My Add

Sunday 30 June 2013

Tiga lelaki disyaki terlibat kes samun diberkas polis

SUNGAI PETANI, AHAD, 30 Jun, 2013: Polis memberkas tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes samun bersenjata di Taman Tiong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Ariffin berkata, suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah hari ini dan mereka ditahan reman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang memasuki sebuah rumah di Taman Tiong dan mengikat enam penghuninya sebelum mengambil barang kemas, komputer riba, telefon bimbit serta wang tunai.

Khalil berkata suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggu di luar rumah.

Sementara itu, dalam insiden berasingan, seorang lelaki berusia 20-an menyamar sebagai pemilik rumah untuk menceroboh sebuah kediaman yang tidak didiami di Taman Peruda, semalam.

Khalil berkata, kejadian itu disedari jiran apabila melihat suspek keluar dari bumbung rumah dan memaklumkan perkara berkenaan kepada pemilik sebenar yang menetap di tempat lain.

Beliau berkata polis dari Unit Rondaan Bermotosikal berjaya mengepung suspek dan memberkasnya. - BERNAMA 
Tukang cat maut ditembak dari jarak dekat

 NIBONG TEBAL, AHAD, 30 Jun, 2013: - Seorang tukang cat maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah restoran di Taman Seri Emas, di sini petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, ketika kejadian pukul 3.15 petang itu mangsa, Loh Hooi Tiong, 48, bersama tujuh rakannya sedang minum di restoran berkenaan.

"Menurut beberapa saksi, dua lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah motosikal dan memakai topi keledar penuh meletakkan kenderaan mereka itu di simpang jalan iaitu kira-kira 20 meter dari restoran tersebut.

"Salah seorang suspek datang ke arah mangsa lalu melepaskan empat das tembakan dan ia mengenai mangsa,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya, sebaik melepaskan tembakan, lelaki itu terus melarikan diri dengan rakannya menggunakan motosikal yang ditinggalkan di simpang jalan. - BERNAMA 
732,128 penjaja, peniaga kecil nikmati Insurans P1MPIN

ALOR SETAR, AHAD, 30 Jun, 2013: Seramai 732,128 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara yang berdaftar akan menikmati pelan perlindungan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan memperuntuk RM16 juta setiap tahun bagi melaksanakan P1MPIN.

Bank Rakyat dilantik agensi pengurus dan ia memilih Takaful Ikhlas sebagai syarikat pengendali P1MPIN, katanya semasa berucap merasmikan kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 peringkat negeri Kedah di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata, P1MPIN ialah pelan perlindungan insurans berkelompok penjaja dan peniaga kecil yang diperkenal kerajaan serta berkuat kuasa pada 1 Jan 2013.

Mengikut pelan ini, penjaja dan peniaga kecil mendapat perlindungan kemalangan 24 jam sehari tanpa mengira di mana sahaja mereka berada sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan itu, katanya. - BERNAMA 
Wujudkan garis panduan bela nasib kontraktor

KUALA TERENGGANU, AHAD, 30 Jun, 2013: Kerajaan negeri Terengganu diminta mewujudkan satu garis panduan khas bagi memastikan industri pembinaan di negeri itu kembali 'segar' dengan peraturan baharu untuk membela nasib golongan kontraktor dan pembekal.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Terengganu, Datuk Mohd. Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri berkata, pihaknya menerima banyak rungutan dari anggota persatuan mengenai masalah yang mereka hadapi berikutan kehadiran ramai kontraktor dari luar Terengganu sehingga menjejaskan 'periuk nasi' kontraktor tempatan.

Mengulas lanjut, Mohd. Nasir berkata, projek yang diberi kepada kontraktor utama bukan anak jati Terengganu atau bukan berbangsa Melayu hanya memburukkan lagi keadaan.

"Jika kontraktor utamanya ialah anak Terengganu berbangsa Melayu, saya optimis perkongsian usaha sama dengan sub kontraktor bangsa lain lebih luas, namun senario sekarang adalah sebaliknya.

"Persatuan harap kerajaan negeri akan menetapkan peraturan khusus untuk kepentingan pembekal bahan binaan tempatan contohnya, kontraktor luar terbabit mesti membeli barang binaan dari pembekal tempatan,” katanya. - BERNAMA
Fama sasar RM700 juta hasil ladang kontrak

 LANGKAWI, AHAD, 30 Jun, 2013: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasar program ladang kontrak, yang meliputi kawasan seluas 7,000 hektar, mengeluarkan hasil bernilai RM700 juta tahun ini.

Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, program itu yang melibatkan 4,500 pengusaha, dijangka mengeluarkan 330,000 metrik tan buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Ini adalah usaha Fama untuk membantu petani menjadi lebih produktif selain tidak perlu bimbang mengenai pasaran,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak antara FAMA dan peserta kelompok rambutan 'anak sekolah' di Kubang Badak hari ini.

Perjanjian itu membabitkan 100 peserta ladang kontrak yang mengusahakan rambutan 'anak sekolah' di kawasan seluas 92 hektar. - BERNAMA
Malaysia bertindak ke arah menjadikan dadah bukan sebagai bahan jenayah: Nancy 

 KUALA LUMPUR - Malaysia sedang bertindak ke arah menjadikan dadah bukan sebagai bahan jenayah agar lebih mudah dan terbuka buat penagih dadah mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, dasar kerajaan kini beranjak lebih kepada merawat pengguna dadah daripada mendakwa mereka.

Beliau berkata, hasrat ASEAN untuk menjadi rantau bebas dadah menjelang 2015 tidak begitu realistik tetapi mengambil perhatian bahawa perubahan pendekatan pihak berkuasa dapat mengurangkan bilangan penagaih dadah.

"Tidak wujud perkara seperti bebas dadah tetapi kita boleh mengawalnya dengan mengubah atau menganjak dasar kita. Daripada melihat penagih dadah sebagai penjenayah kita perlu melihat mereka sebagai pesakit. Daripada menghantar mereka ke penjara, kita bawa mereka ke klinik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Panel Peringkat Tinggi mengenai Dasar Dadah dan Kesihatan Umum anjuran Suruhanjaya Global mengenai Dadah, di sini hari ini.

Mesyuarat itu diadakan bersempena Persidangan Persatuan AIDS Antarabangsa ke-7 2013 di sini.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang menyemak semula undang-undang berhubung dadah di negara ini, termasuk Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan). - BERNAMA 
Formula Satu: Rosberg juara Grand Prix British

SILVERSTONE, AHAD, 30 Jun, 2013: Pemandu Jerman, Nico Rosberg melakar kemenangan kedua dalam tiga perlumbaan terakhir Formula Satu (F1) apabila dia menjuarai Grand Prix British di Litar Silverstone hari ini.

Rosberg, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-28 tahun Khamis lalu, melengkapkan perlumbaan di depan pemandu Red Bull dari Australia, Mark Webber manakala pemandu Sepanyol, Fernando Alonso dari Ferrari ketiga.

Pemandu Britain, Lewis Hamilton yang merupakan rakan sepasukan Rosberg dari pasukan Mercedes keempat setelah mempamerkan kehebatannya memandu selepas tayar belakang jenteranya pancit pada awal saingan.

Namun, Hamilton kembali memasuki litar perlumbaan dan mendapati dirinya berada di tangga tercorot pada Grand Prix tersebut sebelum memperbaiki kedudukannya. - AFP/UTUSAN



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20130630/sl_05/Formula-Satu-Rosberg-juara-Grand--Prix--British#ixzz2XiEd02qM
© Utusan Melayu (M) Bhd
UMNO letak calon disenangi penduduk Kuala Besut

BESUT, AHAD, 30 Jun, 2013: UMNO Bahagian Besut akan menyenaraikan nama tokoh-tokoh anak tempatan yang disenangi penduduk Kuala Besut kepada Perdana Menteri untuk dicalonkan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak lama lagi.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, UMNO mempunyai ramai calon yang layak yang berasal dari Kuala Besut untuk dicalonkan.

"Kita mempunyai ramai calon yang berkaliber dan disenangi rakyat terdiri dari tokoh pendidik, tokoh agama, pegawai pentadbir yang semuanya akan ditentukan oleh PM selepas ini," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan PRK dengan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan barisan UMNO Perhubungan Negeri di Damai Beach resort di sini hari ini.

Menurutnya, Kuala Besut masih merupakan kawasan luar bandar dan majoriti penduduknya terdiri dari kaum nelayan yang berfikiran sederhana tetapi mesra. - BERNAMA 
Julfekar dikejar ke HUKM kerana alami slipped disc

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Komposer Julfekar Ahmad Shah, 49, dikejarkan ke hospital akibat mengalami slipped disc.

Menurut Julfekar, hasil pemeriksaan, doktor telah mengesyaki dan mendapati tulang belakangnya tergelincir dan bergesel.

"Akibat penyakit itu doktor menasihatkan saya supaya berehat selama tujuh hari dan akan menjalani rawatan lanjut pada 12 Julai ini.

"Saya betul-betul rasa sakit dan rasa mahu pitam pagi tadi setelah terjatuh serta terbaring ketika hendak bermain badminton bersama dua artis saya, Min Yasmin dan Hafeez Hai. Nasib baik mereka ada membantu saya," katanya yang dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kira-kira pukul 11.15 pagi.

Julfekar kini sibuk menyiapkan dua buah lagu raya terbarunya serta mempromosikan album terbaharu Pinay Lullaby.

Paling menarik, album tersebut memuatkan 14 buah lagu berbahasa Melayu dan Tagalog hasil nyanyian Min Yasmin dan Nikki Bacolod, manakala sebuah lagu yang berjudul "Hilangkanlah" dalam album itu telah dipilih menjadi lagu tema drama "Derhaka Seorang Madu". - UTUSAN ONLINE













Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130630/dn_24/Julfekar-dikejar-ke-HUKM-kerana-alami-slipped-disc#ixzz2XiBlFOLg
© Utusan Melayu (M) Bhd
2 maut, 3 cedera nahas konvoi motosikal kuasa tinggi

JOHOR BAHRU, AHAD, 30 Jun, 2013: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dan tiga lagi cedera selepas konvoi yang disertai mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa Abdul Rashid Mansor, 48, beralamat di Taman Ibai Indah, Ibai Golf Resort, Kuala Ibai, Terengganu dan Mohamad Hisham Salleh, 36, dari Kampung Gemuroh, Marang mati di tempat kejadian.

Kejadian ketika hujan itu berlaku apabila sebuah lori tangki dari arah Mersing hilang kawalan menyebabkannya terbabas dan melintang di jalan raya sebelum dilanggar oleh motosikal berkuasa tinggi berkenaan. - UTUSAN ONLINE 
Nahas konvoi motosikal kuasa tinggi 2 maut, 3 cedera

JOHOR BAHRU, AHAD, 30 Jun, 2013: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dan tiga lagi cedera selepas konvoi yang disertai mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa Abdul Rashid Mansor, 48, beralamat di Taman Ibai Indah, Ibai Golf Resort, Kuala Ibai, Terengganu dan Mohamad Hisham Salleh, 36, dari Kampung Gemuroh, Marang mati di tempat kejadian.

Kejadian ketika hujan itu berlaku apabila sebuah lori tangki dari arah Mersing hilang kawalan menyebabkannya terbabas dan melintang di jalan raya sebelum dilanggar oleh motosikal berkuasa tinggi berkenaan. - UTUSAN ONLINE 
Daftar kahwin dapat insentif: MB Selangor

SHAH ALAM, AHAD, 30 Jun, 2013: Anak Selangor atau pemastautin di negeri ini selama 15 tahun yang melangsungkan perkahwinan tahun ini digesa mendaftar perkahwinan di 56 pusat khidmat masyarakat seluruh Selangor untuk menerima insentif perkahwinan belia.

Menggesa demikian, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian insentif RM200 seorang itu adalah untuk pasangan berumur 35 tahun ke bawah.

Mereka diminta mendaftarkan nama di pusat khidmat masyarakat masing-masing selepas tiga bulan bernikah bagi yang beragama Islam, atau bagi bukan Islam, perkahwinan mereka didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.

"Dengan mendaftar, pihak kerajaan negeri mempunyai maklumat bagi memberi bantuan tambahan seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) jika mereka mendapat anak, dan mengenal pasti calon-calon yang layak menerima perumahan mampu milik yang bakal dibangunkan kerajaan negeri, " kata Abdul Khalid selepas menyampaikan insentif itu kepada lebih 100 pasangan di sini, hari ini.

Buat masa ini, katanya, hanya 170 pasangan telah mendaftar dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan kemudahan itu.

Abdul Khalid berkata pemberian insentif bagi fasa pertama adalah sebanyak RM400 setiap pasangan dan akan dinaikkan kepada RM500 pada masa akan datang.

Beliau berkata bagi pasangan beragama Islam, pemberian insentif itu akan dilaksanakan menerusi simpanan di Lembaga Tabung Haji manakala bagi bukan Islam menerusi Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional.

"Walaupun jumlah RM200 itu kecil bagi sesetengah individu tetapi ia dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pengantin baru dan pemberian menerusi bentuk simpanan itu akan dapat mendidik mereka menabung untuk masa hadapan mereka dan anak-anak," katanya.

Abdul Khalid berkata setiap tahun Selangor mencatatkan lebih 25,000 pasangan yang berkahwin dengan 18,000 daripadanya pasangan beragama Islam dan selebihnya bukan Islam. - BERNAMA
Rakyat Mesir berkumpul tunjuk perasaan anti Morsi

KAHERAH, AHAD, 30 Jun, 2013: Rakyat Mesir bersama pemimpin yang menentang Presiden, Mohamed Morsi berusaha untuk menyingkirkannya dan penyokong parti Islam yang bersumpah untuk mempertahankan kuasa beliau sehingga akhir, mencetuskan kebimbangan berlakunya keganasan pada ulang tahun pertama pemimpin itu memegang jawatan.

Lawan presiden itu bersama ratusan orang yang sudah berkumpul di Dataran Tahrir dipenuhi khemah dan kain rentang anti Morsi dilekat di dinding.

Penunjuk perasaan juga berkumpul di luar istana presiden berdekatan kawasan penyokong Morsi berkumpul yang bakal bertindak untuk mempertahankan presiden mereka.

Tunjuk perasaan anti Morsi juga dijangka berlaku di bandar peringkat wilayah. - AFP/BH
Sebarang keputusan PRK DUN Kuala Besut tidak jejaskan kerajaan BN Terengganu

BESUT, AHAD, 30 Jun, 2013: Sebarang keputusan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak akan membawa kepada perubahan pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang kini diterajui Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata biarpun kedudukan akan menjadi 16-16 seandainya kemenangan menyebelahi pembangkang namun undi pemutus Speaker DUN, yang kini disandang Mohd Zubir Embong, bakal merubah kedudukan menjadi 17-16 membolehkan BN terus berkuasa di negeri ini.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, BN Terengganu memenangi 17 kerusi DUN manakala pembangkang meraih 15 kerusi DUN untuk BN membentuk kerajaan negeri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Said sebelum berlaku kekosongan kerusi di DUN itu berikutan kematian wakil rakyatnya Dr A Rahman Mokhtar, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ahmad berkata keputusan ini amat penting bagi BN untuk menjamin kestabilan politik di Terengganu dan berharap keadaan akan menjadi stabil dalam negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat veteran Umno Besut iaitu bekas ketua wanita UMNO cawangan Kampung Tok Saboh, Wan Mek Wan Embong, 93 yang kini uzur dekat sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu dan tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan dalam bulan Ramadan.

Katanya, pelbagai kaedah tertentu akan digunakan untuk berkempen bersesuaian dengan bulan yang mulia itu. - BERNAMA
Gara-gara halang teman wanita diganggu, lelaki maut dibelasah

JOHOR BAHRU, AHAD, 30 Jun, 2013: Gara-gara menegur sekumpulan lelaki yang menganggu teman wanitanya, seorang lelaki maut setelah dipukul dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kebun Teh di sini awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ong Kien Chong, 27, dikatakan ke kelab berkenaan untuk berhibur bersama teman wanita dan tiga lagi rakannya.

"Ketika sedang minum, tiga lelaki daripada meja berdekatan dilapor telah menganggu teman wanita mangsa dan seorang lagi rakan wanitanya menyebabkan berlaku pertengkaran.

"Pertengkaran itu kemudian berlarutan sehingga ke luar kelab malam dan ketiga-tiga suspek dikatakan menyerang mangsa dibantu lima lagi rakan mereka dengan bersenjatakan parang dan kayu," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Berikutan pergaduhan itu Ong yang merupakan pekerja logistik sebuah syarikat swasta di Perak bersama seorang lagi rakannya mengalami cedera parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

Mereka dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Ong mati pada jam 6.15 pagi manakala rakannya masih dirawat di hospital berkenaan. - BERNAMA
Najib miliki wibawa untuk satukan rakyat Malaysia

MELBOURNE, AHAD, 30 Jun, 22013: Seorang komentator terkemuka Malaysia berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memiliki "wibawa dan kuasa" untuk menyatukan seluruh masyarakat selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

"Beliau begitu jujur, dan bila beliau berkata "Saya berhasrat mentadbir untuk semua rakyat Malaysia. Ini cukup menggalakkan," kata Tan Sri Robert Phang, pengasas dan pengerusi Yayasan Penyayang Sosial kepada Bernama di sini.

"Najib adalah orang yang paling tepat untuk mengesani punca sebenar berlaku kegelisahan politik, terutama di kalangan masyarakat Cina.

"Satu post-mortem perlu dijalankan bagi mengenalpasti sebab-sebab mengapa MCA dan parti-parti komponen Cina lain dalam BN ditolak oleh masyarakat mereka sendiri.

"Mereka gagal mengadakan hubungan dengan pengundi kawasan mereka dan ini satu malapetaka. Tidak ada perwakilan Cina dalam Kabinet. Ini amat mengecewakan. Jadi sesuatu perlu dilakukan," katanya.

Phang berada di sini untuk berucap di dewan Perniagaan Cina Victoria hujung minggu ini. - BERNAMA
PPK perlu bantu pertingkat pengeluaran makanan negara: Ismail Sabri

BERA, AHAD, 30 Jun, 2013: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu mempertingkat pengeluaran industri agro-makanan negara bagi menampung keperluan penduduk di Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata import makanan negara setiap tahun melebihi RM13 bilion dan usaha mempertingkat pengeluarannya perlu dipandang serius.

"Bagi menangani perkara itu, PPK boleh memainkan peranan dalam mempertingkat pengeluaran agro-makanan negara.

"Saya yakin jika ini dilaksana, kita bukan sahaja akan dapat menjimatkan peruntukan mengimport bahan makanan itu, malah dapat memberi sumber makanan bermutu kepada rakyat, sekali gus mempertingkat pendapatan PPK itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Kawasan Bera hari ini.

Anggota Parlimen Bera itu berkata ketika ini, PPK hanya menyumbang sebanyak 10 peratus sahaja daripada keperluan sumber makanan negara.

"Dengan keanggotaan melebihi 800,000 orang, peratusan sumbangan kepada pengeluaran negara pasti dapat dipertingkatkan lagi," katanya.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan menyasar PPK dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada sumber makanan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Beliau berkata pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang sedia bekerjasama bagi membantu dan memasarkan produk petani di negara ini. - BERNAMA
Siaran langsung sidang Dewan Rakyat ditambah 30 minit bermula esok

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Waktu siaran langsung persidangan Dewan Rakyat di saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) ditambah kepada sejam setengah bermula 10 pagi esok berbanding sejam sebelum ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhayati Ismail berkata, tambahan 30 minit itu dibuat berikutan sambutan menggalakkan penonton terhadap perjalanan persidangan itu yang bermula Selasa lalu.

"Hari pertama dan kedua persidangan itu mendapat rating yang hebat dengan lebih sejuta penonton termasuk dari Sabah dan Sarawak mengikuti siaran langsung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mini Sukan RTM 2013 bagi acara boling di Cosmic Bowl di Mid Valley Megamall di sini, hari ini.

Seramai 270 peserta menyertai pertandingan itu untuk memilih wakil RTM Angkasapuri ke Karnival Sukan RTM 2013 pada November depan di Sabah.

Norhayati berkata, siaran langsung itu juga dapat disaksikan secara atas talian di portal RTM di rtmparlimen.rtm.gov.my. - BERNAMA
Fungsi UPP akan diperluas di sempadan Sabah dan Sarawak

ALOR SETAR, AHAD, 30 Jun, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperluaskan fungsi Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak bagi penugasan kawalan untuk mengekang penyeludupan ke negara jiran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati ada keperluan untuk memperluaskan fungsi UPP dan pihaknya akan berbincang dengan kementerian berkaitan. - BH
RCI untuk siasatan insiden Lahad Datu boleh ditubuhkan: Hishammuddin

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 203: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah boleh ditubuhkan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Namun, katanya siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu tidak harus mengganggu atau menjejaskan siasatan insiden itu oleh pihak berkuasa.

"Saya sokong cadangan menubuhkan RCI sekiranya orang ramai ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi di Lahad Datu.

"Saya tidak mahu ada orang yang tidak berdosa dituduh dan tidak mahu dalang yang terbabit ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera yang ke-48 di Kem Sungai Buloh di sini, hari ini.

Sebelum ini, banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan menubuhkan RCI bagi membongkar dalang insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Berhubung tiga dalang yang didakwa terbabit dalam insiden Lahad Datu, Hishammuddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan.

Beliau berkata, Naib Presiden PKR, Tian Chua tidak berhak menggesa kerajaan mendedahkan tiga dalang insiden itu selepas memperlekehkan anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam kejadian itu. 

Hishammuddin menegaskan kejadian itu sangat serius sehingga kerajaan menubuhkan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

"Oleh itu, dia (Tian Chua) tidak berhak menggesa kerajaan kerana dia telah buat kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang menyinggung anggota keluarga tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban kerana insiden itu," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen PKR bagi kawasan Batu berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan cepat untuk mendedahkan dalang insiden pencerobohan itu bagi membolehkan pendakwaan segera dilakukan ke atas individu terbabit.

Insiden penceroboh pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara selepas mereka menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu pada 12 Februari lalu dan kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati. - BERNAMA
Kontraktor Melayu mesti berwibawa: Fadillah
 
KUCHING, AHAD, 30 Jun, 2013: Kontraktor-kontraktor Melayu mesti berwibawa dan mampu menyiapkan projek mengikut jadual bagi memastikan mereka boleh bersaing di pasaran terbuka di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata selain itu, kontraktor yang berwibawa boleh membantu kerajaan menangani masalah projek sakit.

"Pastikan kerja kita (yang dilaksanakan oleh kontraktor) berkualiti mengikut spesifikasi dan masa yang ditetapkan supaya kurangnya projek sakit," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Sarawak di sini hari ini.

Fadillah turut meminta kontraktor-kontraktor Melayu supaya bersiap-siaga bagi menghadapi persaingan lebih hebat berikutan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) menjelang 2015.

"Kita bukan sahaja terpaksa bersaing di pasaran terbuka dalam negeri kita tetapi sebenarnya kita perlu melihat secara lebih positif. Pasaran kita akan menjadi terbuka luas," katanya. - BERNAMA
Malaysia mahu Myanmar tangani isu keganasan dengan segera

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Malaysia menggesa kerajaan Myanmar supaya mengambil tindakan segera bagi menangani keganasan berterusan antara kaum di negara itu.

Gesaan itu disuarakan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-46 (AMM) di Bandar Seri Begawan, Brunei yang bermula semalam.

Satu kenyataan daripada Sekretariat Kebangsaan Malaysia-Asean, Kementerian Luar di sini hari ini, berkata Anifah menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap keganasan yang berterusan itu sambil berkata ia juga menjejaskan negara-negara jiran termasuk Malaysia.

Anifah juga menggesa kerajaan Myanmar supaya mengambil langkah perlu bagi membawa mereka yang terbabit melakukan keganasan ke muka pengadilan secara adil dan telus.

Menteri itu juga mahu mendapatkan persetujuan kerajaan Myanmar bagi membenarkan Kumpulan Hubungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melawat Myanmar dan diberi kerjasama sepenuhnya bagi memenuhi mandatnya.

Anifah mengetuai delegasi Malaysia pada siri mesyuarat berkaitan Asean di Bandar Seri Begawan dari 29 Jun hingga 2 Julai.

Selain AMM ke-46, mesyuarat-mesyuarat lain termasuk Persidangan Pasca Menteri (PMC), Forum Serantau Asean ke-20, Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean Campur Tiga dan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ketiga. - BERNAMA
Lebih 600 kes denggi dilapor di seluruh negara dalam tempoh Januari-Jun

GEORGETOWN, AHAD, 30 Jun, 2013: Lebih 600 kes denggi dilapor di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata Kementerian Kseihatan akan mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang dan mengadakan pemeriksaan di kawasan perumahan dengan lebih kerap bagi membendung wabak itu.

"Kebanyakan masyarakat sedar punca denggi tetapi tidak ramai ambil inisiatif untuk hapuskan pembiakan nyamuk aedes, kerana itu kami akan pantau kawasan perumahan dan arahkan penduduk bersihkan kawasan rumah mereka dan jika gagal kami akan ambil tindakan.

"Kami rasa dengan penguatkuasaan undang-undang orang ramai akan pandang lebih serius perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Penang Free School, Jalan Masjid Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan yang mencatat kes paling tinggi ialah Johor Baharu, Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan akan mengkaji pendekatan undang-undang sesuai untuk mengharamkan penjualan shisha dan rokok alternatif.

Beliau berkata pihak kementerian telah mengkaji kesan sampingan pengambilan bahan berkenaan dan ia disifatkan berbahaya bergantung kepada bahan yang digunakan. 

Baru-baru ini Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok. - BERNAMA
Dua maut, tiga cedera nahas motosikal berkuasa tinggi di Kota Tinggi

KOTA TINGGI, AHAD, 30 Jun, 2013: Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan konvoi motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 38 Jalan Johor Bahru-Mersing pada kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Kejadian berlaku berhampiran simpang masuk ke Taman Daiman Jaya di sini. - BH
Najib ucap tahniah Kelantan pertahan Piala FA

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013:: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan kerana sekali lagi menjulang Piala FA.

"Tahniah The Red Warriors kerana sekali lagi berjaya membawa pulang piala FA. Sukan menyatukan rakyat," katanya dalam tweet terbaharu beliau hari ini.

Pasukan Kelantan berjaya mempertahankan Piala FA 2013 selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - BERNAMA
Ganjaran pemberi maklumat rasuah hanya untuk penjawat awam: SPRM Kedah

ALOR SETAR, AHAD, 30 Jun, 2013: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan ganjaran kerana memberi maklumat mengenai penawaran, pemberian atau penerimaan rasuah hanya diberikan kepada penjawat awam.

"Pengiktirafan itu diberi kepada mana-mana penjawat awam yang melaporkan mengenai penawaran atau pemberian rasuah untuk meningkatkan, menggalakkan dan sebagai motivasi kepada mereka mengikut garis panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara berkuatkuasa 1 Jun 2011," demikian menurut kenyataan SPRM Kedah kepada Bernama berhubung laporan akhbar mengenai perkara itu Khamis lepas.

Menurut kenyataan itu pengiktirafan itu hanya diguna pakai untuk penjawat awam sahaja dan peruntukan kepada orang awam tidak termasuk dalam garis panduan ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan ganjaran untuk orang awam yang melapor atau memberi maklumat mengenai rasuah kepada agensi itu.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan) SPRM Kedah Yusof Shamsudin bahawa pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat menggalakkan orang ramai dan penjawat awam tampil menyalurkan maklumat kepada SPRM. - BERNAMA
Malaysia, Indonesia dan Singapura bincang cara kurangkan risiko jerebu

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Malaysia, Indonesia dan Singapura sudah membincangkan cara yang lebih ke hadapan secara praktikal bagi mengurangkan risiko jerebu yang telah menjejaskan ketiga-tiga buah negara sejak beberapa minggu lalu.

Perbincangan itu dijalankan dalam mesyuarat tiga hala secara tidak rasmi yang diusahakan Malaysia di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-46 di Bandar Seri Begawan di Brunei semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menghadiri mesyuarat itu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Singapura Dr RM Marty M.Natalegawa dan K.Shanmugam.

Menurut satu kenyataan Sekretariat Kebangsaan Malaysia-Asean, Kementerian Luar di sini hari ini, antara cara yang praktikal bagi mengurangkan risiko jerebu itu yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk pengesahan dan pengoperasian segera Perjanjian Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

"Ketiga-tiga menteri mengadakan perbincangan yang konstruktif, berterus terang tanpa berselindung mengenai masalah yang disebabkan jerebu baru-baru ini yang menjejaskan sebahagian besar semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura," kata kenyataan itu.

Semasa mesyuarat itu, ketiga-tiga menteri menyebut mengenai keadaan yang semakin baik di kawasan-kawasan yang terjejas di Sumatera di mana ia berkurangan daripada 16,500 hektar kepada 4,081 hektar.

Mereka juga mengakui bahawa setakat 28 Jun 2013, bilangan kawasan tompokan panas berkurangan kepada tujuh daripada 261 berikutan operasi pembenihan awan dan pengeboman air yang dijalankan kerajaan Indonesia selain keadaan cuaca yang baik. 

"Ketiga-tiga menteri juga bersetuju bahawa perbincangan lanjut berhubung isu jerebu akan diadakan pada AMM ke-46. Dalam semangat perpaduan Asean, mereka juga bersetuju bahawa anggota keluarga Asean yang lain akan diberi maklumat terkini bagi mengikuti perkembangan isu itu yang menyelubungi ketiga-tiga negara berkenaan," kata kenyataan itu.

Anifah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Asean ke-46 di Bandar Seri Begawan mulai 29 Jun hingga 2 Julai. - BERNAMA
Jalan utama Sibu-Miri akan menjadi lebuh raya sepenuhnya menjelang 2015

KUCHING, AHAD, 30 Jun, 2013: Jalan dua hala Pan-Borneo sepanjang 400 kilometer yang juga jalan utama antara Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak akan dinaik taraf menjadi lebuh raya sepenuhnya menjelang 2015.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata keutamaan diberi kepada jalan itu berikutan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharu Sarawak (SCORE) yang dijangka membawa kesan positif terhadap ekonomi di kawasan itu.

"Memandangkan beberapa bahagian jalan itu sudah dinaik taraf, Insya-Allah ia (kerja menaik taraf) boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Malayu Malaysia (PKMM) cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, tumpuan selepas ini ialah menaiktaraf jalan antara Serian dan Betong membabitkan laluan kira-kira 186 kilometer.

"Sudah pasti, berdasarkan manifesto (Pilihan Raya Umum ke-13 Barisan Nasional) kami akan melaksanakannya dalam tempoh lima tahun akan datang, dan pelaksanaannya dibuat secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata, permohonan peruntukan daripada kerajaan negeri Sarawak untuk projek lebuh raya itu kini berada di Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk kelulusan. - BERNAMA
Kerajaan akan fail rayuan terhadap keputusan kes A Kugan

IPOH, AHAD, 30 Jun, 2013: Kerajaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu yang membuat keputusan Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika menjadi Ketua Polis Selangor bertanggungjawab terhadap kematian A Kugan ketika berada dalam lokap polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan menghormati keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V T Singham itu dan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Alumni Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah di sini, hari ini. - BH
MODENAS sasar jual 7,000 unit model 118EFI setiap bulan

GEORGETOWN, AHAD, 30 Jun, 2013: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasarkan untuk memperolehi anggaran purata jualan keseluruhan bagi motosikal varian terkini CT iaitu MODENAS 118EFI sebanyak 7,000 unit setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ismail, berkata sasaran itu diyakini dapat memperbaiki penguasaan pasaran ke tahap 15 peratus pada akhir tahun kewangan 2013/2014.

"Memiliki motosikal adalah salah satu pelaburan yang penting untuk kegunaan seharian, dan MODENAS memang berhasrat untuk menjadi peneraju dalam menyediakan produk yang dijamin berkualiti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Motosikal varian MODENAS 118EFI yang dijual pada harga RM4,755 seunit (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) itu dikuasakan dengan enjin 120cc teknologi Kawasaki, yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api yang dibekalkan oleh Synerject, satu syarikat yang terkenal dalam industri automotif.

Model baru itu juga dilengkapi dengan tayar tanpa tiup, brek cakera hadapan dwi-piston untuk kuasa brek yang lebih cekap dan tangki minyak berukuran 4.3 liter yang mampu mencatat perjalanan sehingga 250 kilometer.

Abdul Halim berkata, model baru yang mempunyai ciri-ciri istimewa seperti transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar dan didatangkan dengan dua warna iaitu "hijau alam" dan "biru semesta" diyakini dapat menepati cita rasa semua golongan pengguna yang menginginkan satu motosikal canggih dan bergaya.

Katanya, sempena dengan pelancaran model baru itu hari ini, MODENAS melanjutkan jaminan pengeluarannya kepada dua tahun atau 25,000 kilometer bagi beberapa model yang berasaskan cadangan kebolehpercayaan motosikal keluaran syarikat berkenaan. 

Majlis pelancaran MODENAS 118EFI disempurnakan oleh Pengarah Urusan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, sempena DRB-Hicom Autofest 2013 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

DRB-Hicom Autofest 2013 adalah acara kedua tahun ini yang bertujuan meningkatkan kumpulan itu sebagai peneraju automotif, dengan adanya jenama yang pelbagai dan yang disegani di Malaysia.

Acara tiga hari, yang bermula Jumaat lalu, dijangka menarik lebih 15,000 pelawat, dengan tawaran dan promosi yang menarik terhadap kenderaan, pacuan empat roda dan motosikal serta cabutan bertuah.

Ia akan turut mempamerkan lebih 100 kenderaan dari pelbagai jenama termasuk Lotus, Proton, Audi, Volkswagen, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu, MODENAS dan BRP Can-Am. - BERNAMA
Kedah mahu berbincang dengan Pulau Pinang mengenai caj air mentah

ALOR SETAR, AHAD, 30 Jun, 2013: Kerajaan Kedah berharap Pulau Pinang tidak menolak permintaannya untuk mengenakan caj bekalan air mentah dari Sungai Muda ke negeri itu sebelum perbincangan peringkat pegawai diadakan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata kerajaan negeri mempunyai hujah berasas untuk mengenakan caj walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng awal-awal lagi mengemukakan alasan kerana enggan membayar.

"Kenyataan Lim Guan Eng bersabit perkara itu baru-baru ini seolah-olah beliau menolak permintaan Kedah. Saya harap dia lebih terbuka dalam soal ini," kata Mukhriz kepada pemberita apabila diminta mengulas jawapan Guan Eng berhubung perkara itu.

Baru-baru ini, Lim berkata, kerajaan negeri tidak akan membayar caj air mentah yang diminta Kedah dengan alasan air anugerah Tuhan adalah percuma dan mengikut undang-undang antarabangsa negeri itu tidak perlu membayar sesenpun kepada Kedah.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata, air yang diambil oleh syarikat bekalan air negeri itu adalah dari sungai di sebelah negeri itu, bukan dari Kedah.

Syarikat bekalan air Pulau Pinang juga didakwa memberi maklumat salah kerana ia sebenarnya membuat untung sangat besar hasil jualan air terawat.

Kerajaan PAS Kedah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu mengambil tindakan untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM20 juta setahun kepada Pulau Pinang. 

Antara alasan kerajaan negeri Kedah mengenakan caj itu ialah bagi menampung kos penyelenggaraan sungai dan kawasan tadahan hujan di kawasan empangan Pedu yang membekalkan air ke Sungai Muda.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan tauliah pelantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini,

Mukhriz berkata, beliau mengarahkan Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-Undang Negeri mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat mereka dari Pulau Pinang.

"Proses perbincangan ini perlu sebelum kita boleh berunding mengenai caj yang hendak dikenakan. Jika tidak dapat berunding macam mana kita nak mulakan perundingan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, enakmen mengenai garis panduan hiburan sepanjang Ramadan ada dan diguna pakai sepanjang tahun tetapi pada bulan puasa ia lebih khusus kerana perlu untuk menjaga sensitiviti agama.

"PBT diingatkan supaya ketetapan garis panduan sepanjang bulan puasa dipatuhi oleh semua pengusaha pusat-pusat hiburan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Muhkriz berkata, kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu pusat panggilan bagi memudahkan rakyat membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan perkhidmatan awam dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap masalah perumahan, utiliti dan membasmi kemiskinan dan sehubungan itu mahu ahli majlis PBT mengamalkan sikap terbuka, mudah didekati dan sentiasa bermusyawarah dalam usaha merakyatkan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan rakyat. - BERNAMA
Tiga penjenayah rompak rumah menteri di Damansara

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Tiga lelaki merompak rumah seorang menteri di Jalan Setiabistari, Bukit Damansara di sini, semalam.

“Mereka yang menaiki kereta Proton Waja, dipercayai melarikan beberapa komputer riba dan jam tangan dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah.

Beliau berkata, ketika kejadian, menteri berkenaan dan isterinya tiada di rumah.

"Suspek dipercayai memanjat tembok di tepi pagar dan masuk ke rumah menerusi pintu depan yang tidak berkunci.

"Pembantu rumah menyedari kehadiran perompak apabila melihat pintu depan terbuka tetapi dia tidak berani menentang mereka," katanya di sini, hari ini.

Ku berkata, pembantu rumah itu juga sempat melihat suspek menyelongkar bilik utama sebelum mereka melarikan diri.

“Jumlah kerugian masih disiasat,” katanya. - BERNAMA
Koperasi Angkatan Tentera Malaysia untung RM249.09 juta

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia mencatat keuntungan RM249.09 juta bagi tahun kewangan 2012 berbanding RM209.51 pada tahun sebelumnya, yang tertinggi sejak beroperasi pada tahun 1960.

Berikutan itu, koperasi tentera mengumumkan dividen sebanyak 14 peratus atau bersamaan RM119 juta kepada lebih 145,000 anggotanya. - UTUSAN 
Murid hidap kanser otak mahu jumpa Najib dan Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Seorang murid berketurunan Siam yang menghidap penyakit ketumbuhan otak berhasrat menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Senator Datuk Boon Som Inong berkata, Kongkiat Bun Song, 10, yang menjalani dua pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan di dalam otaknya, percaya pertemuan dengan Najib dan Dr Mahathir dapat memberinya semangat untuk mengharungi penyakit yang dihidapinya.

"Sejak dikesan menghidap penyakit itu, Kongkiat tidak dapat meneruskan persekolahannya kerana menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi serta rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya setiap hari," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kongkiat, yang bercita-cita menjadi doktor, juga mahu segera kembali meneruskan pelajaran di sekolah di Subang Jaya.

Kongkiat yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu adalah anak pasangan Bun Song I Wan, 37, yang bekerja sebagai pemandu lori dan Channa Isin, 34, seorang suri rumah dari Pendang, Kedah.

"Bun Song dan isterinya berasa resah sejak mengetahui keadaan kesihatan anak mereka serta memikirkan pendapatannya yang kecil tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan rawatan anaknya yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menyalurkan ke akaun ibu kanak-kanak itu, Channa Isin, di CIMB Bank bernombor 12090030265525 atau menghubungi Bun Song di talian 012-2680592. - BERNAMA
Kuala Besut kerusi Pas, PKR 'tak faham'

JAMILAH HAMZAH

 Mustafa Ali
SHAH ALAM, AHAD, 30 Jun, 2013: Pas mendakwa PKR Terengganu “tidak faham” apabila mengeluarkan kenyataan untuk mengetengahkan calon daripada parti itu pada PRK di Dun Kuala Besut ekoran kematian penyandangnya Rabu lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, sebenarnya isu PKR mahu meletakkan calonnya bertanding di kerusi itu tidak sepatutnya timbul.

Lazimnya ujar Mustafa, kerusi yang berlaku kekosongan perlu diserahkan kepada parti yang bertanding di kerusi itu pada PRU.

“Kita lihat dia tak serius dalam memberi kenyataan tersebut. Sebenarnya soal itu tidak berbangkit, isu nak meletakkan calon tersebut.

“Dia tak faham tentang kerusi tersebut,” katanya pada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan tersebut yang sebelum ini ditandingi calon Pas, Napisah Ismail.

“Saya yakin Pas akan pertimbangkan calon daripada PKR. Bagi memperbaiki kedudukan di Terengganu, adalah baik Pas beri pertimbangan calon PKR di situ,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali semalam berkata, kerusi Kuala Besut pernah dimenangi oleh PKR pada tahun 1999.

Di sebalik kesediaan PKR itu, Pas dari segenap negeri tampil dengan kenyataan sudah siap sedia untuk menggempur kubu BN itu.

Kerusi Dun Kuala Besut diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar dari BN meninggal dunia, 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Mengulas lanjut, Mustafa yakin Pas di peringkat negeri telah mempunyai calon yang berkelayakan untuk diletakkan di kerusi Dun Kuala Besut pada PRK akan datang sekali gus menewaskan calon BN.

Bagaimanapun, tambahnya, memandangkan tarikh PRK belum ditetapkan, Pas Pusat masih belum meminta sebarang senarai nama untuk melakukan proses pilihan calon.

“Negeri yang akan cadangkan calon, saya yakin mereka sudah ada nama calon, nanti Pusat akan tapis dan tentukan.

“Setakat ini, negeri pun belum hantar lagi kepada Pas Pusat,” katanya. - Sinar Harian
UMNO Besut yakin pengundi Kuala Besut sokong BN

BESUT, AHAD, 30 Jun, 2013: UMNO Bahagian Besut yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Biro Penerangan UMNO Bahagian itu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata ini kerana pengundi melihat kerajaan BN menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) melalui projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan terutama untuk golongan nelayan di kawasan itu.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru.


Wan Zakaria berkata sepanjang tempoh Allahyarham Dr A Rahman menjadi wakil rakyat di kawasan itu, banyak projek pembangunan yang telah dilaksanakan dan masih banyak lagi sedang dibangun dan dalam perancangan.

"Pengundi di DUN Kuala Besut, menaruh harapan besar BN kekal di kawasan itu kerana masih banyak projek pembangunan untuk golongan nelayan termasuk di Pulau Perhentian akan dilaksanakan kerajaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Wan Zakaria antara rancangan besar yang sedang dibangunkan di Pulau Perhentian termasuk pembangunan penempatan penduduk melalui pembinaan tiga blok rumah pangsa, masjid dan projek pelancongan.

Wan Zakaria yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal berkata, pertandingan merebut kerusi DUN Kuala Besut dijangka menarik kerana ia pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 Mei lalu dan berdasarkan pengalamannya beliau yakin peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu adalah cerah. - BERNAMA
IPU Kota Tinggi kekal sederhana, Bukit Rambai catat penurunan

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Bacaan Indeks Pencemaraan Udara (IPU) di Kota Tinggi, Johor kekal 80 iaitu pada tahap sederhana setakat jam 9 pagi tadi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) keadaan di Bukit Rambai, Melaka terus menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan IPU berkurang daripada 84 kepada 82.

Selain Bukit Rambai dan Kota Tinggi, 21 lagi kawasan mencatat tahap sederhana antaranya Pasir Gudang (72), Larkin (66), Muar (54) di Johor; Bandaraya Melaka (63) di Melaka; Port Dickson (64), Seremban (62), Nilai (58) di Negeri Sembilan; SK Jalan Pegoh (55), Seri Manjung (51) di Perak dan Putrajaya (55).

Sebanyak 28 daripada keseluruhan 52 kawasan yang dipantau JAS mencatat bacaan IPU baik antaranya Langkawi (48) di Kedah; Jerantut (25) di Pahang; Tanjung Malim (35) di Perak; Kangar (42) di Perlis; Petaling Jaya (44), Shah Alam (43) di Selangor; manakala bacaan IPU di Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur masing-masing 49.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Indera Mahkota, Pahang tidak dapat direkod kerana masalah teknikal.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya. - BERNAMA
Universiti swasta Malaysia tawar biasiswa kepada Afrika

DAR ES SALAAM (Tanzania), AHAD, 30 Jun, 2013: Dalam usaha terbaharu Malaysia membantu Afrika membina keupayaan teknologi melalui pembangunan modal insan, sebuah universiti swasta menawarkan 10 biasiswa penuh kepada setiap negara Afrika yang menyertai Dialog Perkongsian Bestari Global.

Inisiatif itu adalah sebagai tambahan kepada bantuan kerajaan Malaysia dalam bidang pendidikan di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perkara ini semasa majlis malam malam Rakan Bestari Global di sini malam tadi bahawa Limkokwing University of Creative Technology menawarkan biasiswa itu. T

ujuh belas negara Afrika menyertai dialog itu, satu platform bagi ketua kerajaan, ketua perniagaan, ahli sains dan ahli akademik untuk berjumpa dan bertukar idea serta pengalaman berhubung kait dengan Sains, Teknologi dan Innovasi (STI) dan bagaimana ia boleh digunakan untuk membawa transformasi sosioekonomi kepada benua Afrika.

Najib berkata universiti itu mempunyai tiga kampus di Lesotho, Botswana dan Swaziland dan merancang untuk membuka satu lagi kampus baharu di Tanzania. - BERNAMA
Nilai faktor kawasan dirampas pembangkang - TPM

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua pemimpin Barisan Nasional ( BN) menilai faktor-faktor kekalahan parti di kawasan yang dirampas pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Beliau berkata, penilaian itu harus dibuat dengan memberi fokus kepada tuntutan rakyat terutama pengundi di kawasan bandar yang sebahagiannya tidak memberi sokongan kepada BN.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis kesyukuran dan penghargaan jentera BN Wilayah Persekutuan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Siti Nurhaliza terima Anugerah Kemanusiaan Mapim

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hari ini menerima Anugerah Kemanusiaan daripada Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Beliau tidak menyangka menerima penganugerahan tersebut kerana pada awalnya hanya diundang oleh Mapim untuk menyatakan sokongan kepada Tabung Gaza Mapim.

"Saya bersyukur dengan anugerah yang diberikan dan sebagai anak seni serta rakyat Malaysia, pastinya saya juga ingin memainkan peranan dalam membantu saudara seagama kita yang berada di bumi Gaza.

"Sebagai anak seni, bantuan yang dapat saya berikan tidak lebih daripada membangkitkan kesedaran dalam diri masyarakat, khususnya umat Islam untuk turut sama menyumbang dalam tabung ini," katanya dalam majlis Rebuild Gaza For A Nation di sini.

Majlis anjuran bersama Mapim dan Rabbani Productions Sdn. Bhd. itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia untuk turut sama membantu membangunkan semula bumi Palestin, khususnya di Gaza.

Menurut Siti Nurhaliza, beliau berhasrat untuk mengunjungi saudara seagama yang berada di sana, selain mendalami lebih dekat cabaran dan dugaan hidup yang dihadapi masyarakat Islam di Gaza.

"Sebagai umat Islam, pastinya saya juga mempunyai keinginan untuk mengunjungi Gaza, khususnya Masjid Al-Aqsa.

"Jika diizinkan Allah, saya juga mahu mengikuti jejak beberapa rakan artis yang pernah ke sana, antaranya Afdlin Shauki dan Heliza Helmi,’’ katanya.

Pihak yang berminat untuk menghulurkan sumbangan ke Tabung Gaza Mapim boleh melayari laman web www.mapim2u.com. - UTUSAN ONLINE 
Mesir makin bergolak

 * RIBUAN penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH, SABTU, 29 Jun, 2013: Penunjuk perasaan antikerajaan menyerang sebuah pejabat pergerakan Ikhwan Muslimin di Iskandariah yang menyebabkan dua orang maut termasuk seorang rakyat Amerika Syarikat (AS), semalam.

Manakala seorang lagi maut akibat satu letupan ketika tunjuk perasaan diadakan di bandar Port Said dengan 10 orang yang lain turut cedera.

Polis hari ini berkata, punca kejadian masih tidak diketahui, tetapi penunjuk perasan percaya ia adalah bom yang digunakan untuk menyerang pejabat parti Islam di bandar itu.

Ikhwan Muslimin berkata, lapan pejabatnya telah diserang semalam, termasuk satu di Iskandariah.

Sementara itu, pegawai Mesir berkata, lebih 70 orang cedera dalam pertempuran di bandar Iskandariah dengan seorang ditembak mati dan seorang lagi mangsa yang merupakan rakyat AS ditikam di bahagian dada ketika mengambil gambar suasana tunjuk perasaan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Andrew Pochter, 21, seorang pelajar dari Chevy Chase, Maryland yang menuntut di Kolej Kenyon, Ohio dan bekerja dengan pertubuhan pendidikan AS, AMIDEAST di Mesir.

Seorang anggota Ikhwan Muslimin turut maut dalam serangan di pejabat parti Ikhwan Muslimin di Zagazig.

Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di sepanjang pantai di Iskandariah dengan berpuluh-puluh orang dilihat membaling batu ke arah pengawal di pejabat Ikhwan Muslimin.

Pejabat itu turut diselongkar dan dokumen-dokumen dibakar oleh golongan muda yang berteriak menyebut slogan antipemimpin Islam.

Kumpulan penentang di Iskandariah yang mengadakan tunjuk perasaan berkata, mereka bimbang Ikhwan Muslimin melakukan revolusi di negara ini dan mengukuhkan kuasa mereka serta menguatkuasakan undang-undang Islam.

Mereka juga tidak berpuas hati dengan tahap ekonomi Mesir ketika ini yang mana harga minyak melambung tinggi akibat masalah bekalan dan pembelian panik.

Kedutaan AS dalam satu kenyataan berkata, negara itu sedang memindahkan kakitangan dan anggota keluarga mereka yang kurang penting dan memberi amaran supaya rakyat negara itu tidak ke Mesir jika tidak mempunyai urusan penting. - REUTERS/UTUSAN
Lapan tentera maut di selatan Thai

 * SEORANG tentera yang cedera dikejarkan ke hospital selepas bom yang ditanam di tepi jalan di wilayah Yala meletup menyebabkan lapan anggota tentera maut di Krongpinang, semalam. - REUTERS
BANGKOK.SABTU, 29 Jun, 2013; Lapan anggota tentera maut apabila sebiji bom yang ditanam di tepi jalan meletup di wilayah bergolak selatan Thailand hari ini.

Serangan yang berlaku di daerah Krongpinang wilayah Yala itu turut mengakibatkan dua lagi anggota tentera dan dua orang awam cedera.

Insiden itu berlaku ketika trak yang membawa sepasukan anggota tentera dalam perjalanan pulang selepas bertugas semalaman di pangkalan tentera, terkena bom yang ditanam di tepi jalan.

“Bom yang digunakan itu sangat kuat sehingga menyebabkan trak tentera musnah sepenuhnya. Seramai 10 anggota tentera menaiki trak itu dan lapan daripadanya maut, manakala dua lagi cedera.

“Dua lagi orang awam yang ketika itu berada berhampiran kawasan kejadian turut cedera dalam serangan tersebut," kata jurucakap tentera, Kolonel Pramote Promin kepada AFP melalui panggilan telefon.

Sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab, tetapi kumpulan pemisah pernah melakukan cara serangan yang sama sebelum ini.

Ketegangan di selatan Thailand sejak sembilan tahun lalu telah mengorbankan lebih 5,500 nyawa dengan anggota keselamatan dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kerajaan sering menjadi sasaran serangan.

Kerajaan Thailand turut mengadakan rundingan rasmi pertama dengan wakil kumpulan pemisah dari selatan, Barisan Revolusi Nasional (BRN) awal bulan ini, tetapi setakat ini masih gagal mencapai perjanjian dan keganasan terus berlaku.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan semalam, dua lelaki Islam, termasuk seorang ketua kampung ditembak mati di wilayah Narathiwat. - AFP/UTUSAN
Remaja hebat yang melakukan 11 pekerjaan

LONDON, SABTU, 29 Jun, 2013: Bagi kebanyakan remaja, zaman muda itu biasanya akan dihabiskan untuk belajar dan bersukaria, tetapi berbeza pula dengan seorang pemuda di Britain yang tidak suka duduk diam dan melakukan 11 pekerjaan dalam sehari.

Apa yang lebih menarik, daripada 11 pekerjaan yang dilakukan oleh David Day, 21, hanya lima sahaja yang mendapat upah, selebihnya dilakukannya secara sukarela.

Day yang hanya memperolehi pendapatan 500 pound (RM2,403) sebulan akan bekerja selama 50 jam dalam tempoh seminggu.

“Terdapat persepsi yang menyatakan orang muda tidak mahu melakukan apa-apa, tetapi hakikatnya ada juga remaja yang mahu menolong orang ramai," katanya.

Lima pekerjaan Day yang menerima upah ialah menjadi petugas ketika makan tengah hari di sebuah sekolah rendah, menjadi pelayan di kelab bola sepak Notts County, menjaga kedai Primark, bekerja di pusat komuniti serta di sebuah kelab sebelum dan selepas sekolah.

Namun, pekerjaan itu masih tidak cukup baginya dan dia juga melakukan enam kerja secara sukarela iaitu menjadi sukarelawan di kumpulan pemuda dan St John Ambulans, menjadi jurulatih badminton, bola sepak, penyelamat serta menyertai permainan kumpulan.

“Memiliki wang memang menyeronokkan, tetapi bagi saya itu bukanlah yang paling utama," ujar Day. - AGENSI/UTUSAN



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130630/lu_03/Remaja-hebat-yang-melakukan-11-pekerjaan#ixzz2XfIVUhlx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Mulakan kerja sekarang hadapi PRU-14 - Muhyiddin

*  MUHYIDDIN bersama Norainee Abdul Rahman bersalaman dengan orang ramai dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Jentera BN Wilayah Persekutuan di Taman Kejiranan Air Panas, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk memulakan kerja dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Jelasnya, tempoh lima tahun bukan satu masa yang panjang untuk masing-masing berlengah-lengah atau berehat ekoran kepenatan bekerja ketika pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu menggalas tugas dan tanggungjawab lebih besar untuk menyelesaikan tuntutan rakyat yang mahukan negara lebih maju, demokrasi lebih matang dan sistem kerajaan yang adil.

"Tempoh berehat sudah habis, tugas tersedia di hadapan untuk memikul tanggungjawab itu kerana ini bukan soal BN tetapi rakyat yang lebih bijak dan bermaklumat.

"Mulakan kerja sekarang ini, bukan esok atau tunggu tiga empat tahun lagi, ketika tiba saat pilihan raya kerana perkara ini serius bagi menentukan rakyat percaya dan yakin dengan BN, sekali gus menubuhkan kerajaan lebih kuat," katanya ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Jentera BN Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan; Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali al-Habshee dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan turut meminta pemimpin BN untuk menilai faktor kekalahan di kawasan yang dikuasai pembangkang, di samping meraikan kejayaan parti membentuk kerajaan Pusat.

Beliau berkata, penilaian itu harus dibuat dengan memberikan fokus bagaimana untuk mengembalikan sokongan rakyat terutama pengundi di bandar yang tidak berpihak kepada BN.

Dalam konteks itu, beliau berpesan agar masing-masing tidak terlalu menumpu perhatian untuk merebut jawatan dalam parti tetapi perlu berfikir bagaimana mahu membela rakyat.

"Kita perlu sedar dan insaf dalam tempoh lima tahun akan datang. Kita tidak ada banyak pilihan sebaliknya bertumpu kepada apa yang sepatutnya kita lakukan, jangan hanya kejar jawatan dalam parti.

"Melihat kepada situasi yang kita hadapi sekarang, kita perlu perkukuhkan barisan, perpaduan dan semangat kerjasama sesama kita kerana itu merupakan prasyarat untuk menentukan kejayaan lebih besar," katanya. - UTUSAN
Wasatiyyah penting dalam masyarakat majmu

 * SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan beramah mesra dengan para peserta ketika berangkat ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-55 tahun bersamaan 1434H di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Sebanyak 49 negara menyertai tilawah dengan penyertaan 80 qari dan qariah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, konsep wasatiyyah sangat penting diterapkan jika kerajaan mahu mewujudkan keseimbangan dari segi membina perpaduan yang lebih harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama, resam dan budaya.

Titah baginda, konsep itu mewujudkan pendekatan yang tidak bersifat keterlaluan atau melampau dan dalam masa sama tidak pula terlalu longgar atau mengambil ringan sesuatu perkara.

Baginda bertitah, konsep tersebut merupakan satu pendekatan yang perlu dilaksanakan secara berterusan dalam dasar-dasar kerajaan sedia ada dan kehidupan seharian.

"Beta yakin terhadap komitmen kerajaan dalam mengaplikasi konsep wasatiyyah menerusi segenap lapis pengurusan dan pentadbirannya," titah baginda ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-55 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sultan Muhammad V bertitah, pendekatan wasatiyyah yang dijelaskan di dalam al-Quran perlu diterapkan dalam pembentukan generasi Islam, seterusnya menjadikan mereka sebagai idola kepada masyarakat dunia.

Titah baginda, Rasulullah SAW sendiri memulakan pembangunan generasi awal Islam sebagai contoh ummatan wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah SWT.

"Ummah wasatiyyah diertikan sebagai umat yang adil, terbaik dan seimbang. Maka, umat Islam sentiasa dituntut agar melaksanakan sesuatu perkara dengan penghasilan paling baik berpandukan al-Quran dan as-Sunnah," titah baginda.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun ini berlangsung mulai malam ini hingga 6 Julai ini dengan memilih tema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Sebanyak 72 peserta mewakili 42 negara menyertai majlis tilawah tersebut dan Malaysia diwakili qari, Anuar Hasin serta qariah, Hanimzah Jalaluddin. - UTUSAN 
Malaysia tersohor di Afrika

* NAJIB Tun Razak dan Jakaya Mrisho Kikwete berbincang ketika menghadiri Dialog Perkongsian Bestari Global di Julius Nyerere International Convention Centre di Dar Es Salaam, Tanzania, semalam. Dialog empat hari itu bertemakan Memanfaatkan Teknologi Bagi Transformasi Sosioekonomi Afrika. - BERNAMA
DAR ES SALAAM, SABTU, 29 Jun, 2013: Inisiatif Malaysia mencetuskan penganjuran Dialog Perkongsian Pintar Global yang dimulakan dengan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1995 telah menjadikan nama negara sangat dikenali di negara-negara Afrika, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, selepas dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 18 tahun lalu, Malaysia telah berperanan sebagai penggerak utama kelangsungan penganjuran dialog tersebut dan berikutan itu, negara sentiasa dijadikan model dan penanda aras oleh negara-negara Afrika.

Tambah Perdana Menteri, dari segi manfaat secara tidak langsung daripada usaha menggerakkan dialog perkongsian pintar ini, Malaysia mempunyai jalinan hubungan dan rangkaian yang sangat baik dengan negara-negara Afrika termasuk sentiasa mendapat sokongan politik dalam banyak hal yang dibangkitkan dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB).

"Barangkali hubungan Malaysia dengan negara-negara Afrika jauh lebih baik daripada kebanyakan negara lain. Nama Malaysia sekarang ini begitu dikenali dan sangat tersohor (di Afrika). Dari situ kita boleh buka ruang kepada syarikat Malaysia untuk mendapat peluang di Afrika.

"Ada di beberapa negara, mereka (pelabur Malaysia) telah berjaya tanpa kita ketahui. Misalnya di Uganda, sebuah syarikat kita telah membuka perniagaan perabot bernilai jutaan dolar Amerika iaitu mengeksport perabot Malaysia ke Uganda. Sebelum ini, Petronas telah memulakan pelaburan di Sudan, itu juga manfaat daripada dialog ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Nyerere, tempat berlangsungnya Dialog Perkongsian Pintar Global (Global 2013) di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Menurut Najib, yang terbaharu, hasil dariapda penganjuran dialog perkongsian pintar itu, negara-negara Afrika kini cukup berminat dengan agenda transformasi Malaysia selepas mereka mendengar taklimat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Idris semasa dialog sama di Putrajaya pada 2011.

"Mereka (negara-negara Afrika) sangat tertarik dengan Wawasan 2020, konsep transformasi dan kewujudan PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan).

"Tanzania sendiri misalnya telah menjemput Idris sebanyak empat kali ke Dar Es Salam untuk menerangkan apa yang telah kita rancang termasuk memberi penjelasan dalam mesyuarat menteri-menteri Kabinet mereka. Kini mereka cukup minat melaksanakannya dan menjadikan Malaysia sebagai model, bukan negara Barat. Negara lain pun minat termasuk Botswana," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta bakal pelabur Malaysia yang berhasrat menjalankan perniagaan atau menanam modal pelaburan di Afrika supaya lebih memahami situasi tempatan dan melakukan penyelidikan mengenai kawasan mana yang sesuai untuk diterokai sebelum mula melabur.

"Dari segi penerimaan kerajaan mereka di sini sudah ada, dari situ sudah ada peluang. Jadi, bakal pelabur harus belajar daripada beberapa orang atau syarikat Malaysia yang telah berjaya di Afrika," katanya. - UTUSAN 
Kepimpinan perlu kukuh untuk membangun

DAR ES SALAAM, SABTU, 29 Jun, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kekuatan kepimpinan politik adalah salah satu faktor penting yang bakal menentukan kejayaan pelan pembangunan di negara-negara Afrika dan transformasi sosioekonomi yang sedang dirancang dan dilaksanakan.

Menurutnya, tanpa kepimpinan politik yang mempunyai wawasan untuk membangunkan negara, maka sebarang perubahan yang ingin dilakukan di negara terlibat akan menjadi sukar walaupun sudah bersedia dari segi adaptasi teknologi, modal insan dan kewangan.

Bercakap kepada media Malaysia dalam sidang akhbarnya selepas menyertai sesi dialog utama pada Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 (Global 2013 bertajuk Memanfaatkan Teknologi untuk Pertumbuhan Perkongsian Pintar dalam Pengukuhan Transformasi Sosioekonomi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Nyerere di sini hari ini, beliau berkata:

"Dalam dialog pagi ini, saya telah nyatakan (kepada ketua-ketua kerajaan dan negara Afrika) bahawa Malaysia akan terus berkongsi pengalaman membangunkan negara mereka tetapi setiap negara perlu tentukan kaedah masing-masing yang sesuai. Tidak ada satu formula yang boleh diguna pakai untuk semua negara, ia perlu ambil kita keadaan setempat dan faktor lain.

"Dan paling penting bagi membolehkan segala faktor lain dimanfaatkan, ialah soal kepimpinan negara atau kepimpinan politik. Kalau tiada pemimpin politik yang mempunyai wawasan, maka faktor lain tidak boleh dimanfaatkan."

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Menurut Najib, dalam mengaplikasi dan memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI), setiap negara di Afrika perlu mempunyai dasar STI yang jelas kerana itu amat penting untuk menentukan hala tuju bagaimana STI boleh digunakan dan dikembangkan bagi mencapai matlamat pembangunan sesebuah negara.

Selain itu, kata beliau, negara-negara peserta Global 2013 juga telah melihat betapa perlunya beberapa aspek lain diberi penekanan termasuk pembangunan teknologi pembuktian (evidence technology) dan teknologi teoritikal (theoretical technology) bagi memastikan setiap keputusan akan menjadi lebih tepat.

"Penekanan kepada "evidence technology" dan "theoretical technology" ini penting kerana daripadanya kita memanfaatkan teknologi untuk mendapatkan maklumat yang terperinci.

"Maknanya, sebelum sesuatu dasar diputuskan (oleh kerajaan), ia mesti diasaskan kepada "evidence technology" dan "theoretical technology" supaya keputusan dan dasar yang dibuat adalah tepat," katanya.

Tambah Perdana Menteri, pelan pembangunan dan pelaksanaannya juga tidak boleh melupakan faktor modal insan dan modal kewangan bagi membolehkan sebarang perancangan adalah mengikut kemampuan kerajaan dan keperluan di negara masing-masing.

Beliau menjelaskan, dalam konteks benua Afrika, negara-negara terbabit pada masa ini masih mengeksport bahan-bahan mentah atau mendapat pendapatan daripada sumber-sumber yang tidak diterjemahkan kepada nilai tambah.

"Sebab itulah mereka tidak memperoleh pendapatan yang setimpal daripada sumber yang ada di Afrika sedangkan benua ini disebut kaya dengan sumber, tetapi ia tidak dapat diterjemahkan kepada kekayaan atau pendapatan yang lebih besar kepada mereka." katanya.

Sementara itu, terdahulu, Najib mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa yang turut menghadiri dan menyertai Global 2013.

Ditanya mengenai pertemuan itu, Perdana Menteri memberitahu, Rajapaksa telah menjemput beliau secara rasmi untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGAM) di Colombo dari 15 hingga 17 November ini.

"Presiden Rajapaksa juga menyatakan penghargaannya kepada Malaysia terutama dari segi penglibatan para pelabur kita di Sri Lanka. Beliau berharap lebih banyak pelaburan dari Malaysia di negara itu," katanya. - MINGGUAN 
Forum Perdana batal dikesali

Oleh ANI AWANG

 * SEBAHAGIAN hadirin mendengar ceramah bertajuk Ihya Ramadan yang disampaikan oleh Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz di Pusat Pengajian Darul Wehdah, Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/SAZALI CHE DIN
BUKIT MERTAJAM, SABTU, 29 Jun, 2013: Pendakwah bebas, Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz atau dikenali sebagai Ustaz Kazim kesal apabila kerajaan negeri Pulau Pinang mengarahkan program Forum Perdana yang dijadual diadakan di negeri itu pada 5 Julai ini dibatalkan.

Beliau mendakwa arahan itu dikeluarkan oleh Exco agama atas alasan tidak suka kepada beliau yang dikatakan boleh menggugat kerajaan negeri.

“Sebagai Exco agama dia sepatutnya tolong saya, bantu serta bagi ruang dan bukan sekat saya berdakwah.

“Sebagai pendakwah saya sedih kerana ahli jemaah yang menjadi mangsa kepada politik sedangkan saya bukan ahli politik. Orang politik sepatutnya berbaik dengan pendakwah supaya mereka mendapat faedah, tetapi yang berlaku sebaliknya kerana yang rugi bukan saya tetapi masyarakat. Biarlah masyarakat yang menilai dan menghukum pemimpin seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pengajian Darul Wehdah, Permatang Pauh di Simpang Tiga Kubang Ulu di Penanti dekat sini.

Muhammad Kazim yang juga Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi, Ipoh berkata, walaupun bukan semua ahli politik bersikap begitu, tetapi masih ada ahli politik kurang mahir berpolitik dan menjadikan pendakwah bebas sebagai musuh mereka.

“Sepatutnya pendakwah bebas seperti saya dibantu kerana mereka mempunyai pengikut. Membatalkan ceramah dengan arahan lisan menjejaskan dakwah dan menjadikan orang ramai kecewa dengan orang politik.

“Salah satu sebab saya mengambil keputusan berhenti berceramah kerana sudah bertahun-tahun menghadapi tekanan politik. Saya berdakwah orang politik yang ganggu, mereka buang dan bakar bunting, membakar mercun dan mengarahkan batal kuliah," katanya.

Menurutnya, bukan beliau seorang sahaja yang menghadapi tekanan politik, tetapi ramai lagi pendakwah menghadapi situasi itu membuatkan beliau mengambil keputusan berhenti ceramah pada November tahun ini.

“Arahan ahli politik supaya dibatalkan majlis pada saat-saat akhir juga menimbulkan masalah kepada jawatankuasa surau dan masjid. Penganjur juga diberikan tekanan politik supaya dibatalkan.

“Walaupun saya berhenti ceramah, tetapi saya masih meneruskan dakwah di media massa dan elektronik, menulis buku dan majalah," ujarnya.

Tambah beliau, bidang pendakwahan sangat luas dan bukannya berceramah dalam Forum Perdana sahaja.

Menurut Muhammad Kazim, tidak seperti Pulau Pinang, beberapa negeri lain mengamalkan sikap terbuka kepada pendakwah sepertinya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli politik supaya bersikap profesional dan jangan anti kepada pendakwah bebas dan program ceramah agama.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim ketika dihubungi menafikan beliau mengarahkan Forum Perdana itu dibatalkan.

Abdul Malik berkata, selaku Exco yang bertanggungjawab terhadap agama Islam di negeri itu, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan berkenaan.

“Pulau Pinang bersikap terbuka dan tidak menghalang majlis ceramah serta percambahan ilmu yang mahu diadakan di negeri itu. Kita juga tidak meletakkan syarat bahawa penceramah yang mahu dijemput itu mesti mempunyai tauliah agama seperti yang disyaratkan di negeri-negeri lain," katanya.

Menurutnya, kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan salah faham.

“Seingat saya pada tahun lepas, dalam satu program ceramah anjuran kerajaan negeri, kita ada menjemput Ustaz Kazim hadir," katanya. - UTUSAN 
Tubuh Skuad Pemantauan Rakan Ikan

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

TEMERLOH, SABTU, 29 Jun, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mewujudkan Skuad Pemantauan Rakan Ikan bagi membendung kegiatan menangkap ikan secara haram di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak akhir-akhir ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan tuba, racun rumpai dan bahan letupan untuk menangkap ikan di sungai.

Menurut beliau, sebagai permulaan, seramai 15 penduduk dilantik sebagai skuad pemantau tersebut di daerah ini bagi membanteras kegiatan itu.

“Mereka dibekalkan pelbagai peralatan termasuk lampu suluh dan sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) bagi memudahkan gerakan mengesan pihak terbabit yang menjalankan kegiatan itu.

“Walaupun kegiatan ini belum serius, namun usaha membanteras perlu dilakukan mulai sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gegar Perikanan dan pelepasan benih ikan peringkat kebangsaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahmad Sabki Mahmood.

Ismail Sabri berkata, skuad itu akan diperluaskan ke setiap daerah di seluruh negara secara berperingkat.

Beliau yakin penubuhan skuad tersebut bukan sahaja mencegah kegiatan haram itu tetapi dapat membiakkan ikan sungai yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan penggemarnya.

Menurutnya, pihaknya akan meningkatkan lagi kegiatan pemeliharaan ikan sungai kerana permintaan terlalu tinggi dalam kalangan penduduk tempatan dan luar negara.

“Ikan sungai memberi pendapatan kira-kira RM6 billion setahun dan dijangka meningkat pada masa depan berikutan permintaan semakin banyak ketika ini," katanya. - UTUSAN 
Operasi Daulat kerjasama tertinggi ATM, PDRM

LAHAD DATU, SABTU, 29 Jun, 2013: Operasi Daulat yang diwujudkan khusus untuk memerangi pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Kampung Tanduo merupakan kerjasama tertinggi pernah diadakan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Katanya, melalui kerjasama berkenaan, kedua-kedua pasukan keselamatan itu serta agensi lain bersama-sama menghadapi kumpulan penceroboh demi mempertahankan kedaulatan negara.

"Operasi Daulat yang telah kami laksanakan bersama, tidak pernah kami terbayang dan terfikir akan berlaku sehinggalah kedaulatan negara kita diceroboh pihak berkenaan.

"Hasil kerjasama kami yang erat melalui Strategi Lautan Biru maka kami dapat bekerjasama mempertahankan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sidang akhbar berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek, merupakan sidang akhbar pertama diadakan sempena pelancaran program komunikasi ATM dan PDRM, iaitu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi menyebarluaskan aktiviti pasukan keselamatan berkenaan kepada masyarakat.

Zulkifeli berkata, kerjasama kedua-dua agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan berkenaan juga telah dikembangkan kepada rondaan bersama PDRM dan ATM bagi menangani kes jenayah jalanan serta latihan bersama yang dikendalikan secara bergilir-gilir.

Khalid pula berkata, kerjasama erat ATM dan PDRM menghadapi kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, merupakan satu model kerjasama masa depan kedua-dua agensi untuk menghadapi sebarang isu yang mengancam kedaulatan negara.

"Inilah model masa depan yang bakal kita ikuti dalam menangani ancaman dan masalah keselamatan negara kita," katanya.

Menurut Khalid, kerjasama PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan tidak akan terhenti kepada usaha menghadapi ancaman kedaulatan negara malah melampaui konteks rondaan bersama menangani kes jenayah jalanan di bandar besar.

"Kita telah mengadakan rondaan bersama dan ini akan ditingkat dan diteruskan. Sekarang kita ada rondaan bersama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan akan dilanjutkan di lapangan terbang antarabangsa lain di seluruh negara," katanya. - BERNAMA 
Harga rumah: Formula baharu dicari

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KOTA BELUD 29 Jun - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencari formula baharu bagi mengatasi masalah kenaikan harga rumah yang menjadi isu dan beban kepada rakyat negara ini, khususnya pembeli rumah.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, dalam mencari formula yang sesuai itu, pihaknya akan mengadakan bengkel khas bersama semua pihak terbabit seperti pemain industri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Satu bengkel khusus tentang masalah kenaikan harga rumah pada Julai ini bakal diselaraskan oleh setiausaha kementerian bagi mencari formula terbaharu.

"Mudah-mudahan dapat dibentuk formula baharu untuk mencari jalan mengawal kenaikan harga rumah yang mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kita akan umumkan hasil daripada bengkel itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Khidmat Bakti Masyarakat 2013 di Sekolah Kebangsaan Kuala Abai, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Matrang Suhaili dan Pengarah Kastam negeri, Datuk Janathan Kandok.

Menurut Abdul Rahman, bengkel yang dijadualkan selama seminggu itu akan mengambil kira pendapat dan cadangan pelbagai pihak untuk diteliti.

Jelasnya, dalam mencapai keputusan dalam bengkel itu, pihaknya bukan hanya akan mendengar pendapat daripada pembeli rumah tetapi pemain industri dan pemaju perumahan.

"Kita akan mengambil pertimbangan yang betul supaya nilai harta pembeli rumah tidak terjejas. Selain itu, turut menawarkan harga munasabah kepada golongan pembeli rumah kali pertama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan bahawa pemilikan hartanah oleh warga asing menjadi faktor utama kenaikan harga rumah di negara ini adalah tidak benar dan hanya persepsi semata-mata.

Katanya, berdasarkan statistik, hanya 5.5 peratus hartanah di negara ini dimiliki oleh warga asing yang lebih tertumpu di kawasan tertentu seperti Johor Bahru yang terletak berhampiran negara jiran. - UTUSAN 
Bilionair Perancis serah dua arca bersejarah China

 * RUPA bentuk arca gangsa yang dirampas semasa Perang Candu kedua di China pada tahun 1860.
BEIJING, SABTU, M29 Jun, 2013: Seorang bilionair di Perancis, Francois-Henri Pinault menyerahkan semula dua buah arca tembaga yang dirampas daripada Istana Musim Panas Beijing ketika Perang Candu kedua pada tahun 1860, kelmarin.

Dua buah arca berbentuk kepala haiwan berusia 150 tahun itu pernah menimbulkan kontroversi pada 2009 apabila ia dilelong oleh firma lelongan Christie oleh Pierre Berge.

Pierre Berge merupakan rakan kongsi kepada pereka fesyen terkenal Perancis, mendiang Yves Saint Laurent yang meninggal dunia pada tahun 2008.

Sebelum itu, arca berupa kepala arnab dan tikus tersebut adalah milik Yves Saint Laurent.

Seorang wakil daripada China pada awalnya telah mendahului bidaan dengan tawaran harga AS$18.2 juta (RM57.5 juta) untuk setiap satu arca tersebut.

Bagaimanapun dia kemudian enggan membayarnya atas alasan artifak itu adalah sebahagian daripada warisan negara dan telah dibawa keluar secara haram.

Pinault mendedahkan bahawa dia telah memiliki dua arca tembaga daripada Berge dan akan menyerahkannya kembali kepada China. Bilionair itu berbuat demikian pada Jumaat lalu pada satu majlis yang berlangsung di Muzium Nasional China dekat Dataran Tiananmen, China. - AFP/KOSMO!
Pengabdian suci perajurit muda

TELOK KEMANG, SABTU, 29 Jun, 2013: Perajurit muda diingatkan bahawa pemilihan mereka dalam perkhidmatan ketenteraan merupakan satu pengabdian suci kepada negara, bangsa dan agama.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor berkata, berikutan itu, perajurit perlu faham bahawa penglibatan mereka juga memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan tanggungjawab jitu.

''Bertunjangkan itu, saya mahu perajurit muda menjadi modal insan yang mantap dari segi fizikal, mental, spiritual dan intelektual, sekali gus pewaris generasi akan datang," katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata demikian dalam ucapan sempena perbarisan tamat latihan perajurit muda lelaki dan wanita di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson hari ini.

Kata beliau lagi, menjadi harapan pasukan ini untuk menjadikan perajurit muda sebagai warga tentera darat yang berkualiti.

''Secara tidak langsung, ini membolehkan perajurit muda berfungsi sebagai unit kecil yang menyumbang kepada memartabatkan profesion tentera yang sentiasa diyakini rakyat," tegas beliau lagi.

Kata Raja Mohamed Affandi, oleh kerana Pusasda merupakan tempat lahirnya pahlawan, maka hendaklah latihan perajurit muda ini dijadikan asas membentuk dan menerapkan sifat ketenteraan, disiplin serta bersemangat tinggi dalam kalangan mereka.

''Saya mengingatkan semua perajurit agar sentiasa menjaga nama baik pasukan tentera darat dengan mempamerkan tahap profesionalisme dan akhlak yang tinggi serta meletakkan kepentingan perkhidmatan mengatasi kepentingan sendiri," tegas beliau.

Pada masa sama, beliau mengingatkan perajurit supaya menjunjung tinggi sumpah Ikrar Kesatriaan, di samping meningkatkan nilai spiritual dan pegangan agama.

''Saya meletakkan harapan tinggi kepada warga baharu tentera darat ini agar terlatih dan serba boleh dalam melaksanakan misi dalam pelbagai persekitaran," ujar beliau.

Pada majlis tamat latihan itu, sebanyak 1,770 perajurit muda yang terdiri daripada 1,584 lelaki dan 286 wanita berjaya menamatkan latihan selama beberapa bulan di sini. - UTUSAN
Malaysia rugi RM1.9b setahun

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KOTA BELUD, SABTU, 29 Jun, 2013: Aktiviti penyeludupan rokok yang berleluasa di negara ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM1.9 bilion setahun daripada hasil cukai rokok yang gagal dikutip.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Matrang Suhaili berkata, penyeludupan rokok di negara ini amat kritikal di mana 36 peratus daripada rokok yang dijual di pasaran adalah rokok seludup.

"Di Sabah sahaja peratusan rokok kontraban (seludup) adalah lebih tinggi iaitu 81 peratus. Ini bermakna daripada 10 peket rokok yang dijual di pasaran Sabah, lapan daripadanya merupakan rokok seludup," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat 2013 di Sekolah Kebangsaan Kuala Abai hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pengarah Kastam negeri, Datuk Janathan Kandok.

Menurut Matrang, setiap tahun Kastam secara purata menyumbangkan kira-kira RM32.3 bilion kutipan hasil kepada kerajaan.

Daripada jumlah itu katanya, Kastam mengutip sebanyak RM3.5 bilion cukai ke atas rokok yang menyaksikan 11 peratus kepada kutipan hasil kastam setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Kastam sentiasa mengambil tindakan serius dan agresif bagi menangani gejala penyeludupan rokok di seluruh negara.

Katanya, kebanyakan penyeludupan rokok masuk melalui perairan dan sempadan negara seperti sempadan Johor-Singapura dan Malaysia-Thailand.

"Selain itu ada juga rokok yang diseludup masuk melalui pelabuhan yang didaftarkan dengan barangan lain.

"Masalah yang kita hadapi, kita tidak dapat memeriksa semua kontena yang masuk. Setiap hari di Pelabuhan Klang sahaja, sebanyak 6,000 kontena melalui pelabuhan itu, belum lagi di lain-lain pelabuhan," katanya.

Beliau berharap masyarakat akan terus memberi kerjasama kepada kastam bagi membanteras aktiviti penyeludupan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak kastam. - UTUSAN 
Shisha boleh dikategorikan haram

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF

 * PELANGGAN di sebuah kedai makan di Kangar, Perlis, malam tadi asyik menghisap shisha walaupun Majlis Fatwa negeri itu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.
KUANTAN, SABTU, 29 Jun, 2013: Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, shisha boleh dikategorikan sebagai haram kerana mendatangkan kemudaratan kepada individu sama seperti rokok dan cerut.

Walau bagaimanapun selari dengan langkah diambil oleh Perlis beliau berkata, keputusan sama ada mengharamkan shisha atau tidak akan dibincangkan secara khusus kelak.

“Satu mesyuarat akan diadakan untuk membincangkan hal tersebut. Namun menghisap shisha adalah haram kerana turut memberi kesan kepada pengguna," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Beberapa bandar telah mengharamkan shisha iaitu Jeddah, Riyadh, Kaherah di Arab Saudi, Islamabad, Sind dan Lahore di Pakistan, Khartoum dan Rumbek di Sudan, Amman di Jordan dan semua tempat awam di Turki dan Kazakhstan.

Abdul Rahman berkata, dalam isu rokok, pihaknya telah mengeluarkan fatwa haram tetapi belum digazetkan ketika ini.

“Begitu juga dengan shisha. Apabila diputuskan haram dan digazetkan, terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut dalam melaksanakan penguatkuasaan itu nanti," katanya.

Sementara itu di PERAK, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri akan menimbang kemungkinan untuk mengikut jejak Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

Menurutnya, selain mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan, pihaknya akan meminta pandangan Jawatankuasa Fatwa negeri yang dipengerusikan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

‘‘Keputusan mengharamkan aktiviti menghisap dan menjual shisha akan diteliti terlebih dahulu dengan mengambil kira pendirian kita mengikut dua aspek iaitu agama dan kesihatan.

‘‘Selain mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan, saya juga akan minta mufti (Harussani) mengeluarkan pandangan," katanya yang turut memegang portfolio hal ehwal agama Islam negeri.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit yang disempurnakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini hari ini. - UTUSAN 
Majlis Fatwa Kebangsaan kaji secara menyeluruh kesan hisap shisha

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013; Kajian Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung kesan menghisap shisha dijalankan secara menyeluruh dengan melibatkan pandangan pakar kesihatan.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, kajian itu turut mengambil kira hukum menghisap shisha yang diguna pakai di negara-negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Mesir.

Menurut beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan akan membuat keputusan selepas kajian yang kini pada peringkat akhir itu selesai.

"Langkah seterusnya bergantung kepada jawatankuasa fatwa negeri untuk mengambil kira pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan jika bersesuaian.

"Dalam hal ini, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya boleh mengeluarkan pandangan, namun tindakan penguatkuasaan terletak di bawah pihak berkuasa negeri," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Shukor mengulas keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Selain Perlis, langkah pengharaman itu turut dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor memberitahu, secara dasarnya, Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan, ekonomi dan alam sekitar.

"Kita mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis itu dan percaya dibuat dengan berpandukan kajian saintifik," ujarnya. - UTUSAN