My Add

Wednesday 31 July 2013

Kaki melecur petrol meriam meletup

* MOHD Daniel menunjukkan kakinya yang melecur di Hospital Parit Buntar, semalam.
PARIT BUNTAR, RABU, 31 Julai, 2013: Seorang kanak-kanak melecur kaki kiri hingga terpaksa dibuang kulit akibat disambar api ketika bermain meriam buatan sendiri di Parit Abas, Kuala Kurau, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Rabu lalu, Mohd Daniel Azhad Akhyar, 10, bermain meriam dibuat daripada tin bersama beberapa rakan selepas solat tarawih.

“Saya tawarkan diri untuk meletupkan meriam. Saya pegang buluh pencucuh dan dekatkan dengan lubang tapi meriam tak meletup sebab api pencucuh terpadam.

“Saya tak perasan masih ada bara di buluh, saya rendamkan dalam bekas berisi petrol dekat tempat saya berdiri.

“Tiba-tiba bekas berisi petrol itu meletup dan api menyambar kaki kiri saya. Saya berguling atas tanah sambil mengerang kesakitan manakala rakan saya cuba memadamkannya dengan kain basah,” katanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar, semalam.

Sementara itu, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, beliau sibuk membuat kuih bersama ibunya sebelum dikejutkan panggilan seseorang dan disusuli suara kanak-kanak meraung kesakitan.
“Saya terkejut melihat adik berlumuran darah dipapah orang kampung. Saya menelefon ayah yang berada di surau berhampiran sebelum kami sekeluarga menghantar adik ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, doktor mengesahkan kulit kaki Daniel terpaksa dibuang dan adiknya itu mungkin menyambut Aidilfitri di hospital kerana luka dialami serius. - BH
Juruteknik maut, kereta rempuh pokok di LPT

KUANTAN, RABU, 31 Julai, 2013: Seorang juruteknik maut selepas kereta yang dipandunya merempuh pokok di Km 193.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Sri Jaya semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, nahas berlaku pukul 2.30 petang ketika Mohammad Amiruddin Mat Lazim, 24 dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Mangsa yang berasal dari Paka, Terengganu mati di tempat kejadian akibat parah di dada dan kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, kereta mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok di situ.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA 
Bekas banduan dicekup kes pecah rumah di Melaka

MELAKA, RABU, 31 Julai, 2013: Seorang bekas banduan yang dibebaskan kira-kira sembilan bulan lepas dicekup polis bersama pelbagai barangan serta wang tunai dalam bentuk gubahan hantaran perkahwinan berju, mlah RM500 dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan polis di tepi jalan berhampiran rumahnya di Malim di sini, Isnin lepas kira-kira dua jam setengah selepas dipercayai memecah masuk rumah seorang jurutera di Tengkera di sini.

Beliau berkata, sebelum itu, suspek juga dipercayai memecah masuk rumah mangsa berusia 30-an pada 10 pagi dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk telefon bimbit, jam tangan dan kamera bernilai kira-kira RM5,000.

Katanya, hasil tangkapan itu, polis kemudian menemui pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah termasuk enam telefon bimbit, tiga jam mewah, dua komputer riba dan dua radio selain gubahan wang tunai itu yang keseluruhannya dianggar bernilai RM30,000.

"Polis percaya dengan tangkapan ini, kita telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di sekitar daerah Melaka Tengah," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, suspek yang dibebaskan pada Oktober tahun lepas setelah menjalani hukuman penjara selama satu setengah tahun atas kesalahan pecah rumah itu turut dikehendaki IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung kes penipuan.

Bekas banduan itu ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan, katanya. - BERNAMA 
Warga Thai antara 7 ditahan di premis judi

GEORGE TOWN, RABU, 31 Julai, 2013: Warga Thailand antara tujuh lelaki yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis perjudian tidak berlesen di Teluk Kumbar, Bayan Lepas semalam.

Dalam serbuan 3.30 petang itu polis turut menyita 14 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dan wang tunai RM300.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, intipan pihak polis mendapati selain dilengkapi kamera litar tertutup, penjaga premis juga hanya membenarkan pelanggan biasa masuk ke kedai.

Daripada tujuh yang ditahan itu, enam adalah pelanggan dan seorang lagi penjaga premis berusia 21 tahun, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, pemilik premis boleh didakwa mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala pemain judi pula ditahan mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA 
Aidilfitri: ATM tingkat aset di pantai timur Sabah

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui Ops Sanggah, akan meningkatkan aset di perairan pantai timur Sabah menjelang sambutan Aidilfitri kali ini untuk menghadapi sebarang ancaman di musim perayaan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, ia akan menyaksikan penambahan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Di lautan banyak melibatkan kapal dan aktiviti maritim, jadi kita perlu bersiap sedia dalam menghadapi sebarang situasi," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian bahawa pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pesawat peronda maritim sememangnya membuat tinjauan bagi memastikan keselamatan perairan negara terjamin.

Zulkifeli turut mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa tempoh tiga minggu yang diberi kepada penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah untuk keluar dari negara ini sebagai satu 'kesilapan'.

Beliau berkata: "Kita guna waktu itu untuk buat kajian kerana kita tahu di pantai timur Sabah ramai yang berketurunan Sulu...kita buat kajian sikap, bagaimana pandangan mereka, masa rundingan berlaku, kita guna untuk bercakap dengan rakyat Malaysia berketurunan Sulu.

"Yang jelasnya mereka sesekali tidak pernah dan tak setuju terhadap pencerobohan ini dan sentiasa menyokong 100 peratus tindakan kerajaan." Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang turut serta pada sidang akhbar itu berkata, isu risikan yang lemah dan dakwaan kesilapan tiga minggu berkenaan tidak wujud.

"Itu cara kita, pendekatan kita, budaya kita selesaikan masalah. Kita tengok peristiwa Memali dan Sauk, semuanya akan bermula dengan rundingan dan perbincangan.

"Kita tak mahu lebih banyak pertumpahan darah dan kerosakan harta benda berlaku. Jika rundingan itu gagal, barulah kita ambil tindakan," tegasnya.

Insiden pencerobohan bersenjata pengganas mulai 12 Feb lalu itu mengorbankan 10 anggota keselamatan negara. - BERNAMA 
5 usul MBM martabatkan pembangunan belia

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mengesyorkan lima usul kepada kerajaan dalam usaha memartabatkan pembangunan belia berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020.

Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, cadangan itu dibuat bersama dengan Persekutuan Pusat-pusat Bertauliah Malaysia (Femac), Gabungan Kerjasama Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera dan Konsortium Penyedia Latihan Kemahiran Bumiputera Sabah.

Beliau yang mengemukakan usul itu pada sidang media di sini, bertujuan menggesa kerajaan memberi perhatian serius mengenai isu pekerja mahir terlatih dalam Belanjawan 2014 dan syor terbabit ialah:

* Menyusun semula pelan pembangunan latihan kemahiran dan melaksanakan segera langkah strategik melibatkan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) bermula tahun hadapan hingga 2020.

* Menggerakkan inisiatif 'Private-Public Partnership' (3P) antara ILKA dan ILKS serta pihak industri untuk menggandakan pengambilan pelatih kemahiran.

Namun pada masa yang sama turut menyediakan Indeks Prestasi Utama (KPI) supaya semua graduan mendapat akses pekerjaan dan pendapatan yang baik di peringkat 'post' latihan.

* Meningkatkan saiz dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) daripada RM300 juta setahun pada masa ini kepada RM1 bilion setahun bermula tahun depan dalam Belanjawan 2014 untuk menyediakan peluang latihan kepada kira-kira 100,000 pelatih baharu di ILKS dan sebahagian peminjam di ILKA.

* Meningkatkan fungsi dana dan inisiatif berkaitan seperti Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) dan lain-lain untuk menampung keperluan sasaran 300,000 pemegang sijil kemahiran setahun seterusnya mencapai sasaran 1.3 juta pekerja mahir terlatih menjelang 2020.

* Menyediakan insentif khas seperti pengurangan atau diskaun cukai kepada pihak swasta yang memberi komitmen tinggi terhadap latihan kemahiran dalam Belanjawan 2014.

"Memandangkan belia adalah enjin pembangunan ekonomi serta penentu landskap politik dan sosial negara pada masa depan, MBM memohon kerajaan untuk memberi perhatian serius terhadap syor-syor ini untuk dilaksanakan dalam Bajet 2014," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Maliki berkata, pada masa ini kira-kira 70 perastus daripada 12 juta pekerja di negara ini adalah pekerja tidak mahir.

"Daripada 1.2 juta pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia, sehingga Mei 2013 hampir 80 peratus adalah pemegang Sijil Tahap 1 dan 2 yang dikategorikan berkemahiran rendah dengan pendapatan bawah RM2,000 dalam tempoh lima tahun selepas tamat latihan," katanya.

Beliau berkata, situasi itu menunjukkan kekurangan bilangan pekerja mahir berada pada tahap serius ketika ini.

Mohamed Maliki berkata, kerajaan merancang untuk menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan sasaran 40 peratus daripada jumlah itu adalah dalam sektor teknikal dan vokasional, dalam usaha mengejar status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.

"Dalam tempoh enam tahun akan datang kerajaan sepatutnya menyediakan 300,000 pekerja mahir terlatih setiap tahun hingga 2020," katanya. - BERNAMA 
BiotechCorp sasar labur RM3 bilion 2013

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) mengunjurkan dapat mengumpul pelaburan bernilai RM3 bilion dalam sektor bioteknologi tempatan menjelang akhir tahun, melepasi sasaran asal sebanyak RM1.7 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal berkata, setakat ini hampir RM2 bilion pelaburan sudah diperoleh daripada pelabur asing dan tempatan.

"Kami berharap dapat membuat pengumuman mengenai beberapa pelaburan masuk pada persidangan dan pameran BioMalaysia dan BioEconomy Asia Pasifik 2013 dari 21 hingga 23 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru," katanya pada sidang media mengenai acara itu di sini hari ini.

Mohd. Nazlee berkata, sebahagian besar pelabur berpotensi itu dari Amerika Syarikat, Jepun dan Perancis.

"Pasaran bioteknologi global dijangka mencecah AS$321 bilion menjelang 2015 dengan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 7.42 peratus, dengan pasaran Asia Pasifik semakin mengatasi Amerika Syarikat dan Eropah pada 10.88 peratus CAGR setahun.

"Ini baik untuk rantau ini, terutama Malaysia, memandangkan kita merupakan hab bioteknologi yang paling kompetitif di rantau ini," katanya.

BiotechCorp akan memberi tumpuan terhadap usaha mengembangkan perniagaan peserta tempatan ke luar negara, dan setakat ini empat daripada 224 syarikat BioNexus sudah di senarai, katanya.

"Ada yang di senarai di bursa tempatan, Bursa Saham London dan Bursa Saham Australia.

"Kami sedang dalam proses menyenaraikan dua lagi syarikat tahun depan. Kali ini besar kemungkinan ia membabitkan dua penyenaraian," katanya.

Acara BioMalaysia dan BioEconomy, anjuran bersama BiotechCorp, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Protemp Exhibitions Sdn. Bhd., meliputi pembentangan, pelancaran produk baharu, demonstrasi produk serta sesi pertemuan perniagaan. - BERNAMA 
Penduduk Borneo perlu berperanan lindungi beruang madu

SANDAKAN, RABU, 31 Julai, 2013: Melindungi habitat bagi hidupan liar yang tergolong sebagai antara haiwan paling ikonik di dunia serta membantu perjalanan pusat perlindungan haiwan terancam, bukan menjadi tanggungjawab kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penyelidik semata-mata, tetapi juga orang ramai.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC), Wong Siew Te berkata, oleh kerana manusia dan hidupan liar menjadi sebahagian daripada ekosistem, maka penduduk setempat juga perlu bersedia menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan spesies terancam.

Merujuk kepada acara 'Big Dreams, Little Bears' yang diadakan di sini baru-baru ini, Wong berkata melalui kerjasama dengan sukarelawan tempatan, BSBCC berjaya mengumpul sumbangan RM443,000, hampir seperempat daripada anggaran RM2 juta yang diperlukannya pada tahun ini untuk menyiapkan pembinaan kandang kedua untuk Beruang Madu, penyediaan kawasan hutan tambahan dan sebagai kos operasi harian pusat berkenaan.

"Saya harap penduduk Sandakan menganggap pusat ini sebagai milik mereka juga kerana hasil penglibatan mereka secara langsung atau tidak langsung, membolehkan pusat ini wujud seperti yang ada sekarang dan akan terus maju pada masa akan datang.

"Apabila dibuka kepada orang ramai menjelang awal tahun depan, pusat ini akan menjadi satu lagi daya tarikan eko dan alam semula jadi bagi membolehkan Sandakan memainkan peranannya di peringkat sejagat dalam mempromosi usaha pemuliharaan. Ia juga akan meningkatkan kesedaran semua pihak tentang nasib hidupan liar serta merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui usaha niaga berkaitan pelancongan dan limpahan manfaaat daripadanya.

"Kami harap dapat terus menggalakkan masyarakat tempatan, terutama peniaga, untul menyumbang ke arah pemuliharaan Beruang Madu. Mereka boleh menjadi tenaga penggerak dalam membentuk pendapat orang ramai berhubung spesies itu dan usaha pemuliharaanya," kata Siew Te dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk tempatan sepatutnya berbangga kerana pusat itu terletak di kawasan mereka dan menambah bahawa acara mengumpul derma itu memberi kesedaran kepada banyak pihak apabila ia diberi liputan meluas oleh media, termasuk dalam program bual bicara melalui NTV7 dan temu bual melalui radio.

Siew Te mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan anggota jawatankuasa acara kutipan derma itu kerana sanggup berkorban masa dan tenaga kerana sayangkan Beruang Madu.

"Kami dapati penduduk Sandakan dan kawasan lain di Sabah menyokong usaha ini apabila mereka sanggup membeli tiket bagi acara berkenaan. Ada yang berebut-rebut menyaingi satu sama lain untuk membeli tiga foto Beruang Madu yang dilelong," katanya.

BSBCC melaksanakan usaha pemuliharaan haian berkenaan melalui pendekatan holistik yang melibatkan usaha kebajikan, pemulihan, penyelidikan dan pendidikan hingga menjadikannya satu-satunya pusat pemuliharaan Beruang Madu sepertinya di dunia.

Pusat itu ditubuhkan pada 2008 hasil kerjasama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan pertubuhan bukan kerajaan Land Empowerment Animals People (LEAP). Kini, pusat itu menempatkan 28 Beruang Madu yang diselamatkan daripada hutan dan kedai jualan haiwan.

Terletak bersebelahan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, pusat berkenaan memberi penjagaan kepada Beruang Madu yang kehilangan ibu bapa dan diselamatkan daripada kurungan, sebelum dilepaskan kembali ke hutan, manakala yang tidak mampu menjalani kehidupan secara liar pula, disediakan persekitaran lebih baik untuk mereka habiskan sisa usia.

Kehilangan habitat, diburu untuk memenuhi permintaan dalam perniagaan perubatan tradisional dan untuk dijadikan haiwan peliharaan merupakan antara punca utama jumlah beruang madu merosot sekurang-kurangnya 30 peratus sejak tiga dekad lepas.

Pengerusi acara kutipan derma itu Anton Ngui berkata Beruang Madu adalah antara warisan semula jadi Sabah yang terkenal di seluruh dunia.

"Kita patut berbangga dengan Beruang Madu kita, seperti rakyat China berbangga dengan panda mereka dan rakyat Australia dengan Beruang Koala mereka. - BERNAMA 
Polis tahan 2 lelaki, rampas pistol, 8 peluru

Oleh AZRAI MOHAMMAD

PETALING JAYA, RABU, 31 Julai, 2013: Polis merampas sepucuk pistol daripada dua lelaki yang ditahan di tepi jalan Sungai Buloh-Subang di Kota Damansara di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, anggota polis yang meronda di kawasan tersebut terserempak dengan kedua-dua suspek menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan lalu menahan mereka untuk diperiksa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, ketika diperiksa, kedua-dua lelaki berusia 28 tahun itu cuba meloloskan diri sehingga berlaku pergelutan namun mereka berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui sepucuk pistol semi auto .9 mm beserta tujuh butir peluru dalam sebuah beg yang dibawa oleh pembonceng motosikal itu.

"Turut ditemukan adalah lapan peket dadah yang mengandungi 80 biji pil Eramin 5," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
8,000 perajurit terima Pingat Kedaulatan Negara

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Hampir 8,000 perajurit yang terlibat dengan Ops Daulat pada Februari lalu bakal menerima pingat khas, Pingat Kedaulatan Negara (PKN) secara berperingkat-peringkat mulai hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, pingat berkenaan akan dianugerahkan oleh panglima mengikut cawangan perkhidmatan masing-masing.

"Ini merupakan pingat khas sebagai pengiktirafan kerajaan kepada perajurit negara yang telah menyumbang bakti mempertahankan kedaulatan Malaysia semasa pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu," katanya selepas majlis penganugerahan PKN di Panggung Bandaraya, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Seramai 20 perajurit negara yang terlibat dengan Ops Daulat menjadi penerima awal PKN sempena Hari Pahlawan hari ini.

Terdahulu, turut diadakan perbarisan sempena Hari Pahlawan di Dataran Merdeka bagi mengenang jasa mereka yang terkorban di Lahad Datu. - UTUSAN ONLINE 
Jenayah: PM arah polis kembalikan keamanan, keyakinan rakyat

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Perdana Menteri mengarahkan pasukan polis supaya mengembalikan semula ketenteraman awam dan keyakinan rakyat berhubung soal keselamatan dalam negara dengan jangan membenarkan jenayah berat berterusan.

Dalam status terbaru akaun Facebook beliau hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata:

"Kita tidak boleh benarkan situasi dengan jenayah berat ini berterusan. Tindakan serta-merta perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk mengembalikan semula keamanan dan keyakinan rakyat.

"Ia terpulanglah kepada pihak polis untuk mengemukakan kepada kerajaan apa keperluan mereka, dan kita akan berikan apa mereka perlu untuk meningkatkan keberkesanan pasukan dalam menangani jenayah berat." - UTUSAN ONLINE 
RM1.72 bilion biaya bantuan rumah sejak 2001

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Kerajaan menyalurkan RM1.72 bilion untuk membiayai Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara sejak 2000 hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, antara lain usaha itu menyaksikan 193,534 unit rumah dibaik pulih untuk golongan miskin dan miskin tegar.

"Ia sebahagian daripada misi kerajaan membasmi kadar kemiskinan negara di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)," katanya menjawab soalan Senator Datuk Pau Chiong Ung pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Pau bertanya sama ada kementerian berhasrat meluaskan skop pendaftaran eKasih bagi kakitangan kerajaan kontrak yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan dan jumlah kewangan yang dibelanjakan sejak program PBR dilancarkan.

Alexander berkata, permohonan mendapatkan PBR bagi yang layak boleh dikemukakan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Pejabat Daerah berkaitan.

Mengenai pendaftaran e-Kasih, beliau berkata, ia terbuka kepada semua ketua isi rumah (KIR) yang layak tanpa mengira status pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau persendirian.

"Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui pegawai daerah, JKKK, wakil rakyat atau ketua kaum masing-masing," katanya.

eKasih merupakan bank data kemiskinan nasional yang mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula daripada profil individu hinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program dan bantuan yang diterima. - BERNAMA 
PM pilih baju rasmi sambutan Hari Kemerdekaan

PUTRAJAYA, RABU, 31 Julai, 2013: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara bulan depan, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan sedikit masanya di pejabat hari ini, untuk memilih baju rasmi yang bakal dipakai anggota Kabinetnya pada 31 Ogos.

Daripada lima rekaan baju yang ditampilkan, Perdana Menteri memilih rekaan berwarna biru gelap yang akan dipakai menteri-menteri pada hari sambutan dan perbarisan kemerdekaan nanti.

Selepas memutuskan pilihannya, beliau meneruskan tugas rasmi, mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Mahmood berkata, tema baju sambutan kemerdekaan ke-56 ini lebih menyerlahkan aspek warna asas pakaian seragam, agak berbeza daripada tahun lepas yang lebih berwarna-warni.

"Bersesuaian dengan tema 'Malaysia Tanah Airku, Tumpahnya Darahku', rekaan baju rasmi bagi sambutan kemerdekaan kali ini lebih bersifat kemerdekaan, kedaulatan dan keperwiraan," kata beliau kepada Bernama.

Rekaan kali ini berkonsepkan uniform bagi simbolik sokongan kepada pasukan keselamatan negara, kata Othman yang juga pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan. - BERNAMA 
Kematian pertama denggi berdarah di Kelantan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, RABU, 31 Julai, 2013: Demam denggi berdarah di Kelantan telah meragut satu nyawa, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman wabak penyakit itu yang semakin meningkat di negeri ini.

Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 48 tahun dari Pasir Mas yang dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pertengahan bulan ini.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan berkata, dua buah kampung di daerah ini telah diisytiharkan dilanda wabak iaitu Panchor dan Taman Seri Rambai berhampiran pusat bandar Kota Bharu.

Katanya, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 772 kes demam denggi direkodkan berbanding 682 kes tempoh sama tahun lalu dan secara keseluruhannya sebanyak 1,245 kes dicatatkan tahun lalu dengan jangkaan ia meningkat kepada lebih 1,400 kes.

"Peningkatan jumlah kes ini amat merisaukan namun kematian akibat denggi berdarah lebih merisaukan, justeru saya menasihatkan orang ramai segera ke hospital sekiranya menghidap simptom denggi.

"Jabatan kecemasan tidak akan menolak sebarang kes yang disyaki denggi begitu juga di setiap Klinik 1Malaysia seorang doktor telah ditempatkan di situ sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa HRPZ II Bersama Pelanggan di pekarangan kediaman kakitangan HRPZII di sini semalam. - UTUSAN ONLINE 
Parlimen K. Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam kekal milik BN

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sepang kekal setelah Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Jun lepas.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu setelah mendapati pempetisyen tidak menyatakan fakta yang jelas dan mencukupi dalam permohonan mereka.

Katanya, pempetisyen mengemukakan fakta yang terlalu umum seperti dakwaan catatan pada kertas undi yang ditolak tetapi bagaimana ia berlaku, tidak dinyatakan.

Berikutan keputusan itu, Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam terus kekal di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) manakala Sepang milik Pas.

Petisyen bagi Parlimen Kuala Selangor difailkan oleh pengundi Muhammad Rashid Muhammad Kasim, Parlimen Sungai Besar oleh Mat Ismail Nasir (pengundi) dan Dr. Abdul Aziz Bari (calon) bagi Parlimen Sabak Bernam.

Bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam, Hakim Zaleha memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM20,000 kepada calon yang bertanding iaitu Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala Selangor), Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Beliau juga memerintahkan tiga pempetisyen tersebut membayar kos RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bagi Parlimen Sepang, Latif Wagiman (pengundi) diperintah membayar RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR serta RM20,000 kepada Mohamed Hanipa Maidin (calon).

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Zaleha membenarkan bantahan awal yang dikemukakan calon yang bertanding, Pegawai Pilihan Raya (RO) bagi empat kawasan Parlimen tersebut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada pilihan raya lalu, bagi Parlimen Kuala Selangor Irmohizam mengalahkan Dr Dzulkefli Ahmad (Pas) dengan majoriti 460 undi; Parlimen Sungai Besar Noriah (BN) mengalahkah Mohamed Salleh M Husin (Pas), majoriti 399; Parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah mengalahkan Abdul Aziz (PKR), majoriti 1,644 dan Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed (BN) kalah kepada Mohamed Hanipa (Pas) dengan majoriti 1,104. - BERNAMA 
Wujudkan Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan di Sabah

KOTA KINABALU, RABU, 31 Julai, 2013: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mewujudkan pejabat cawangan Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan di Sabah.

Timbalan Presidennya, Nailin Gabintal berkata, pewujudan pejabat cawangan jabatan itu wajar diberi pertimbangan bagi membantu meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam program pembangunan di negeri ini.

Selain itu, katanya, Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan boleh bertindak sebagai agensi sokongan kepada usaha yang kini dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

"Kita berpendapat dengan sokongan dana yang lebih besar dari Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan, program dan aktiviti wanita akan bertambah meningkat dan menjadi semakin mantap.

"Soal pertindihan bidang tugas tidak timbul kerana peranan kedua-dua jabatan itu saling bantu membantu. Misalnya, di Sabah kita ada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah (Persekutuan) dan pada masa yang sama kita ada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nailin berkata, cadangan Pekadin itu sejajar dengan program transformasi pembangunan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan menzahirkan transformasi yang holistik, termasuk pembangunan wanita.

Beliau berkata, usaha bersepadu antara Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan dan JHEWA kelak akan membantu merealisasikan wawasan negara itu dalam konteks pembangunan atau penglibatan wanita dalam arena pembangunan.

Nailin yakin penubuhan Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan akan memberi manfaat kepada kaum wanita di negeri ini, terutama dalam membantu menaja projek yang dikelolakan wanita dan persatuan wanita.

"Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan juga boleh membantu memperbanyakkan aktiviti yang menjurus kepada menaikkan ekonomi luar bandar, membantu membiayai kos perubatan penyakit kronik ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap selain memberi sokongan kewangan kepada usahawan wanita untuk mencapai tahap global," katanya.

Nailin berharap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun dapat membantu menjayakan penubuhan pejabat cawangan jabatan itu di Sabah. - BERNAMA 
Raja Muda Perlis mahu tindakan tegas penghina Islam

KANGAR, RABU, 31 Julai, 2013: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mereka yang sengaja melakukan penghinaan dan provokasi terhadap Islam.

Baginda bertitah, perbuatan itu merupakan pernyataan sinis yang melampau dan ia tidak boleh diterima oleh rakyat yang waras apatah lagi mereka yang berpendidikan terutama dalam konteks masyarakat majmuk.

"Janganlah siapa sekalipun bermain api. Jauhilah daripada berjudi dengan sentimen agama dan kaum demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara yang kita cintai ini," titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama warga Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) di Kompleks Budi Penyayang, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

Baginda mengingatkan bahawa walaupun Islam mengajar umatnya bertoleransi namun sikap Melayu-Islam perlu sentiasa kukuh.

"Sudah tiba masanya setiap umat Islam menjana transformasi dengan melakarkan perubahan, mewarnai persekitaran berpandukan agama Islam, bersendikan al-Quran dan al-Sunnah, berpaksikan kepada Rukun Islam dan berteraskan Rukun Iman," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, mutakhir ini berlaku banyak kekeliruan dan salah tafsir mengenai Islam dengan pelbagai label diberikan.

"Propaganda seperti ini jika dibenarkan berterusan mampu merosakkan nama dan kesucian Islam selain meracuni pemikiran sehingga klise sebegini mudah dianggap sebagai satu kebenaran," titah baginda lagi.

Baginda mengingatkan umat Islam supaya terus membela serta mempertahankan kesucian agama di samping mengukuhkan syiarnya demi kelangsungan tamadun.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Canselor AUCMS manakala yang hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. - BERNAMA 
Filem The New Village perlu ditentang tayangannya

SUNGAI PETANI, RABU, 31 Julai, 2013: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir sependapat dengan pelbagai pihak bahawa filem The New Village tidak wajar ditayangkan jika ia mengagung-agungkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Filem itu perlu disekat dan ditentang, sebaliknya filem seperti Tanda Putera, yang merupakan sejarah sebenar, patut dipertontonkan, katanya.

"Filem ini (Tanda Putera) perlu dihayati, khususnya dalam kalangan golongan muda, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang berjuang mempertahankan tanah air," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Kem Lapangan Terbang, dekat sini malam tadi.

Mengenai sambutan Hari Pahlawan hari ini, Mukhriz berharap agar rakyat mengenang dan menghargai pengorbanan serta khidmat bakti anggota keselamatan yang berperanan sebagai benteng pertahanan, menjaga keamanan serta kedaulatan tanah air.

"Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, menyedarkan kita bahawa keamanan yang dikecapi sejak sekian lama tidak boleh dipandang enteng, diambil mudah. Mujur kita mempunyai pasukan keselamatan yang cekap, bersemangat waja, sentiasa bersedia untuk berdepan dengan musuh tanpa rasa gentar dan sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir," katanya.

Beliau berkata, walaupun ada suara-suara sumbang yang memperlekeh perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu, baginya itu hanya suara golongan yang tidak tahu bersyukur dan tidak pandai berterima kasih.

"Rakyat amat terhutang budi dan menyanjungi jasa dan pengorbanan anggota tentera dan bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih atas khidmat wira-wira kita," katanya.

Mukhriz berkata, kemerdekaan negara, walaupun dikatakan dicapai tanpa pertumpahan darah, namun liku-liku perjuangan ke arah kebebasan dan mempertahankan kemerdekaan, menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

"Ketika rakyat tidur lena, anggota keselamatan bersengkang mata mempertaruhkan nyawa, tidak tahu bila bom akan meledak atau bila peluru akan menembusi dada, malamat mereka hanya untuk mempertahankan tanah air.

"Walaupun negara terhindar daripada peperangan, negara terbukti aman dan tenteram, namun peranan tentera tidak boleh dipandang ringan. Komitmen mereka perlu bukan sahaja untuk mengawasi sempadan negara atau menentang musuh dalam peperangan bahkan dalam menentukan negara selamat daripada anasir-anasir yang mengancam ketenteraman rakyat dan kestabilan negara," katanya.

Seramai 33 anak-anak yatim dan 37 balu, anggota hilang upaya dan warga emas bekas tentera adalah penerima sumbangan Aidilfitri itu. - BERNAMA 
Polis kenal pasti suspek tembak pengasas Ambank

Oleh ILAH HAFIZ ABD. AZIZ

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Polis telah mengenal pasti seorang suspek yang disyaki menembak mati pengasas bank Ambank, Hussain Ahmad Najadi, 75, di Jalan Ceylon di sini kelmarin.

Ketua Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek berkenaan dikenal pasti selepas polis menahan seorang pemandu teksi di sebuah kedai kopi di Seri Petaling.

"Pemandu teksi itu dipercayai menjadi individu yang membawa suspek selepas kejadian tembak itu di depan sebuah tokong di Jalan Ceylon," katanya. - UTUSAN ONLINE 
Maritim tingkat pencegahan penyeludupan senjata api

PASIR PUTEH, RABU, 31 Julai, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Timur akan meningkatkan pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara bagi mencegah penyeludupan senjata api.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama Datuk Nasir Adam berkata, langkah itu perlu berikutan peningkatan kes pembunuhan menggunakan senjata api dalam negara kebelakangan ini dan jenayah terbabit perlu ditangani dengan tegas.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada penemuan senjata api dalam kesemua bot dan vesel nelayan asing yang ditahan.

"Penguatkuasaan ini turut membabitkan risikan, pemeriksaan terhadap bot nelayan tempatan dan lain-lain pengangkutan air bagi menjamin kegiatan yang menyalahi undang-undang negara berjaya dibendung," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian bingkisan Hari Raya Aidilfitri kepada anak kapal Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, dekat sini semalam. - UTUSAN 
10 pelancong Singapura nyaris maut, bas terbalik

PAGOH, RABU, 31 Julai, 2013: Sebuah bas yang membawa 10 pelancong Singapura terbalik dan terseret sejauh kira-kira 15 meter selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 145.7, Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, kesemua pelancong tersebut terselamat tetapi mengalami kecederaan termasuk dua pemandunya, Zainal Abidin, 50-an, dan pemandu gantiannya, Mohd. Rusdi Ahmad, 28.

Kesemua penumpang warga negara asing berkenaan termasuk Zainal yang memandu bas itu dibawa dua buah ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk mendapat rawatan.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Beach Road, Singapura yang bertolak pukul 10 malam tadi dan dalam perjalanan ke Pulau Pinang dan sepatutnya tiba pukul 10 pagi ini untuk membawa pelancong berkenaan bercuti. - UTUSAN 
Lima maut selepas pulang beli baju raya

KULAIJAYA, RABU, 31 Julai - , 2013:jat enam sekawan untuk beraya tidak kesampaian apabila lima daripada mereka maut dalam satu kemalangan di Kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam ke arah Johor Bahru berhampiran Senai, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi tadi, kenderaan yang dinaiki dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok serta tiang lampu di tengah pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa dipercayai baru sahaja pulang daripada membeli-belah persiapan raya di Pandan, di sini, berdasarkan beberapa bungkusan plastik mengandungi pakaian baharu ditemui di lokasi kejadian.

"Mereka yang maut adalah pemandu dan empat penumpang lain, manakala seorang lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kulaijaya untuk mendapatkan rawatan.

"Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkefly, mangsa yang maut ialah pemandu, Mohd. Fadzli Mohd. Fakri, 20 dan empat penumpang iaitu Hairul Adham Hamidan, 26; Nazierul Khalies Mohd. Ashari, 19 serta Nor'ain Alias, 23; manakala maklumat mengenai seorang lagi mangsa belum diperoleh.

Katanya, mangsaa yang cedera parah ialah Nor Syarifah Hazwani Bardaidi, 21. - UTUSAN 
Sembilan bulan tempoh rundingan damai Israel-Palestin - Perunding

WASHINGTON, RABU, 31 Julai, 2013: Perunding Israeli dan Palestin hari ini meletakkan sasaran sembilan bulan untuk mencapai perjanjian perdamaian meskipun terdapat amaran wujudnya pelbagai halangan dan provokasi sepanjangan rundingan itu.

Kedua-dua pihak bertemu di Washington bersama dengan Seriausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, yang bertanggungjawab memulakan semula rundingan berkenaan yang tertangguh beberpa bulan bagi mengakhiri konflik berdekad itu.

“Saya memberi jaminan kepada anda bahawa rundingan ini meskipun kita tidak berhajat untuk bertelagah mengenai apa yang berlaku sebelum ini tetapi ia satu pilihan dan keputusan untuk masa depan," kata ketua perunding Israel, Tzipi Livni memberiahu rakan sejawatnya dari Palestin, Saeb Erakat.

Erakat yang bersetuju berkata, tiba masanya rakyat Palestin menikmati kemerdekaan di negara mereka yang berdaulat.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bertemu semula dalam tempoh dua minggu lagi di Israel atau Wilayah Palestin untuk berbincang lebih formal mengenai hala tuju dan rundingan kerjasama dua hala, kata Kerry.

“Objektif kita untuk memperoleh status muktamad perjanjian dalam masa sembilan bulan," katanya yang mengakhiri rundingan awal dua hari di Washington itu. - AFP/BH
Lapan cedera loji gas meletup di Florida

MIAMI, RABU, 31 Julai, 2013: Beberapa siri letupan berlaku di loji gas di tengah Florida, semalam menyebabkan lapan cedera dengan tiga daripadanya dilaporkan kritikal.

“Mereka yang cedera adalah pekerja di loji berkenaan," kata jurucakap Pejabat Sheriff Lake County, John Herrell.

Beliau berkata, letupan berlaku jam 10.30 malam apabila sekumpulan pekerja terdiri antara 24 hingga 26 orang berjalan untuk membuat pertukaran waktu bekerja.

Letupan itu menyebabkan kebakaran besar di loji Blue Rhino dan berjaya dipadamkan awal hari ini.

Terdapat satu kebocoran gas berlaku di sebuah tangki simpanan besar namun ia tidak mendatangkan risiko kepada Bandar Tavares yang berdekatan.

Ketua Jabatan Bomba Tavares, Richard Keith, menolak kemungkina kejadian itu disebabkan sabotaj sebaliknya dipercayai berpunca daripada kerosakan peralatan. - AFP/BH
10 maut pertempuran di sempadan Pakistan-Afghanistan
 
PESHAWAR, RABU, 31 Julai, 2013:: Sekurang-kurangnya 10 maut dalam pertempuran antara pihak keselamatan Pakistan dengan militan Islam, di sempadan Pakistan- Afghanistan, awal hari ini.

Laporan menyebut berpuluh penyerang bersenjata menyerang pos pemeriksaan di Wilayah Khyber dengan lapan militan dan dua askar terbunuh ketika berbalas tembakan.

“Serangan berlaku di pos tentera berdekatan Sungai Bara. Pasukan tentera bagaimanapun berjaya menyerang balas," kata seorang pegawai. - AFP/BH
10 maut banjir dan tanah runtuh di Ambon

JAKARTA, RABU, 31 Julai, 2013: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan empat lagi masih hilang ketika bencana banjir dan tanah runtuh melanda bandar Ambon di timur Indonesia, semalam.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Nugroho berkata, banjir berikutan hujan lebat sejak kelmarin menjejaskan 12 buah kampung di ibu negeri wilayah Maluku.

Tambahnya, lebih daripada 4,300 penduduk telah dipindahkan manakala 28 lagi cedera. - DPA/UTUSAN 
Ahli politik Syria maut letupan bom kereta

DIYARBAKIR, Turki, RABU, 31 Julai, 2013: Seorang ahli politik terkemuka Kurdish Syria maut, selepas sebutir bom yang diletakkan di dalam keretanya meletup di luar rumahnya berhampiran sempadan Turki, semalam.

Ketika kejadian, Isa Huso, seorang anggota jawatankuasa perhubungan luar di Majlis Tertinggi Kurdish, sebuah kumpulan yang dibentuk bagi menyatukan parti-parti Kurdish Syria baharu sahaja keluar daripada kediamannya di bandar Al Qamishli sebelum bom itu meletup.

Menurut aktivis Kurdish, Massoud Akko, Huso dalam lingkungan 50-an merupakan seorang yang sederhana dan pernah dipenjarakan beberapa kali kerana berkempen untuk hak asasi manusia. - REUTERS/UTUSAN 
India tambah negeri baharu

NEW DELHI, RABU, 31 Julai, 2013: Parti Kongres Kebangsaan India dan parti komponen kerajaan semalam menyokong pembentukan negeri Telangana yang dibentuk dari daerah-daerah Andhra Pradesh di selatan negara ini.

Stesen penyiar NDTV melaporkan, negeri yang bakal dibentuk itu akan merangkumi 10 daerah di Andhra Pradesh yang kebanyakannya dihuni penduduk yang menggunakan dialek Telugu.

Hyderabad akan terus menjadi ibu negeri bagi kedua negeri untuk lima tahun sehingga pengwujudan sebuah ibu negeri baharu Andhra Pradesh. - DPA/UTUSAN 
Kerajaan tidak berkompromi

 
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Kerajaan memberi jaminan tidak akan berkompromi dalam soal mempertahankan kedaulatan negara sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ditandatangani.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan spekulasi TPPA akan mengakibatkan kedaulatan negara terjejas.

"Kita sudah pasti tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan negara walaupun terdapat peruntukan berhubung mekanisme pertikaian antara pelabur dan kerajaan," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau, Malaysia dan negara-negara lain yang terlibat dalam proses rundingan TPPA akan menentang keras peruntukan berhubung harga ubat dan beras sekiranya ia didapati merugikan pengguna.

Menurut Mustapa, setiap perkara yang terkandung di dalam TPPA hendaklah diputuskan melalui persetujuan bersama negara-negara yang terbabit.

"Dalam sesuatu rundingan, sekiranya tidak setuju maka tidak berjalanlah. Mesti ada persetujuan bersama," ujarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya kerajaan telah menandatangani TPPA, sebaliknya perbincangan masih dijalankan untuk memuktamadkan rundingan akhir.

Mustapa memberitahu, kerajaan mengambil kira pandangan rakyat berhubung TPPA dan akan membuat kajian semula sekiranya perjanjian itu menjejaskan negara.

Sehubungan itu, kata beliau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menganjurkan program Hari Terbuka TPPA di bangunan Matrade, Jalan Duta di sini mulai pukul 9 pagi hingga 1.15 petang, 1 Ogos ini. - UTUSAN 
SKMM sekat 6,648 laman web

 Ahmad Shabery
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebanyak 6,648 laman web melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain sejak 2008 hingga 2013.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain itu, setakat Jun lalu, sebanyak 29 kes sedang dalam siasatan SKMM di bawah Seksyen 233 akta berkenaan.

"Kes-kes berkenaan melibatkan penggunaan media sosial untuk menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja di negara ini.

''Banyak lagi aduan diterima dan akan diambil tindakan sekiranya bertentangan dengan undang-undang. Peranan kementerian menerusi SKMM dalam perkara ini hanyalah di peringkat siasatan manakala pendakwaan dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara," katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementerian turut mengambil tindakan terhadap stesen-stesen televisyen yang menyiarkan rancangan memaparkan pelakon lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya.

Menurut Ahmad Shabery, walaupun rancangan terbabit berbentuk komedi, pemerhatian dibuat dari konteks sama ada perkara itu dianggap mendewakan agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

"SKMM telah mengambil beberapa tindakan termasuk menegur stesen-stesen televisyen berkenaan," ujarnya.

Jelas beliau, beberapa stesen turut dikenakan denda dalam jumlah besar kerana menyiarkan rancangan komedi mengandungi dialog menyinggung sensitiviti pihak lain dan menyentuh institusi-institusi yang sepatutnya dipertahankan. - UTUSAN 
Polis yakin selesai kes bunuh pengasas AmBank

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Polis percaya pembunuhan pengasas AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi, 75, semalam dilakukan pembunuh upahan yang diupah individu yang tidak berpuas hati dengan mangsa berhubung satu urusan jual beli hartanah.

Sehubungan itu, polis akan memanggil saksi terlibat termasuk beberapa individu yang ditemui mangsa dan isterinya di Tokong Ceylon Kuan Yin, sebelum kejadian tembak terbabit berlaku.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti tujuh saksi yang melihat kejadian tembak itu dan akan memanggil mereka untuk membantu siasatan.

"Pada masa sama, polis sedang mengesan pemandu teksi yang membawa suspek sejurus selepas kejadian dan menyiasat penglibatannya dalam kes itu.

"Siasatan polis bukan sahaja menjejaki suspek yang melepaskan tembakan malah turut menjurus untuk mengenal pasti individu yang merancang pembunuhan terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Mohmad, polis yakin dapat menyelesaikan kes itu selepas imej suspek yang melepaskan tembakan ke arah mangsa berjaya dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tokong berkenaan.

"Setakat ini, perkembangan kes menunjukkan petanda positif selepas pihak kami mengenal pasti imej seorang daripada tiga suspek yang terlibat.

"Berdasarkan imej yang dirakam kami percaya suspek adalah warga tempatan yang telah diupah oleh individu lain untuk membunuh mangsa," katanya lagi.

Mohmad berkata, isteri mangsa yang cedera terkena beberapa das tembakan di pergelangan tangan dan paha kini dalam keadaan stabil.

"Polis akan memberi masa untuknya berehat sebelum diambil keterangan," katanya.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, Hussain yang berasal dari Iran dan mendapat taraf penduduk tetap (PR) mati ditembak oleh seorang lelaki berpakaian sukan di hadapan tokong terbabit.

Mangsa ditembak dua das di dada dan rusuk kiri manakala isterinya yang turut terkena tembakan cedera parah di pergelangan tangan dan paha serta kini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court di sini. - UTUSAN 
Lelaki gila seks ditahan

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

 * AZMAN Ayob (dua dari kanan) menunjukkan telefon bimbit mengandungi gambar dan video klip lucah milik suspek gila seks, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor, semalam.
MUAR, SELASA, 30 Julai, 2013: Seorang lelaki gila seks ditahan bukan sahaja kerana menyamun seorang suri rumah, malah memaksa wanita itu melakukan seks oral di rumah mangsa di Pagoh pada 16 Julai lalu.

Suspek berusia 28 tahun ditahan dalam serbuan pukul 10.40 malam di sebuah rumah di Kluang pada 25 Julai lalu oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam kejadian tersebut suspek memecah masuk rumah mangsa berusia 21 yang ketika itu bersama anaknya berumur setahun sebelum menyamunnya sebanyak RM250.

"Suspek meletakkan pisau di leher mangsa dan memaksanya melakukan seks oral. Selepas itu, suspek melarikan diri dan mangsa kemudian membuat laporan polis. Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek pada 25 Julai lalu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah beg tangan dan empat unit telefon bimbit mengandungi pelbagai gambar dan video klip lucah. Kita masih siasat tujuan bahan-bahan lucah itu disimpan," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Azman berkata, semasa kejadian tersebut, suami mangsa tiada di rumah dan siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan dia direman sehingga esok.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 dan 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan Seksyen 377 (c) akta yang sama kerana memaksa mangsa melakukan seks oral. - UTUUSAN 
Pegawai polis dapat 'hadiah' hari raya paling berharga

PUTRAJAYA, SELASA, 30 Julai, 2013: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang dipecat sembilan tahun lalu, mendapat 'hadiah' hari raya paling berharga apabila Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan agar dia diterima semula dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak permohonan pihak kerajaan untuk mendapat kebenaran merayu dalam kes terhadap Sattar Jaafar.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Ahmad Maarop, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Zainun Ali turut memerintahkan pemohon membayar kos RM10,000.

Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pemohon perlu berlaku adil kepada Sattar, 42, jika ingin mengambil tindakan terhadapnya berhubung pembatalan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya.

Pemohon-pemohon yang terdiri daripada Pengerusi Lembaga Tatatertib Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia dan dua lagi diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan manakala Sattar diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Ebrina Zubir.

Panel tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Februari lalu yang menolak rayuan kerajaan.

Dengan keputusan itu, segala ganti rugi iaitu tunggakan gaji dan elaun berserta faedah sepanjang tempoh pemberhentian bermula 18 Ogos 2004, akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar.

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Muar, Johor pada 4 April 2011 yang membenarkan permohonan semakan kehakimannya untuk mengetepikan perintah pasukan itu yang memecat Sattar kerana kesalahan khalwat.

Ketika dipecat, Sattar bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebagai pegawai penyiasat trafik. Bapa kepada empat anak itu kemudian menyara hidup dengan membuat kerja sambilan.

Rentetan pemecatannya bermula apabila Sattar menerima surat tunjuk sebab pada 5 Mei 2004 berhubung keputusan Mahkamah Syariah Johor Bahru pada 14 Ogos 2003 yang mensabitkannya atas tuduhan khalwat. Dia mengaku bersalah dan didenda RM900 atas kesalahan itu.

Surat tersebut menyatakan dia boleh dikenakan tindakan lain tanpa diberhentikan atau menghadapi penurunan pangkat. Dia menjawab surat tersebut pada 18 Mei 2004.

Bagaimanapun, Sattar menerima surat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertarikh 18 Ogos 2004 yang menyatakan bahawa dia digantung tugas kerana kesalahan khalwat.

Selanjutnya, dia menerima sepucuk surat lagi bertarikh 20 Mac 2006 memaklumkan bahawa dia dipecat berdasarkan Peraturan 33(1) dibaca bersama Peraturan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 9 Ogos 2007. - UTUSAN 
Ladang solar terbesar

Oleh AZMAN IBRAHIM
 
 Suhaimi Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013; Masers Energy Malaysia (Masers Energy), anak syarikat milik penuh Masers Energy Inc. yang berpangkalan di Amerika Syarikat sedia untuk memulakan Projek Zon Ekonomi Khas Melaka (SEZ), pada suku pertama 2014.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Masers Energy, Datuk Seri Suhaimi Abdul Rahman berkata, fasa pertama dalam projek itu adalah Rembia Nucleus Smart Grid City yang akan dibina di Alor Gajah, Melaka di kawasan seluas 208 hektar.

"Masers Energy bakal memulakan projek ini hasil suntikan modal pelaburan sebuah syarikat dari Korea Selatan, C&M Global sebanyak AS$2 bilion (RM6.3 bilion) .

"Projek SEZ ini akan dimulakan dengan pembinaan pertama ladang solar 15 Megawatt (MW) sebaik menerima kelulusan dari pihak kerajaan negeri Melaka. Ladang solar itu mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan," kata Suhaimi dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Suhaimi berkata, selain ladang solar, SEZ juga akan dilengkapi dengan kilang siap dibina dan pusat perkhidmatan berpusat, hab komersial dengan pusat peruncitan, pameran produk hijau, dewan pameran dan pejabat gred A, pusat operasi rangkaian, kompleks kajian dan penyelidikan (R&D), kondominium dan rumah kediaman, gudang pintar dan pusat rawatan sisa boleh diperbaharui.

Sistem pengangkutan di SEZ juga terdiri daripada kenderaan pelepasan bukan karbon seperti kereta elektrik.

"Sekurang-kurangnya 20 pusat R&D akan dibangunkan yang memerlukan lebih 7,000 tenaga pekerja berkemahiran tinggi dan profesional kejuruteraan dalam sektor industri grid pintar dan tenaga boleh diperbaharui di kawasan itu.

Keseluruhan projek itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Tambah Suhaimi, apabila siap nanti, ladang solar yang dibina boleh menjana sejumlah 100MW tenaga suria, sepadan dengan keperluan tenaga bagi kawasan itu.

Katanya, perlaksanaan projek itu bakal menarik berbilion-bilion pelaburan dari pelabur awam swasta dan perkongsian untuk mentransformasi bandar bersejarah itu dari sebuah zon industri kecil ke bandar tenaga grid pintar yang canggih dan berteknologi tinggi pertama di Asia serta bebas karbon menjelang tahun 2020.

Jelasnya, Masers Energy juga mencari rakan-rakan dari luar negara untuk terlibat dalam projek bandar grid pintar dan zon ekonomi hijau ini.

Sebelum ini, Masers Energy telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan iSilver Spring Networks yang akan bertindak sebagai rakan kongsi penyelarasan untuk semua aspek infrastruktur pintar projek Zon Ekonomi itu. - UTUSAN 
BNM dan SKM jalin kerjasama

 * AHMAD Bashah Md Hanipah (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Nik Ali Mat Yunus, Mohammad Ibrahim dan Nor Shamsiah Mohd. Yunus pada majlis menandatangani kerjasama antara Bank Negara Malaysia dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan membentuk hubungan kerjasama dan perkongsian maklumat bagi menjaga kepentingan bersama, selain mewujudkan pelaksanaan operasi koperasi berkaitan kewangan yang lebih berkesan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerjasama tersebut meliputi pertukaran maklumat, rumusan undang-undang dan dasar, inisiatif rangkuman kewangan, pembinaan kapasiti dan kerjasama teknikal.

Turut meliputi bidang kerjasama kedua-dua pihak itu adalah aturan kerjasama untuk kestabilan kewangan, kata Ahmad Bashah.

"Kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa ini juga akan menyokong kerjasama yang lebih baik antara BNM dengan SKM dalam usaha memajukan agenda rangkuman kewangan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara BNM dan SKM di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nik Ali Mat Yunus dan dua Timbalan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim dan Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Tambah Ahmad Bashah, BNM dan SKM sedang mempertimbangkan permohonan syarikat-syarikat koperasi tempatan bagi mengambil deposit bukan di kalangan ahlinya.

Untuk melaksanakannya, katanya, BNM dan SKM perlu meneliti terlebih dahulu kriteria syarikat-syarikat koperasi yang mahu menjalankan aktiviti itu.

Malah, kedua-dua pihak telah membuat rangka kerja operasi dan penilaian berhubung perkara berkenaan.

"Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, syarikat koperasi yang bercadang untuk menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada bukan ahli dikehendaki mendapat kelulusan BNM dan SKM terlebih dahulu," katanya.

Nik Ali pula menambah, rangka kerja penilaian itu bertujuan memastikan syarikat koperasi yang menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada bukan ahli mempunyai kedudukan kewangan yang teguh serta wujud sistem tadbir urus.

Malah, jelasnya, BNM dan SKM akan memastikan syarikat-syarikat koperasi terbabit mempunyai pengurusan risiko yang mantap terutamanya untuk menguruskan risiko mudah tunai dan kredit secara berkesan. - UTUSAN 
MDeC tumpu KPO nilai tinggi

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menyasar untuk membangunkan industri penyumberan luar dan perkhidmatan perkongsian (SSO) Malaysia dengan tumpuan kepada perkhidmatan Penyumberan Luar Proses Pengetahuan (KPO) nilai tinggi.

Naib Presiden bahagian SSO Michael Warren berkata, rancangan itu dapat dilaksanakan dengan menggalakkan pelaburan sedia ada untuk menjalankan aktiviti jenis KPO, menarik pelaburan baharu dalam perkhidmatan ini serta membangunkan bidang khusus seperti perkhidmatan kewangan serta industri minyak dan gas.

Beliau berkata, pada masa ini segmen KPO menyumbang kurang daripada 10 peratus daripada jumlah pendapatan industri sebanyak RM10.4 bilion tahun lepas.

"Bagaimanapun, kami melihat potensi besar dalam segmen ini kerana dijangka mempunyai kadar pertumbuhan tahunan campuran sebanyak 24 peratus mulai 2010 hingga 2014, mencapai saiz pasaran AS$17 bilion di seluruh dunia.

"Kami percaya pada tahun 2015, inilah yang akan menghasilkan wang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Warren berkata, isu utama yang dihadapi oleh peserta industri dalam mengerakkan rantaian nilai SSO dari nilai rendah Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) kepada nilai sederhana Penyumberan Luar Teknologi Maklumat (ITO) dan akhirnya nilai tinggi KPO ialah kekurangan bimbingan dan pembiayaan.

"Mengenai masa hadapan, kami akan memudahkan pertumbuhan penyumber luar tempatan melalui program 'Score+ Acceleration' dan menyediakan mereka dengan bantuan pembiayaan dengan program InnoSource kami," kata Warren.

Beliau berkata, sehingga 30 Jun, MDeC berjaya membawa masuk 16 syarikat untuk melabur dalam kluster SSO negara, tiga daripadanya adalah syarikat berkaitan KPO.

Pada 2012, kluster SSO menyumbang RM5.8 bilion kepada ekonomi negara, naik 32 peratus dari tahun 2011 di samping mewujudkan 7,300 pekerjaan atau 57 peratus lagi. - BERNAMA 
Khairy tempelak Guan Eng gagal bezakan PKM dengan PKC

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menempelak Lim Guan Eng berikutan kegagalan Setiausaha Agung DAP itu membezakan antara pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis China (PKC) yang memerintah republik itu hari ini.

Beliau berkata, tindakan Guan Eng mempertikaikan kerjasama antara Pemuda Barisan Nasional (BN) dan parti pemerintah China itu jelas menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sengaja melakukan tuduhan yang tidak berasas kepada UMNO.

Menurutnya, tujuan Pemuda BN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China adalah untuk meneruskan kesinambungan hubungan diplomatik terutama dalam usaha meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara.

Katanya, jauh beza dengan PKM yang telah melakukan tindakan ganas terhadap rakyat Malaya dan Malaysia, sebelum serta selepas kemerdekaan.

"Saya tidak faham kenapa dia (Guan Eng) tidak boleh membezakan antara kedua-dua entiti tersebut.

''Memang benar pada asalnya ideologinya sama tetapi Parti Komunis China telah melalui perubahan dan setelah Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak memulakan hubungan dengan negara China maka mereka telah pun berhenti memberi sokongan kepada parti-parti luar negara terutamanya di Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majli Berbuka Puasa Pergerakan Pemuda UMNO yang turut dihadiri Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dan Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahya.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng hari ini yang mempertikaikan hubungan diplomatik antara kedua-dua Pemuda UMNO dan Parti Komunis China yang disifatkan beliau telah menyerlahkan sikap kepura-puraan dan dwistandard parti terbesar Melayu tersebut dalam usaha-usaha menangani anasir komunisme di negara ini.

Mengulas lanjut, Khairy menjelaskan, soal utama yang tidak ditekan Guan Eng ialah mengenai filem The New Village yang berdasarkan sedutan yang dilihat memberi gambaran positif terhadap pengganas PKM.

"Beliau sentiasa tidak menjawab isu pokok iaitu sensitiviti rakyat Malaysia yang masih lagi sensitif terhadap isu pengganas komunis," tegasnya.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak justeru, Pemuda UMNO meminta Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada filem itu.

"Tindakan Kementerian Dalam Negeri tepat untuk menangguhnya dahulu. Ini kerana kita lihat Tanda Putera, maka filem itu ditunda dan ditangguh selama satu tahun selepas penilaian semula.

"Dalam hal The New Village, kita mahu perkara sama dibuat juga. Itu perkara yang tidak disentuh Guan Eng kerana dia tidak faham perbezaan PKM dan Parti Komunis China hari ini dalam isu hubungan diplomatik," katanya. - UTUSAN 
CEC: Guan Eng tidak endah desakan

PULAU PINANG, SELASA, 30 Julai, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak akan tunduk kepada desakan supaya diadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang dipertikaikan pelbagai pihak termasuk ahlinya sendiri selagi tidak mendapat surat rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Guan Eng berkata, beliau berasa pelik mengapa DAP perlu berbuat demikian kerana sehingga kini parti itu belum menerima sebarang surat daripada ROS.

"Ini adalah satu tindakan balas dendam politik dengan menjadikan DAP sebagai mangsa kerana kami tidak pernah dimaklumkan terlebih dahulu sama ada secara lisan atau bertulis tentang arahan untuk mengadakan pemilihan semula.

"Selain itu, surat rasmi yang dijanjikan oleh ROS masih belum disediakan dan apabila Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke melawat ibu pejabat ROS di Putrajaya pagi ini, beliau dimaklumkan bahawa surat tersebut masih belum siap untuk dihantar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DAP menerima desakan berterusan daripada bekas ahlinya supaya mengadakan pemilihan semula CEC parti berkenaan selepas pemilihan tahun lepas diadakan dalam keadaan meragukan.

Antara yang konsisten menyuarakan desakan terhadap perkara tersebut termasuklah bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelik, Tan Tuan Tat yang turut mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya membuktikan beliau tidak bersalah dalam isu berkenaan. - UTUSAN 
Ahli UMNO terima kaedah baharu pemilihan

ALOR GAJAH, SELASA, 30 Julai, 2013: Ahli UMNO di peringkat akar umbi dapat menerima kaedah baharu pemilihan anggota Majlis Tertinggi UMNO (MT) Oktober ini kerana proses tersebut dianggap lebih terbuka dan demokratik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, maklum balas daripada sesi penerangan dan taklimat yang dijalankan berhubung kaedah pemilihan MT itu didapati tidak mendapat bantahan atau dipertikaikan daripada ahli parti di seluruh negara.

''Sesi penerangan dan taklimat yang UMNO adakan di setiap negeri berjalan lancar malah boleh dikatakan ahli di peringkat bahagian dan cawangan faham dengan kaedah pemilihan mengikut perlembagaan parti yang baharu.

''Mereka menyifatkan pemilihan pucuk pimpinan parti kali ini lebih demokrasi kerana memberi peluang kepada 150,000 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara untuk memilih pemimpin parti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Mara di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Alexander Nanta Linggi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Keusahawanan Negeri, Datuk Hasan Rahman dan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa. - UTUSAN 
Beli hartanah punca dibunuh

 * MEI KUEN yang cedera ditembak (bertutup muka) dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat pengecaman mayat suaminya.
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 J Siasatan polis mendapati penjenayah telah merancang lebih awal untuk membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi yang mati ditembak di kawasan letak kereta sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon dekat Bukit Bintang di sini kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, rumusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di tokong tersebut.

Katanya, rakaman itu jelas menunjukkan keseluruhan kejadian termasuk merakam wajah penembak upahan tersebut yang melepaskan tembakan ke arah Hussain, 75, dan isterinya, Cheong Mei Kuan, 49.

"Polis yakin dengan perkembangan positif ini kita akan dapat memberkas suspek berkenaan dan diharap dapat membongkar dalang yang terlibat.

"Kita juga percaya motif kejadian itu ada kaitan dengan urusan jual beli hartanah namun kita masih memperkemaskan siasatan dengan mengambil keterangan saksi-saksi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. - KOSMO! 
Tidak mustahil perbualan Susilo diintip

 * SUSILO (kanan) berjalan bersama Rudd ketika mereka tiba di Istana presiden di Bogor, Jawa Barat pada 5 Julai lalu.
JAKARTA, SELASA, 30 Julai,2013: Dakwaan berlakunya pengintipan terhadap perbualan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono oleh perisik Britain pada persidangan G20 di London 2009 adalah tidak mustahil kerana ia mampu memberi sinergi kepada negara-negara Komanwel.

"Sekiranya pihak yang terlibat dalam pengintipan itu adalah Britain, Australia atau Amerika Syarikat, ia sememangnya memberi manfaat terhadap kepentingan mereka," kata penganalisis politik, Mejar Jeneral (B) Glenny Kairupan kepada akhbar Antara semalam.

Glenny yang merupakan bekas pengarah perhubungan luar negara tentera Indonesia memberitahu, secara prinsipnya perbualan boleh dipantau.

Tambahan pula kemajuan teknologi membolehkan perisik untuk memintas perbualan seseorang.

Kenyataan tersebut dibuat ketika beliau mengulas laporan akhbar The Sydney Morning Herald pada minggu lalu yang menyatakan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd merupakan individu yang mendapat manfaat daripada intipan perbualan Susilo pada mesyuarat tersebut.

Jurucakap presiden, Teuku Faizasyah menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika kerana maklumat boleh diperoleh menerusi diplomasi.

Sedar bahawa aktiviti pengintipan sangat bahaya dan melanggar hubungan antarabangsa, Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa menyatakan pihaknya telah meminta pengesahan laporan tersebut dari Britain memandangkan dakwaan itu datangnya dari pihak ketiga. - BERNAMA 
Perangi jenayah berat segera

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG

 * NAJIB Tun Razak berbincang sesuatu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2013 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
PUTRAJAYA, SELASA, 30 Julai, 2013: Kerajaan bersedia memberikan apa sahaja yang diperlukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menambah keberkesanan dan usaha pasukan itu memerangi jenayah khususnya jenayah berat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan segera perlu dilakukan oleh polis untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap insiden pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

''Saya amat bimbang tentang perkembangan mutakhir ini di mana kejadian pembunuhan menggunakan senjata api telah berlaku dengan begitu ketara.

''Ini akan menyentuh perasaan dan keyakinan rakyat serta menambah kebimbangan rakyat terhadap soal keselamatan dan berlakunya lebih kerap jenayah berat dalam negara kita," katanya.

Menurutnya, sebarang bentuk keperluan yang bakal dikemukakan oleh PDRM untuk meningkatkan kapasiti pasukan itu perlu munasabah dan berasaskan kemampuan kerajaan bagi menentang jenayah terancang dan jenayah serius dalam negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan untuk menangani kes pembunuhan membabitkan senjata api di seluruh negara sehingga mencetuskan kebimbangan kepada rakyat.

Dalam insiden terbaru semalam, tiga lagi kejadian jenayah menggunakan senjata api mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila pengasas Bank Arab-Malaysia yang kini dikenali sebagai AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya berusia 49 tahun parah akibat ditembak tiga lelaki.

Di Ipoh, Perak seorang maut dan dua cedera ditembak manakala seorang mangsa parah ditembak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Perdana Menteri berkata, sebuah jawatankuasa kecil yang dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri khususnya yang melibatkan soal perundangan telah diwujudkan.

Jawatankuasa kecil itu berbincang bersama Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menentukan peruntukan perundangan tambahan bagi tujuan memerangi jenayah berat tersebut.

''Kita bersedia menimbangkan permohonan dan kehendak pihak polis asalkan ada jaminan tidak ada salah guna kuasa atau hak asasi manusia.

''Macam mana pun kita tidak boleh biarkan keadaan ini berterusan dan tindakan segera dan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk mengembalikan ketenteraman dan keyakinan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata, keperluan menambah keberkesanan dalam pasukan keselamatan itu bukan bersifat jangka panjang sebaliknya secara serta-merta.

Justeru, tegas Najib, polis perlu melihat kepada undang-undang sedia ada berhubung tindakan yang perlu dan boleh diambil bagi menangani insiden pembunuhan menggunakan senjata api.

''Apa yang disebut tadi, kita berniat membawanya pada sesi Parlimen seterusnya, peruntukan yang akan mengukuhkan tindakan polis (untuk memerangi jenayah) dan saya tidak bercakap tentang jangka panjang tetapi tindakan serta-merta iaitu pada sesi Parlimen seterusnya," katanya. - UTUSAN 
Syiah ancam keselamatan negara

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

 * AHMAD Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
PUTRAJAYA, SELASA, 30 Julai, 2013: Kementerian Dalam Negeri memperoleh bukti kukuh bahawa penyebaran ajaran Syiah di Malaysia bukan sahaja berbahaya kepada akidah umat Islam malah boleh mengancam keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil siasatan dan pemantauan terhadap gerakan itu mendapati terdapat asas akan berlaku ancaman keselamatan sekiranya ajaran tersebut tidak dibendung.

"Ancaman keselamatan ini lebih daripada yang kita tahu menerusi media, biar saya kata ajaran ini harus disekat dari awal bimbang berlaku seperti di beberapa negara di Asia Barat dan Asia Selatan hingga tercetusnya perpecahan.

"Malah, darah selain daripada mazhab mereka adalah halal dan mereka boleh lakukan apa sahaja terhadap penganut agama lain yang tidak ikut mazhab mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa di pejabatnya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan gerakan Syiah di Malaysia semakin agresif mempromosikan ajaran tersebut apabila cuba membina sebuah kompleks di Gombak, Selangor pada awalnya, namun gagal dan memilih lokasi baru iaitu wilayah di sempadan negara jiran, Thailand untuk membina sebuah markas baru dengan dana sebesar RM24 juta.

Menurut Ahmad Zahid, setakat ini pihaknya masih belum menerima bukti kukuh berkaitan pembinaan kompleks tersebut.

Bagaimanapun, tegas beliau, pihaknya akan membendung ajaran itu daripada merebak kerana boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, tindakan yang diambil pihaknya itu bukan bertujuan membelakangi hak istimewa setiap negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya, mahu memastikan soal keselamatan negara tidak tergugat.

"Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam kita telah membentangkan permasalahan Syiah di Malaysia kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu dan hasil siasatan ini akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja.

"Kita akan cadangkan hasil siasatan ini kepada Majlis Raja-raja untuk memperakukan penyebaran ajaran Syiah bukan sahaja berbahaya dari aspek akidah tapi juga keselamatan," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas penyebaran sebuah video klip di laman sosial yang menghina Islam apabila menonjolkan seorang individu membasuh tangannya dan kaki anjing seolah-olah melakonkan cara orang Islam mengambil wuduk, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk menyiasat isu tersebut kerana di bawah kuasa mereka.

"SKMM harus siasat dan cari punca dari akar umbi, tugas kami ialah lakukan penangkapan setelah ada bukti kukuh dan polis tidak akan bertoleransi terhadap pihak mempersendakan Islam," katanya.

Video yang hampir dua minit itu dengan tajuk 'Satu hari di hari raya' dimuat naik dalam YouTube turut menonjolkan individu tersebut meraikan sambutan hari raya bersama beberapa ekor anjing dengan diiringi muzik latar takbir raya dan lagu Satu Hari Di Hari Raya. - UTUSAN 
Tubuh markas di beberapa negeri

 * ANTARA sedutan rakaman video yang disiarkan di dalam Youtube menunjukkan cara sembahyang dalam kalangan penganut Syiah.
*FAHAMAN Syiah yang digelar sebagai anak Yahudi merupakan satu fahaman yang benar-benar mengelirukan serta berlawanan daripada ajaran Islam sebenar terutama dari segi akidah.
Tindakan mereka mencela para sahabat besar Rasulullah SAW, para isteri baginda, mengubah ayat-ayat al-Quran selain terlalu memusuhi orang Islam Sunni jelas memperlihatkan penyelewengan yang berlaku.
 Fahaman itu telah tersebar di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali, malah pengikut-pengikut Syiah di negara ini semakin berani menonjolkan diri mereka secara terbuka terutama di media-media sosial.
Wartawan Utusan Malaysia SAIFULIZAM MOHAMAD, MAISARAH SHEIKH RAHIM, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan NAZMIL NASIRUDDIN dalam laporan bahagian kedua berhubung fahaman ini mengupas secara terperinci mengenai latar belakang Syiah, pengakuan seorang bekas pengikut Syiah selain hubungan Syiah dan Yahudi.
 Bahagian akhir laporan khas ini esok akan mendedahkan mengenai penubuhan markas Syiah di beberapa negeri, penggunaan program kebudayaan sebagai platform menyebarkan fahaman itu dan helah pemimpin Syiah berlindung di sebalik nama pertubuhan hak asasi manusia agar diterima masyarakat.

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Penganut fahaman Syiah di Malaysia dikesan tidak lagi berselindung dalam aktiviti keagamaan mereka sebaliknya mula mengatur strategi supaya kerajaan dan masyarakat mengiktiraf fahaman mereka sebagai satu mazhab yang sah diamalkan di negara ini.

Salah satu cara adalah dengan menubuhkan markas atau pusat kegiatan di setiap negeri bagi meluaskan pengaruh Syiah di negara ini.

Siasatan mendapati, sekurang- kurangnya enam pusat kegiatan Syiah telah bertapak di Lembah Klang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Markas utama penganut Syiah ini dikatakan terletak di Gombak dan Ukay Perdana, Ampang sebagai pusat aktiviti golongan Syiah di Lembah Klang.

Selain itu, mereka juga dikesan mewujudkan markas Syiah di utara tanah air iaitu di Pendang, Kedah. Terdapat juga markas untuk golongan ini di Kota Bharu, Kelantan manakala pusat aktiviti mereka turut wujud di Taiping, Perak.

Siasatan mendapati dua premis di Lembah Klang itu sebenarnya telah aktif sejak Oktober 2003 dan dijadikan tempat pertemuan ahli, kelas pengajian serta lokasi bagi menyambut hari-hari kebesaran Syiah.

Siasatan juga mendedahkan, kelas-kelas pengajian Syiah itu dilakukan pada setiap malam Rabu dan Jumaat secara bergilir-gilir dan antara subjek yang diajar di situ adalah pemahaman tentang Syiah yang didakwa sebagai ajaran Islam.

Mereka juga dikesan membuat kelas sembahyang yang didakwa betul mengikut ajaran ‘Ahlul Bait selain mengajar tentang akidah, ilmu mantik (ilmu logik) dan falsafah.

Pengikut-pengikut Syiah juga diberi peluang untuk belajar bahasa asing bagi memudahkan mereka memahami kitab-kitab Syiah yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Arab dan Parsi. - UTUSAN 
Tinggalkan Syiah sebab akidah, kelainan ibadah

 * TEMU bual bersama Mohamed Ajmal Abdul Razak Al-Aidrus mengenai bahayanya ajaran Syiah yang semakin berkembang di negara ini.
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Seorang bekas pengikut Syiah mengakui fahaman tersebut menyeleweng dari sudut akidah, khususnya amalan nikah muta'ah dan konsep imam 12.

Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohamed Ajmal Abdul Razak al-Idrus berkata, selama lima tahun menj,adi pengikut Syiah, beliau juga mendapati para pengikut fahaman itu terlalu mengabaikan ibadah.

Atas sebab itu katanya, beliau mengambil keputusan meninggalkan fahaman tersebut dan kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Saya menjadi pengikut Syiah ketika berusia lingkungan 20-an dan pada masa itu masih belajar di Amerika Syarikat (AS). Saya tertarik dengan Revolusi Iran pada tahun 1979 yang dianggap berjaya mengangkat martabat maruah Islam.

"Namun dalam tempoh saya di dalam Syiah, didapati ada perkara-perkara yang saya tidak boleh terima dan tidak logik, antaranya nikah muta'ah dan konsep imamah. Paling menyedihkan mereka terlalu mengabaikan ibadah khusus kepada Allah SWT," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Mohamed Ajmal berkata, rata-rata pengikut tidak tahu tentang solat, puasa dan ekoran itu mengambil keputusan keluar daripada terus mengikuti fahaman itu.

"Apabila ditanya tentang ibadah khusus kepada Allah SWT, mereka tidak tahu tetapi apabila ditanya perbezaan fikrah sunni dan Syiah, mereka tahu dengan mendalam.

"Solat mereka pun berbeza dengan kita. Memang solat mereka lima kali tetapi boleh ditunaikan dalam tiga waktu. subuh satu waktu, zuhur dan asar dijamakkan, begitu juga maghrib dan isyak juga boleh dijamakkan," katanya lagi.

Mengenai nikah muta'ah, beliau berkata, amalan tersebut tidak masuk akal kerana pasangan boleh berkahwin dalam tempoh lima atau 10 atau 15 minit tanpa perlu saksi.

Lebih malang lagi ujarnya, amalan itu terus berlaku sehingga sekarang.

"Bagi saya nikah cara ini merupakan lesen kepada seorang lelaki untuk tidur dengan sesiapa sahaja. Adakah ini yang kita mahukan?

"Saya juga percaya imam- imam besar Syiah ini tidak akan benarkan anak perempuan mereka dinikah secara muta'ah dengan mana- mana lelaki," katanya.

Mengenai konsep imam 12, beliau berkata, akal juga sukar untuk menerima konsep imam ghaib yang kini terus menjadi pegangan kepada pengikut Syiah.

"Konsep imam 12 ini juga berlaku penyelewengan besar, sebab itu saya tidak boleh terima pegangan mereka yang mengangkat manusia lain lebih tinggi berbanding para sahabat Rasulullah," katanya lagi.

Dalam temu bual tersebut, Mohamed Ajmal turut mendedahkan tentang kesanggupan Syiah mengeluarkan dana besar untuk menaja mereka yang benar-benar berminat untuk menjadi pengikut fahaman itu.

"Saya pernah melalui pengalaman itu yang mana saya dan rakan-rakan ketika menyertai satu persidangan (Syiah), mereka telah memberikan buku-buku secara percuma.

"Bayangkan ketika menuntut di universiti, kami mana ada duit untuk bayar yuran persidangan, menempah hotel, makan dan minum yang semuanya dibiayai oleh mereka," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, penularan ajaran Syiah dikhuatiri akan mendatangkan ancaman militan kepada tanah air sekiranya dakyah itu tidak dibendung bermula daripada sekarang.

"Situasi berkenaan boleh berlaku jika wujud pertembungan antara fahaman, lebih-lebih lagi umat Islam Malaysia yang berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, sekali gus membawa kesan buruk kepada keamanan negara.

"Syiah mengamalkan ekstremis dan antara salah satu bukti boleh dilihat daripada perbuatan mereka ketika menyambut hari Asyura iaitu mencederakan diri sendiri, selain bersikap ganas," katanya lagi. - UTUSAN 
Tabung Haji terus tanggung subsidi

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan mengekalkan subsidi yang diperuntukkan untuk setiap jemaah haji pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bagaimanapun jumlah keseluruhan untuk tahun ini masih belum dipastikan memandangkan kuota sebenar jemaah negara belum diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, Tabung Haji memperuntukkan sebanyak RM104 juta sebagai subsidi demi mengekalkan bayaran haji pada kos RM9,980 untuk setiap jemaah pada tahun lalu.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan pemberian subsidi sebanyak RM5,575 setiap orang untuk keseluruhan 28,000 jemaah haji Malaysia.

Perbelanjaan sebenar setiap jemaah untuk mengerjakan haji di Mekah adalah RM15,555.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian zakat sebanyak RM245,000 di bawah program Ehsan TH kepada 490 golongan asnaf peringkat negeri Selangor di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, bayaran zakat itu adalah sebahagian zakat berjumlah RM1.55 juta untuk diagihkan kepada 3,000 golongan asnaf di seluruh negara.

"Setiap tahun Tabung Haji mengeluarkan zakat bagi simpanan para pendepositnya yang diserahkan terus kepada majlis agama Islam atau pusat pungutan zakat negeri.

"Bayaran zakat secara terus ini bagi memudahkan pendeposit apabila mereka tidak perlu lagi membayar zakat wang simpanan mereka dan simpanan pendeposit adalah bersih," katanya.

Selain program Ehsan itu, Tabung Haji turut melaksanakan program Iqra iaitu memberi sumbangan barangan keperluan persekolahan kepada pelajar miskin dan anak yatim serta program 'Baiti' bagi membaik pulih atau membina rumah untuk golongan fakir miskin.

"Program 'afiat' pula bagi menyalurkan bantuan kesihatan kepada hospital dan pesakit kronik yang memerlukan di seluruh negara," katanya. - UTUSAN 
Lagi rakaman video hina Islam

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

 * SEDUTAN video yang memaparkan seorang pemuda berbaju Melayu menikmati hidangan biskut raya bersama tiga ekor anjing.
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai,2013: Belum pun reda penghinaan melampau pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee memuat naik poster berbuka puasa dengan 'bak kut teh' (sup tulang babi) di Facebook, satu lagi perbuatan biadab mempermain-mainkan kesucian agama Islam sengaja dilakukan dalam bulan Ramadan.

Kali ini, sebuah video memaparkan seorang anak muda yang menamakan dirinya sebagai Chetz, menyambut Aidilfitri dengan tiga ekor anjing.

Dengan berlatarbelakang suara takbir raya, video selama satu minit 43 saat itu menggambarkan seorang anak muda membuat persiapan di pagi raya dengan memandikan tiga ekor anjing itu sebelum 'mengambil wuduk'.

Anak muda yang berbaju Melayu itu kemudiannya menghidangkan kuih raya kepada anjing-anjingnya sambil duduk makan bersama.

Rakaman disertakan dengan keterangan aksi yang dipaparkan sebelum itu dengan kata-kata:

"Raikan Aidilfitri bersama-sama tanpa mengira spesies (manusia atau anjing (haiwan), warna kulit (kulit anjing tersebut), dan asal-usul (tempat asal anjing tersebut yang ditulis Klang Lama, Penang Island dan Rawang)."

Bahagian akhir video itu kemudian menyiarkan ucapan anak muda dan tiga ekor anjing tersebut:

"Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga".

Sementara itu Bernama melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengambil tindakan terhadap penyebaran satu lagi video dikatakan menghina Islam bertajuk '1 Hari Di Hari Raya' yang disiarkan dalam laman YouTube.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM telah diarah menyegerakan siasatan terhadap pemilik video yang dianggap boleh mengganggu sensitiviti Islam itu.

"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai hal ini walaupun SKMM belum menerima sebarang laporan mengenainya. Oleh itu, saya telah mengarahkan SKMM menggambil tindakan untuk menyiasat video itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN 
Ketua Syiah Kedah dakwa diancam bunuh

PENDANG, SELASA, 30 Julai, 2013: Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan membuat laporan polis kerana mendakwa menerima komen berunsur ugutan dan ancaman bunuh terhadapnya yang dipaparkan menerusi akaun laman sosial Facebook.

Dia yang ditemani beberapa pengikut fahaman itu membuat laporan berkenaan di Balai Polis Pendang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Abdullah mendakwa, pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Muhd. Amirur Roshid' telah berkongsi gambar dan maklumat dalam Facebook 'Gerakan Anti Syiah Malaysia' mengenai dirinya.

Katanya, beberapa komen yang dikongsi didapati berunsur ugutan dan ancaman bunuh terhadapnya di samping berbentuk fitnah yang antara lain membayangkan seolah-olah penganut Mazhab Syiah Imammiah adalah pengganas.

"Saya meminta polis menyiasat segera perkara ini kerana bimbang mengenai keselamatan diri dan pusat aktiviti kami di Kampung Alor Berala, Pendang," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan di sini.

Abdullah yang mendakwa terdapat kira-kira 3,000 pengikut fahaman Syiah Imammiah di seluruh negeri ini menerima dengan terbuka keputusan kerajaan Kedah untuk mewartakan sekatan penyebaran Syiah dalam usaha membendung penularan ajarannya.

Katanya, pewartaan itu boleh dilakukan jika dianggap perlu bagi menyekat penularan fahaman itu dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kalau kerajaan hendak mewartakan sekatan penyebaran Syiah, kita menerimanya kerana tidak mahu berlaku pertembungan ekoran perbezaan fahaman.

"Tetapi kalau tindakan mewartakan itu bertujuan menghapuskan ajaran Syiah, saya menganggap itu tindakan antinasional," katanya. - UTUSAN 
55 juta liter diesel subsidi dilulus

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA

 * HASAN Malek mengisi minyak diesel kepada kenderaan pacuan empat roda sambil menunjukkan isyarat bagus ketika lawatannya ke stesen minyak Jalan Kolam, Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU, SELASA, 30 Julai, 2013: Kerajaan bertindak proaktif mengatasi masalah kekurangan bekalan diesel subsidi yang mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila meluluskan kuota tambahan bahan api itu sebanyak 55 juta liter di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, daripada jumlah itu sebanyak 9 juta liter diperuntukan kepada Sabah yang mengalami masalah itu sejak beberapa minggu lalu.

"Kita telah mengambil tindakan untuk menangani masalah ini dan saya cukup berpuas hati bahawa keadaan telah pulih seperti sedia kala setelah kita memberikan kuota tambahan diesel subsidi kepada syarikat minyak.

''Mereka telah memberi jaminan bahawa bekalan minyak diesel bukan sahaja cukup untuk bulan ini tetapi sehingga Aidilfitri ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Stesen Minyak Jalan Kolam, di sini hari ini.

Hasan berkata, kementeriannya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan mana-mana pengusaha stesen yang enggan menjual diesel kepada orang ramai setelah memperoleh kuota tambahan diesel subsidi daripada kerajaan itu.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa pengusaha tidak bertanggungjawab yang menjual diesel subsidi kepada pihak industri pada harga lebih tinggi.

''Mereka mengaut untung apabila menjualnya pada harga RM2.70 sedangkan harga biasa dijual ialah pada harga RM1.80. Kepada pihak yang bersubahat, bukan lagi disenarai hitam, mereka langsung tidak boleh berniaga lagi sebab mereka tiada perikemanusiaan kerana menimbulkan pembelian panik di kalangan orang ramai," katanya.

Katanya lagi, di Sabah terdapat 12 kes berlaku iaitu tujuh di Kota Kinabalu, Sandakan (lima) dan dua kes di Tuaran kerana didapati enggan menjual diesel kepada pengguna.

Sehubungan itu, jelas beliau pihak terbabit akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda RM100,000 atau penjara tiga tahun kepada individu manakala syarikat pula RM250,000.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan kementeriannya akan melaksanakan pemantauan yang ketat untuk memastikan bekalan diesel subsidi di stesen minyak mencukupi.

Katanya, langkah itu akan dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Unit Pencegahan Penyeludupan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. - UTUSAN