneraju negara.

Katanya, Najib selaku Perdana Menteri telah melakukan pelbagai transformasi termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di Sabah sejak dahulu antaranya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung isu pendatang tanpa izin.

"Ini menunjukkan Najib adalah pemimpin yang turun padang, mendengar keluhan rakyat Sabah dan boleh menerima cadangan atau teguran.

"Jangan lepaskan pemimpin seperti ini. *'A bird in the hand is better than two in the bush'," kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan itu semasa menyampaikan ceramah umum di sini, malam tadi.

*(Peribahasa Inggeris menyamai maksud "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran")

Pairin berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), penambahan pasukan keselamatan dan jentera serta tambahan tujuh balai polis baharu di timur Sabah juga adalah bukti kebijaksanaan Najib selaku 'doktor politik', untuk memastikan keselamatan rakyat terus terjamin.

Beliau seterusnya meminta rakyat yang masih berada "atas pagar" agar melihat perpaduan dalam kalangan pemimpin BN dan kekalutan dalam pakatan yang sering bertelagah pendapat sehinggakan siapa bakal perdana menteri juga belum diputuskan andai mereka menang pilihan raya ini.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Giluk Dompok pula berkata tiada sebab untuk rakyat menukar kerajaan yang dipimpin seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan hanya kerana ingin mencuba kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya remaja belasan tahun dalam politik.

Menurut calon BN bagi kerusi Parlimen Penampang itu, kematangan Najib dalam mentadbir negara terserlah apabila memberi peluang pembangkang berdemonstrasi secara aman di kawasan tertutup, sekali gus menunjukkan sifat keterbukaan Najib untuk mendengar suara rakyat.

"Selain itu banyak lagi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih baik daripada bantuan subsidi diesel kerana lebih ramai layak untuk menerimanya berbanding mereka yang hanya mempunyai lori dan bas," katanya.

Kata, adalah penting untuk semua rakyat di Sabah khususnya, memastikan BN kekal memerintah selepas hari pengundian 5 Mei ini agar program transformasi dan pembangunan di negeri itu ada kesinambungan. - BERNAMA
PRU13: Anggota ATM, PDRM serta pasangan undi awal hari ini

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di 544 pusat pengundian di seluruh negara, hari ini.

Mereka terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan serta 111,136 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.

Kesemua pusat mengundi itu yang membabitkan 882 saluran tempat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi ini termasuk di ibu pejabat polis kontinjen dan ibu pejabat polis daerah bagi polis serta kem tentera untuk warga ATM.

Pagi ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meninjau proses pengundian awal di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini bagi polis serta Kem Wardieburn di Jalan Genting Klang di sini untuk anggota tentera.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata untuk undi awal ini pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk sebelah tangan kiri.

Katanya dakwat kekal itu berbeza warnanya berbanding pada hari pengundian Ahad ini dan akan melekat di jari selama tujuh hari.

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal. - BERNAMA
PRU13: 2,415 pegawai dan anggota polis undi awal di Melaka

MELAKA TENGAH, SELASA, 30 April, 2013: Seramai 2,415 pegawai dan anggota polis di negeri ini mengundi awal di 24 pusat pengundian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata daripada jumlah itu seramai 742 anggota mengundi di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Bukit Beruang di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut meluangkan masa melawat pusat pengundi terbabit pada kira-kira jam 8.30 pagi tadi. - BH
SPAD rancang tubuh akademi pengangkutan sendiri

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) akan menubuhkan akademi khusus untuk mendidik, melatih serta menyediakan penyelesaian profesional bagi memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, akademi itu adalah yang pertama seumpamanya turut akan dianggotai oleh pengendali dan pengatur perkhidmatan, agensi kerajaan, ahli akademik, serta orang awam yang terlibat dalam industri itu.

"Kita akui terdapat kekurangan profesional untuk pengangkutan awam darat di semua peringkat, maka sebab itulah akademi ini diwujudkan.

"Penubuhan akademi itu selaras dengan fokus SPAD untuk melahirkan modal insan bertaraf antarabangsa yang berpengetahuan serta berkemahiran,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kemampanan Pengangkutan Bandar 2013 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Bentang kad laporan prestasi

Oleh HANIZA HASSAN dan AZIZI MAJID

 *NAJIB Tun Razak melambaikan tangan kepada orang ramai sewaktu menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Kolej Universiti Selatan, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU, ISNIN, 29 April, 2013: Datuk Seri Najib Tun sekali lagi mencabar pakatan pembangkang khususnya yang mentadbir empat negeri supaya membentangkan kad laporan prestasi masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, ini memandangkan pakatan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sehingga kini, masih gagal berbuat demikian meskipun dinanti-nantikan rakyat.

Katanya, senario itu berbeza dengan negeri di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilihat berani membentangkan kad laporan prestasi mereka untuk dinilai rakyat.

"Setakat ini pembangkang tidak berani buat report card (kad laporan) lagi. Saya nak tengok Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), Lim Guan Eng, Azizan (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) dan Khalid Ibrahim (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) buat dan tunjukan kad laporan prestasi negeri yang telah mereka tadbir sejak 2008 sehingga kini.

"Bukan apa, pakatan pembangkang ini cakap lain buat lain. Tak macam kerajaan BN kerana kita sebuah parti yang selalu mendengar denyut nadi rakyat dan menunaikan apa yang kita janjikan," katanya ketika berucap dalam Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Kompleks Sentosa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, calon kerusi Parlimen Johor Bahru yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad serta beberapa pemimpin dan calon BN lain.

Dalam majlis itu, Najib turut melancarkan Laporan Prestasi Parlimen Johor Bahru 2008-2013 yang bertemakan Menepati Janji Membawa Harapan.

Dalam pada itu, Najib berkata, slogan 'Ubah' yang sering dilaungkan pembangkang belum pasti menjanjikan perubahan lebih baik kerana boleh bertukar kepada sesuatu yang lebih buruk kepada negara.

Jelas beliau, tidak semua perubahan boleh membawa kepada kebaikan kerana terdapat perubahan yang menjadi lebih buruk berbanding keadaan sebelumnya.

"Jangan main dengan istilah dan perkataan, banyak ahli politik guna 'change', pembangkang di Malaysia pakai 'ubah'. Tetapi 'change' boleh bawa sama ada kepada kebaikan atau keburukan dan contohnya di negara-negara yang mengalami Arab Spring.

Sebaliknya, Najib berkata, negara menerusi Dasar Transformasi Nasional yang diperkenalkan kerajaan berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus tahun lalu selain Bursa Malaysia mencecah paras tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu melepasi 1,700 mata.

"Kejayaan tersebut membuktikan kekayaan negara bertambah, inflasi rendah, malah kita juga akan mewujudkan 3.3 juta peluang kerja baharu menjelang 2020. Oleh sebab itu, apa lagi yang hendak diubah?" katanya. - UTUSAN
Trend sokong BN meningkat - TPM

Oleh Amran Mulup

MELAKA, ISNIN, 29 April, 2013: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk terus mentadbir negara semakin menunjukkan perkembangan positif ketika tempoh berkempen pilihan raya umum kali ini berbaki enam hari lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sejak seminggu lalu, pakatan pembangkang dilihat semakin goyah apabila trend pengundi di seluruh negara meningkat menyokong BN.

Lebih merisaukan pembangkang, katanya, apabila mengetahui sokongan pengundi Cina terutama di kawasan yang dilabelkan sebagai kelabu kian menjadi putih menjelang hari mengundi 5 Mei ini.

‘‘Insya-Allah BN akan menang dan ini bukan kenyataan sombong tetapi adalah realitinya kerana kita lihat pembangkang semakin tertekan dalam tempoh beberapa hari lagi rakyat akan membuang undi.

‘‘Sebab itu, mereka (pembangkang) mula buat macam-macam tuduhan kepada semua pemimpin BN selain mengedarkan pelbagai risalah dan membuat perang saraf,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek membina jejantas pejalan kaki di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wen Chua dan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; pemimpin-pemimpin parti komponen BN serta calon-calon yang bertanding di Parlimen Bukit Katil.

Mengulas lanjut kata Muhyiddin, jangkaan BN untuk terus kekal mentadbir negara juga berdasarkan hubungan antara pemimpin pembangkang yang sudah tidak sefahaman.

‘‘Bila makin dekat hendak mengundi, banyak yang kita dengar DAP komen Pas dan Pas pula komen DAP, malah dalam kalangan pemimpin DAP pun dilihat tidak sepakat," ujarnya. - UTUSAN
Penyusutan ekonomi China tidak terlalu jejaskan Malaysia - Zeti

 *ZETI Akhtar Aziz bergambar bersama tiga orang pelajar cemerlang Muhammad Aiman Sabeh Mohd Shahib (dua dari kiri), Asha Nair a/p Unnikrishnan (kanan) dan Wan Hashedah Wan Haron (kiri) di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013: Penyusutan perkembangan ekonomi China dijangka tidak memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun ia merupakan rakan dagang terbesar negara ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan ekonomi negara berada di landasan sebenar untuk mencapai sasaran lima hingga enam peratus tahun ini, didorong terutamanya oleh permintaan domestik serta pengukuhan pelaburan.

" Situasi ini (kelembapan ekonomi China) sudah pun diambil kira semasa kami melakukan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sekiranya situasi itu semakin meruncing, ia pastinya akan memberi kesan kepada kita bagaimanapun, ekonomi Malaysia ketika ini berada di landasan yang betul untuk berkembang.

"Ini dipacu terutamanya oleh pertumbuhan permintaan domestik serta pelaburan, kedua-duanya sangat penting dan apa yang perlu diingat, pada waktu ini, keadaan tidaklah seteruk apa yang kita pernah alami dahulu," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kijang Emas 2013 Bank Negara Malaysia , di sini hari ini.

Dunia bimbang mengenai prestasi ekonomi China yang merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.7 peratus sahaja pada suku pertama tahun ini selepas ekonomi kedua terbesar dunia itu merekodkan pertumbuhan 10 peratus atau lebih sejak tiga dekad lalu. - UTUSAN
IMF iktiraf kerajaan Malaysia

 
SINGAPURA, ISNIN, 29 April, 2013: Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meletakkan Malaysia, selain China di kedudukan teratas negara-negara sedang membangun di Asia daripada segi ukuran kekuatan institusi tempatan, yang dilihat berkesan menjana pertumbuhan ekonomi dengan baik.

Definasi kekuatan institusi oleh IMF bermaksud kestabilan politik, keupayaan birokrasi yang baik, kurangnya konflik dan rasuah dalam sesebuah negara.

Antara negara yang berada di kedudukan terbawah ialah Indonesia, India dan Filipina.

Laporan Petunjuk Ekonomi Serantau Asia Pasifik oleh IMF itu menyebut, institusi kerajaan sesebuah negara itu penting terutama sekali bagi melancarkan pertumbuhan ekonomi dalam mencapai status negara maju.

Perkara itu menurut IMF, amat penting dalam membendung berlakunya 'perangkap pendapatan sederhana', iaitu fenomena apabila ekonomi terbantut dan sukar beralih daripada negara membangun kepada status maju.

Pertubuhan itu turut menggariskan prestasi institusi yang lemah juga mampu menjadi penyebab berlakunya gelembung aset yang tidak terkawal.

Walaupun negara-negara di Asia yang berpendapatan sederhana (MIE) kurang terdedah kepada ancaman kelembapan ekonomi di Eropah, namun kekuatan institusi kerajaan dianggap tunjang penting bagi membezakan sama ada sesebuah negara itu mampu berkembang atau tidak.

IMF baru-baru ini telah menurunkan jangkaan pertumbuhan China, India, Korea Selatan dan Singapura bagi 2013 dan 2014. Sebaliknya, meningkatkan prospek pertumbuhan Malaysia khususnya dalam jangka pendek.

"Rata-ratanya pertumbuhan ekonomi Asia tahun ini akan berada di sekitar 5.75 peratus, berlandaskan permintaan luar dan domestik yang kukuh," menurut Pengarah IMF bagi wilayah Asia Pasifik, Anoop Singh kepada pemberita di Singapura.

IMF turut menasihati India, Filipina, China dan Indonesia supaya terus memperbaiki institusi kerajaan dan ekonomi masing-masing khususnya wujudnya masalah di dalam aspek pembangunan infrastruktur. - REUTERS/UTUSAN
Tarik balik jika ikut Khalifah Umar

PULAU PINANG, ISNIN, 29 April, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu menarik balik cadangan agar kalimah Allah dibenarkan dalam Bible berbahasa Melayu jika beliau benar-benar mencontohi pentadbiran Khalifah Umar seperti didakwanya.

Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali berkata, mengamalkan corak pemerintahan Khalifah Umar bermakna Guan Eng wajar menghormati agama dan orang Islam meskipun tidak menganutinya.

“Kalau orang Islam rasa tidak selesa, bermakna Guan Eng mesti tarik balik cadangannya itu kerana dia mencontohi pemerintahan Khalifah Umar walaupun dia bukan Islam.

“Dia kena hormati tatasusila orang Islam bukan sahaja dari segi pentadbiran tetapi juga menyelami konsep Khalifah Umar dalam hal-hal lain sebaik mungkin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu katanya, ketiga-tiga pucuk pimpinan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga perlu membuat ketetapan jelas dalam isu berkenaan sama ada menyokong atau membantah penggunaan kalimah tersebut.

Menurutnya, perkara itu penting supaya umat Islam boleh membuat penilaian mengenainya. - UTUSAN
Insurans penguat kuasa

Oleh Hashnan Abdullah

 Ali Hamsa
 SEPANG, ISNIN, 29 April, 2013: Kira-kira 400,000 anggota penguat kuasa bakal menikmati skim insurans khas yang melindungi mereka semasa menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa berkata, skim sedemikian perlu bagi memberi semangat dan keyakinan tinggi dalam kalangan anggota penguat kuasa terbabit, khususnya mereka yang berjawatan rendah.

"Baru-baru ini, kami ada mengadakan perbincangan dengan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan mereka ada kemukakan keperluan skim insurans sedemikian.

"Jadi, perkara itu dalam pertimbangan sekarang ini dan saya sendiri akan membawanya kepada pengetahuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pusat khidmat sehenti Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Selain polis dan tentera, Malaysia turut mempunyai anggota penguat kuasa lain seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Imigresen, pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut Ali, buat masa ini kerajaan mempunyai beberapa bentuk bayaran pampasan dan pencen untuk mana-mana anggota penguat kuasa yang mati semasa menjalankan tugas.

"Cuma kali ini, kita berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi keutamaan kepada penjawat awam berkenaan memandangkan sumbangan mereka itu penting kepada pendapatan negara.

"Lagipun, kita juga tidak boleh memandangkan ringan terhadap ancaman pihak yang berniat jahat kepada anggota penguatkuasa," katanya.

Sementara itu, Ali menyifatkan pembukaan pusat khidmat sehenti MHTC di KLIA akan memudahkan lagi warga asing yang tiba di Malaysia untuk mendapatkan rawatan terhadap penyakit yang dialami mereka.

"Malah, dari segi pulangan, bidang pelancongan kesihatan itu telah meningkat sebanyak 51 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

"Ia meningkat dari RM379 juta dalam tahun 2010 kepada RM594 juta pada tahun 2O12," katanya. - UTUSAN
Mara rangka pelan tingkat jumlah usahawan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang merangka pelan strategik bagi melipatgandakan jumlah usahawan baharu dan sedia ada yang dikenal pasti mempunyai potensi bersaing di peringkat dunia.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, dalam usaha itu Mara akan memberi tumpuan kepada graduan lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang menunjukkan minat menceburi bidang keusahawanan.

Dalam masa sama, tambah beliau, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada usahawan luar bandar yang mempunyai bakat dan minat memasarkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Malah, kementerian dan Mara juga merangka beberapa langkah strategik bagi mempertingkatkan daya saing usahawan-usahawan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Jendela Ke Dunia di KL Sentral, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan televisyen internet, Mara@TV iaitu medium pengiklanan terkini bagi tujuan mempromosi serta mengiklankan produk dan perkhidmatan usahawan bumiputera.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara, Datuk Hanisah Omar.

Tambah Hasan, tahun lalu, Mara berjaya melahirkan sebanyak 12,389 usahawan baharu dalam pelbagai bidang iaitu jauh lebih tinggi berbanding sasaran sebanyak 8,000 orang.

Selain itu, katanya, Mara turut membantu 7,173 usahawan sedia ada melalui pemberian pelbagai kemudahan seperti pembiayaan dan kursus pemantapan serta peningkatan daya saing.

"Ini selaras dengan matlamat Mara mencapai sasaran sebanyak 500 usahawan jutawan dalam tempoh lima tahun sehingga 2015 di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Sekiranya 10 peratus daripada 7,173 usahawan bumiputera berjaya menjadi jutawan dalam tempoh singkat, bermakna kita berjaya melepasi sasaran itu," katanya.

Menyentuh mengenai Mara@TV, Hasan berkata, bagi fasa pertama, pihaknya akan memasang televisyen berkenaan di kawasan tumpuan orang ramai di tujuh negeri iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Hasan yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kuala Pilah berkata, beliau yakin BN dapat mengekalkan kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut.

Katanya, jentera BN di kawasan tersebut jelas menunjukkan kesungguhan dalam memastikan Kuala Pilah kekal menjadi kubu kuat BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. - UTUSAN
Hudud Pas: Guan Eng juga tidak setuju

PULAU PINANG, ISNIN, 29 April, 2013: Tindakan pucuk pimpinan Pas memainkan kembali perjuangan mereka kononnya mahu melaksanakan hukum hudud dan pembentukan negara Islam 'diganyang' oleh seorang lagi pemimpin kanan DAP.

Kali ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara terang-terangan menyatakan pendiriannya yang selari dengan Pengerusi partinya, Karpal Singh yang menolak pelaksanaan hudud Pas di negara ini.

Dalam satu ceramah di Tanjung Bunga di sini malam tadi, Guan Eng yang juga Ketua Menteri dengan yakin serta tegas memberikan gambaran bahawa DAP sememangnya tidak 'sebulu' dengan Pas berhubung isu hudud.

"Kita tidak setuju dengan hudud Pas dan negara Islam kerana perkara itu tidak dimasukkan dalam manifesto pakatan pembangkang tetapi kita menghormati perjuangan Pas, macam DAP yang juga ada perjuangan sendiri.

"Namun kita bersetuju dengan Pas terhadap perkara-perkara lain seperti kebebasan dan antirasuah dan saya tegaskan di sini, DAP sama sekali tidak akan bersetuju dengan hukum hudud Pas dan negara Islam," katanya.

Suara hati Guan Eng itu seterusnya disambut dengan sorakan dan tepukan padu daripada kira-kira 500 ahli parti berkenaan yang hadir dalam ceramah tersebut.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am parti itu, Datuk Dr. Haron Din sebelum ini bertegas mahu melaksanakan hukum hudud Pas sekiranya pembangkang berkuasa.

Bagaimanapun, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi parti itu, Karpal Singh membantah hasrat tersebut.

Karpal turut mendesak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tampil menyatakan pendirian berhubung hasrat Pas itu. - UTUSAN
Pesta Buku Antarabangsa KL sasar 1.8 juta pengunjung


 *PENGUNJUNG memenuhi Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menempatkan pempamer tempatan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL 2013), semalam. PBAKL merupakan pesta buku yang terbesar di Malaysia dan menawarkan lebih kurang 800 gerai pameran dan melibatkan penyertaan seramai 250 syarikat pempamer dari dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2013 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, menyasarkan sebanyak 1.8 juta pengunjung bagi pameran edisi ke-32 itu.

Pengerusi Seranta, Komunikasi dan Duta Buku PBAKL, Ishak Hamzah berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai sepanjang empat hari pameran anjuran Majlis Buku Malaysia (MBM) tersebut berlangsung.

"Sasaran ini juga meningkat berbanding PBAKL 2012 yang mencatatkan jumlah pengunjung sebanyak 1.6 juta orang. Faktor ini disebabkan pertindihan hari terakhir pameran dengan hari pengundian iaitu 5 Mei ini.

"Orang ramai juga memilih datang awal ke pesta buku ini bagi mengelak kesesakan pada saat-saat akhir dan sedikit sebanyak perkara itu menyumbang kepada pencapaian sasaran sebanyak 1.8 juta pengunjung," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PWTC hari ini.

Pesta buku bertemakan Buku: Menjana Pemikiran Kreatif itu berlangsung dari 26 April lalu hingga 5 Mei ini dengan disertai sebanyak 802 gerai mewakili 243 syarikat dan agensi kerajaan serta swasta tempatan dan luar negara.

Ishak berkata, pameran terbesar di rantau Asia Pasifik itu juga menampilkan kelainan tahun ini selepas buat pertama kali, Arab Saudi menjadi tetamu jemputan dengan mengetengahkan koleksi pelbagai buku berkaitan kebudayaan masyarakat negara itu.

Katanya, pihak penganjur juga bersedia berhadapan peningkatan mendadak pengunjung pada 5 Mei ini iaitu waktu puncak selepas orang ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Pameran PBAKL 2013 bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 9 malam pada hari Jumaat hingga Ahad serta pada cuti umum Hari Pekerja 1 Mei ini. - UTUSAN